Tumpang bangga dengan kejayaan wanita kelahiran Syria, Maya Ghazal. Mana tidaknya, usia 21 tahun lagi dia dah berjaya cipta sejarah menjadi wanita Syria pertama bergelar juruterbang dan menarik perhatian dunia.
Bakal berusia 24 tahun pada 7 April depan, Maya ialah lambang wanita Islam yang bijak dan bercita-cita tinggi. Bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik, kredibiliti Maya juga meraih perhatian pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang melantik wanita ini sebagai UNHCR Goodwill Ambassador.
Memetik kenyataan UNHCR, Maya berhijrah dari Damascus, Syria dan memulakan kehidupan baru di United Kingdom ketika berusia 16 tahun pada 2015. Sejak itu, dia berusaha mempelajari Bahasa Inggeris dan berjaya menamatkan persekolahan. Seterusnya memperoleh ijazah dalam kejuruteraan penerbangan dan pengajian juruterbang.
View this post on Instagram
Menariknya pada tahun 2020, Maya melakar sejarah menjadi wanita pelarian Syria pertama yang berjaya bergelar juruterbang sewaktu berumur 21 tahun. Malah, dia komited menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk membela nasib pelarian sepertinya hingga sekarang.
Maya sebelum ini menerusi media sosial miliknya turut mendedahkan dia seorang yang sangat mementingkan pelajaran. “Sepanjang 15 tahun berada di Syria, pendidikan ialah satu kewajipan dan sangat penting. Walau negara sedang bergolak, hanya beberapa hari saja saya tak hadir ke sekolah biarpun sedar betapa ‘bahayanya’ untuk pergi sekolah.
Saya tak pernah terfikir penghijrahan ke UK membuatkan saya ketinggalan dalam pendidikan kerana pernah ditolak untuk mengikuti persekolahan disebabkan kerakyatan meskipun cemerlang dalam akademik.
Bagaimana pun, saya berjaya meyakinkan guru-guru dan mendapat tempat di dalam kelas kerana cemerlang dalam pelajaran. Sejak itu, saya kembali mendapat keyakinan semula dan menyedari keupayaan diri di samping percaya saya mampu meraih apa yang saya impikan.
Pendidikan ialah satu ‘alat’ yang saya percaya boleh mengubah dunia! Tanpa pendidikan, saya tak mungkin dapat menjadi juruterbang atau jurutera.”
Ujar Maya lagi, dia berterima kasih kepada agensi United Nations yang memberi ruang untuk ‘bersinar’ di pentas dunia. “Ramai pelarian muda yang berjuang mendapatkan pendidikan tapi UN refugees agency saban hari membantu mereka mendapatkan peluang tersebut.
Dengan memberikan peluang pendidikan dan galakan kepada remaja perempuan sepertinya, ia sekaligus memberi sinar harapan buat mereka untuk menggapai impian.”
Tahun lepas, Maya bertemu bintang terkemuka filem Top Gun, Tom Cruise dan berbicara mengenai kepelbagaian dalam dunia penerbangan ketika dia dijemput menjadi tetamu Silverstone by Toto Wolff. Toto Wolff ialah billionaire kelahiran Austria yang juga eksekutif dunia permotoran, pelabur dan bekas pelumba.