Tanggal 20 Ogos 2021 merakam sejarah negara terbaharu apabila YAB Datuk Seri Ismail Sabri secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9. Umum mengetahui bahawa amanah yang digalas oleh mana-mana pemimpin tertinggi pada zaman pandemik ini seharusnya teliti kerana ia melibatkan 32.75 juta kehidupan rakyat Malaysia.
Barangkali inilah yang menjadi dilema para pemimpin negara. Seboleh upaya menyelamatkan keadaan namun peningkatan kes baharu COVID-19 terus memecut naik.
Ads
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.
“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” memetik kenyataan yang dikongsi di media sosial Istana Negara pada Jumaat.
lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri adalah dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.
Istiadat tersebut dijadual berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. PM Ismail Sabri dijangka akan ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
PROFIL PM
10 FAKTA ISMAIL SABRI
Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960. Kini berusia 61 tahun.
Mendirikan rumah tangga pada 1986 bersama Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
Anak sulungnya, Datin Nina Sabrina berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, manakala anak lelakinya, Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi merupakan penyanyi dan pelakon.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, Pahang (1967), Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973) dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976). Beliau menyambung pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (1980).
Memulakan kerja sebagai peguam sebelum dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, pada 1995 dan berpengalaman menjadi jemaah menteri sejak 2008.
Menjadi Ahli Parlimen Bera dari 2004 sehingga kini.
Menerajui lima kementerian iaitu menjadi Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Pertahanan.
Sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain menjadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam parti politik, beliau bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Temerloh (1987), Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh (1988), Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Temerloh (1993) dan Timbalan Ketua Bahagian Temerloh (2001) serta Ketua Umno Bahagian Temerloh (2004). Kini, beliau merupakan Naib Presiden Umno.
SIFAT KEBAPAAN
Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat, pendekatan kekeluargaan yang diterapkan oleh beliau sentiasa segar di hati. Beliau juga pernah diberi gelaran Pak Long Mail sewaktu PKP 1.0 lalu.
Penguatkuasaan undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah, tapi bayangkan ketegasan lelaki ini berjaya mendapat kerjasama rakyat dengan cara tersendiri.
Kalau masih ingat, antara yang menjadi perhatian adalah penampilan kemeja dan perhiasan dekorasi yang menjadi penyeri sidang media beliau! Sangat kreatif.
Perhiasan dekorasi di kediaman Pak Long Mail menjadi bahan bidaan penonton
Ads
Kemeja yang dikenakan sentiasa mendapat pujian
Penampilan Pak Long Mail pernah disamakan dengan pelbagai dessert lazat
Yang pasti, pelantikan pemimpin kanan berusia 61 tahun ini diharapkan mampu menyatukan hati kita yang sedikit ‘tercalar’ dengan situasi semasa.
Ads
“Kita mendengar, dan kita mahu yang terbaik buat rakyat. Kesihatan dan keselamatan rakyat adalah perkara penting yang akan terus diutamakan di negara ini.
Semoga dengan pelantikan YAB Datuk Seri Ismail Sabri ini dapat membantu negara meratakan lengkung jangkitan COVID-19 di Malaysia sekaligus menyatukan semula hati-hati rakyat yang jelas ‘terpukul hebat’ dengan cabaran pandemik sekarang.
Sama-sama kita jaga kita dan ketepikan jurang ketidaksefahaman demi menyelamatkan masa depan negara. InsyaAllah, percaya bahawa kita semua mampu lakukan.
Tahniah Datuk Seri!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Macam pakai contact lens la! Warna anak mata hijau jernih yang dimiliki Jasmine Lia ini sudah cukup buat peminat bapanya, Dwayne Johnson tak jemu tatap wajah comelnya. Bertambah-tambah geram bila tengok telatah bijak si kecil ini tiap kali video bersama The Rock dimuat naik di media sosial. Confirm cecah jutaan views.
Bagi yang pertama kali mengenali Jasmine, kanak-kanak berambut kerinting ini sebenarnya anak kedua kepada aktor filem Jumanji tersebut yang baru berusia dua tahun. Hasil hubungan The Rock dan Lauren Hashian, pasangan ini dikurniakan bayi perempuan bernama Jasmine Lia pada Disember 2015. Dan khabarnya, Lauren juga sedang hamil anak perempuan kedua. Tak lama lagi, Jasmine jadi kakak lah nampaknya.
Seperti kanak-kanak lain seusianya, Jasmine turut menghabiskan masanya dengan bermain. Tapi kalau tengok perkembangan anak manja The Rock ini dekat Instagram pasangan selebriti ini, Jasmine dilihat lebih cenderung terhadap aktiviti seni seperti bermain dram, menyanyi dan melukis. Hah, mungkin nak ikut jejak langkah bapanya sebagai pelakon?
The Rock yang mempunyai lebih 100 juta pengikut di Instagram juga merupakan bapa kepada gadis cantik bernama Simon Garcia berumur 16 tahun. Ia adalah hasil perkahwinan terdahulunya dengan Dany Garcia.
Jom, lihat wajah terkini Jasmine.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahukah anda selain mengagihkan duit kutipan zakat untuk menampung kos sara hidup asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal turut menyediakan khidmat bantuan berupa perubatan, pendidikan dan perniagaan. Bermatlamat untuk menjadikan golongan asnaf sebagai pembayar zakat kelak, sebuah Skim Bantuan Keusahawanan Institut Profesional Baitulmal dilaksanakan khusus bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Meskipun pengkhususan menjurus kepada golongan wanita namun tiada pengasingan gender untuk permohonan skim ini. Penglibatan wanita yang semakin ramai dalam industri perniagaan telah menarik perhatian Baitulmal untuk melaksanakan bantuan terlibat. Dalam masa sama menyahut seruan kerajaan untuk memartabat dan memperkasakan golongan ini memandangkan lebih 1 juta usahawan wanita telah berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga Januari tahun lepas.
Selain berkemahiran dalam bisnes jahitan dan pakaian, majoriti wanita yang memohon bantuan Baitulmal lebih tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana seperti makanan tetapi bukan yang berskala besar. Jenis perniagaan yang mahu diusahakan bergantung kepada keupayaan para pemohon itu sendiri selagi tidak bertentangan dengan syarak dan bukan perniagaan secara atas talian.
Gambar hiasan
“Kita akan tengok orang yang betul-betul berpotensi. Buat permulaan, bantuan sebanyak RM5 000 disalurkan kepada yang layak. Dulu kita cuma beri RM5 000 saja tapi sekarang boleh sampai RM35 000. Bagaimana pun akan ada pemantauan dari semasa ke semasa. Kalau perkembangan bisnes bagus, kami akan tambah bantuan untuk bulan seterusnya secara berperingkat sehingga mencapai angka tersebut.
Bentuk bantuan pula merangkumi tiga aspek iaitu pemberian peralatan saja, modal saja atau peralatan dan modal. Contohnya daripada modal yang diberikan tadi, RM1 ribu modal tunai sementara bakinya untuk peralatan dapur gas, periuk nasi, ketuhar atau apa saja peralatan yang diperlukan untuk berniaga,” terang Ustaz Mohd Nizam Yahya yang merupakan Pengurus Bahagian Baitulmal.
Memetik kenyataannya lagi, beberapa prosedur saringan akan dibuat sebelum lembaga kewangan Islam yang bertindak membela kepentingan kaum fakir miskin ini meluluskan sesuatu permohonan. Kriteria yang akan diambil kira antaranya termasuk perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan, berniaga di Wilayah Persekutuan, bidang perniagaan tidak melanggar syarak, mempunyai lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, berdaftar dengan SSM dan berumur 30 tahun dan ke atas.
Hasrat murni Baitulmal untuk menjadikan golongan asnaf sebagai pembayar zakat sememangnya bukan tugas mudah. Biarpun pengagihan bantuan diberikan kepada peniaga terlibat namun untuk menembusi pasaran di kota metropolitan Kuala Lumpur adalah agak sukar.
Berdepan taraf hidup yang tinggi dan tekanan ekonomi yang kian meningkat merupakan antara faktor yang merencatkan usaha badan kebajikan ini. Bahkan para usahawan yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal tidak mempunyai jaringan perniagaan yang kuat.
Bagi yang ingin memohon Skim Bantuan Keusahawanan Baitulmal boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang disediakan di pejabat MAIWP atau di lapan cawangan Pusat Agihan Zakat (PAZA) atau memuatnaik borang secara atas talian melalui laman webwww.maiwp.gov.my. Borang yang telah lengkap diisi harus dihantar secara manual ke pejabat MAIWP.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tiada kata-kata yang boleh dilafazkan selain terharu oleh Che Zuhaiza Che Hamat terhadap pengorbanan suaminya, Mohd Rusdi Husain. Sejak lima tahun lalu Che Zuhaiza telah diuji dengan musibah penyakit Multiple Sclerosis atau gangguan saraf.
Che Zuhaiza hanya boleh dipapah serta berkerusi roda untuk bergerak. Suamilah tempatnya bergantung harap, bukan sekadar menjaga dirinya yang tidak mampu lagi untuk bergerak bahkan melakukan semua urusan rumah tangga termasuklah menguruskan anak-anak.
Cukup besar pengorbanan seorang suami yang mungkin sukar untuk kita lihat pada zaman sekarang. Wajah lelaki berusia 44 tahun ini tampak tenang demi melihat kebajikan isteri tercinta sentiasa terjaga.
Pasangan ini dikurniakan empat zuriat yang masih kecil berusia 11, 9, 7 dan 6 tahun. Mohd Rusdi bertugas sebagai pembantu bilal di Masjid Saidina Othman Bandar Tun Razak Kuala Lumpur.
PENGORBANAN
“Saya disahkan mengalami gangguan saraf dan tidak dapat berjalan sekitar tahun 2013. Ia berlaku ketika saya mengandungkan anak bongsu. Namun alhamdulillah saya dapat bersalin secara normal.
Ini satu keajaiban di saat diri menderita dengan penyakit. Doktor juga memberitahu penyakit saya ini tak akan sembuh dan saya terpaksa bergantung dengan ubat dan rawatan hospital. Sejak saya sakit kadangkala anak-anak terpaksa ponteng sekolah untuk bantu suami menjaga saya. Jiran-jiran juga banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga.
Ini antara kekuatan saya kerana di saat begini kami dikelilingi insan-insan yang baik dan berhati mulia. Selain itu, doa dan sabar menjadi kekuatan saya. Mujurlah anak sulung kami sudah boleh diharap dan ringan tulang membantu. Setiap hari suami akan memasak siap-siap kemudian dia akan bergerak ke Masjid Saidina Othman sebelum Zohor.
Saya terharu kerana suami sanggup belajar apa yang dia jarang buat sebelum ini seperti memasak dan mengemas rumah. Suami juga buat dua tiga kerja demi menambah pendapatan keluarga.
Terima kasih buat suami kerana sanggup bersusah payah menjaga saya dan anak-anak. Hikmahnya, kami sekeluarga kini bertambah rapat. Cinta dan kasih sayang kami kian mendalam,” luah Che Zuhaizah berusia 39 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!