Dilantik Perdana Menteri Ke-9, Ini Fakta Tentang YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yang Perlu Rakyat Tahu

Tanggal 20 Ogos 2021 merakam sejarah negara terbaharu apabila YAB Datuk Seri Ismail Sabri secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9. Umum mengetahui bahawa amanah yang digalas oleh mana-mana pemimpin tertinggi pada zaman pandemik ini seharusnya teliti kerana ia melibatkan 32.75 juta kehidupan rakyat Malaysia.

Barangkali inilah yang menjadi dilema para pemimpin negara. Seboleh upaya menyelamatkan keadaan namun peningkatan kes baharu COVID-19 terus memecut naik.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.

 

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” memetik kenyataan yang dikongsi di media sosial Istana Negara pada Jumaat.

lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri adalah dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

Istiadat tersebut dijadual berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. PM Ismail Sabri dijangka akan ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
PROFIL PM
10 FAKTA ISMAIL SABRI
  1. Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960. Kini berusia 61 tahun.
  2. Mendirikan rumah tangga pada 1986 bersama Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
  3. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan.
  4. Anak sulungnya, Datin Nina Sabrina berkahwin dengan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, manakala anak lelakinya, Gadaffi atau lebih dikenali sebagai Dafi merupakan penyanyi dan pelakon.
  5. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bangau, Temerloh, Pahang (1967), Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan, Pahang (1973) dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang (1976). Beliau menyambung pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik dan kemudiannya Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (1980).
  6. Memulakan kerja sebagai peguam sebelum dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik, pada 1995 dan berpengalaman menjadi jemaah menteri sejak 2008.
  7. Menjadi Ahli Parlimen Bera dari 2004 sehingga kini.
  8. Menerajui lima kementerian iaitu menjadi Menteri Belia dan Sukan; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri Pertahanan.
  9. Sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), selain menjadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
  10. Dalam parti politik, beliau bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Temerloh (1987), Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh (1988), Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Temerloh (1993) dan Timbalan Ketua Bahagian Temerloh (2001) serta Ketua Umno Bahagian Temerloh (2004). Kini, beliau merupakan Naib Presiden Umno.

SIFAT KEBAPAAN

Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat, pendekatan kekeluargaan yang diterapkan oleh beliau sentiasa segar di hati. Beliau juga pernah diberi gelaran Pak Long Mail sewaktu PKP 1.0 lalu.

Penguatkuasaan undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah, tapi bayangkan ketegasan lelaki ini berjaya mendapat kerjasama rakyat dengan cara tersendiri.

Kalau masih ingat, antara yang menjadi perhatian adalah penampilan kemeja dan perhiasan dekorasi yang menjadi penyeri sidang media beliau! Sangat kreatif.

Perhiasan dekorasi di kediaman Pak Long Mail menjadi bahan bidaan penonton

 

Kemeja yang dikenakan sentiasa mendapat pujian

 

Penampilan Pak Long Mail pernah disamakan dengan pelbagai dessert lazat

 

Yang pasti, pelantikan pemimpin kanan berusia 61 tahun ini diharapkan mampu menyatukan hati kita yang sedikit ‘tercalar’ dengan situasi semasa.

 

“Kita mendengar, dan kita mahu yang terbaik buat rakyat. Kesihatan dan keselamatan rakyat adalah perkara penting yang akan terus diutamakan di negara ini.

Stay safe semua… Saya sayang kalian semua…” Ismail Sabri

 

Semoga dengan pelantikan YAB Datuk Seri Ismail Sabri ini dapat membantu negara meratakan lengkung jangkitan COVID-19 di Malaysia sekaligus menyatukan semula hati-hati rakyat yang jelas ‘terpukul hebat’ dengan cabaran pandemik sekarang.

Sama-sama kita jaga kita dan ketepikan jurang ketidaksefahaman demi menyelamatkan masa depan negara. InsyaAllah, percaya bahawa kita semua mampu lakukan.

Tahniah Datuk Seri!

Share
Published by
Norzalina