Menjadi model sudah, bergelar pelakon sudah dan bergelar pengacara pun sudah. Kini selebriti tinggi lampai ini bergelar seorang penyanyi pula. Menyanyi bukan sebarang menyanyi, kini suara Rozita Che Wan sudah boleh didengari di corong radio tempatan. Namun, ibu kepada tiga anak ini akur dengan kemampuan diri dan tidak berhasrat untuk serius dalam bidang nyanyian.
Wanita yang mesra disapa Che Ta ini pada awalnya tidak mahu merakamkan suara namun muncul juga dengan sebuah lagu ‘jingle’ untuk sebuah produk kecantikan diwakilinya iaitu Mylea. “Tapi janganlah salah sangka. Bukan maksud saya nak bersaing dengan penyanyi sedia ada. Ia bukan pun lagu komersial.
“Lagu ciptaan DJ Fuzz itu hanya untuk promosi produk berkenaan dan berdurasi 30 saat. Ia berentak santai dan kedengaran seperti dangdut. Malah sudah dimainkan di corong radio,” katanya yang merakamkan lagu itu memakan masa sejam lebih pada 14 April lalu.
“Saya tak anggap ia satu projek serius. Jauh sekali nak berentap di Anugerah Juara Lagu. Walau ada yang memuji kata saya bukan tak boleh menyanyi, saya tak rasa boleh serius menyanyi pun,” ujar Che Ta yang baru baru ini dilantik sebagai duta platform E-Dagang, Warongku di bawah Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.
Nampaknya tahun ini rezeki Che Ta begitu melimpah-ruah apabila kembali menyinar dalam dunia lakonan. Ibu kepada Aaisyah Dhia Rana bakal muncul di layar perak menerusi Kiah Pekasam versi filem terbitan Zeel Production.
“Sudah 11 tahun usia naskhah Kiah Pekasam yang melonjakkan nama saya. Daripada tiga musim drama ke beberapa siri telefilem, ia akhirnya direalisasikan ke bentuk filem pula.
“Insya-Allah 8 Mei ini saya akan ke Perlis untuk memulakan penggambaran. Memang produksi nak kejar momen musim mangga harum manis di sana. Penggambaran filem itu akan berehat seketika memberi laluan kepada sambutan lebaran dijangka 13 Mei nanti.
Pelakon asal juga akan berlakon termasuk suami saya,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama komedi Assalamualaikum Mustafa terbitan Country Universal Sdn Bhd.
Ditanya mengenai sambutan Ramadan, Che Ta seronok mengunjungi bazar untuk membeli juadah berbuka puasa. Namun, jangan tak tahu Che Ta juga suka berbuka dengan nasi. “Kalau buka puasa, wajib makan nasi. Tekak memang nak makan nasi,” katanya yang baru sahaja melancarkan koleksi tudung, Printed Square Scarves sempena Aidilfitri.
This website uses cookies.