Dilantik Sebagai Duta Hospital Pakar Tulang, CP SARIMAH IBRAHIM Teruja Berkongsi Kesedaran Dengan Masyarakat

Menepati kriteria, Che Puan Sarimah Ibrahim dipilih sebagai duta kesihatan untuk hospital pakar tulang, ALTY Orthopaedic Hospital.

Kredit Foto: Instagram Sarimah Ibrahim

Majlis perlantikan bagi pengacara, penyanyi serta pelakon berketurunan Melayu-Ireland ini diadakan di premis hospital yang terletak di Menara ALTY, Jalan Ampang pada 15 Jun 2022 dalam suasana ringkas bersama media.

Objektif kerjasama ini adalah bagi memacu kesedaran tentang penjagaan kesihatan tulang yang baik. Sebagai seorang yang prihatin dengan kesihatan, CP Sarimah akan menyertai usaha-usaha bersama ALTY untuk meningkatkan kesedaran melalui beberapa siri inisiatif pendidikan.

Inisiatif tersebut merangkumi program kesedaran komuniti dan siri video pendidikan penjagaan tulang di kalangan rakyat Malaysia.

CP Sarimah menyuarakan keterujaannya apabila dilantik sebagai duta bagi kolaborasi selama setahun ini yang julung kali diadakan. Menurutnya, sebagai selebriti sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia.

“Sebagai selebriti saya akan lakukan yang terbaik untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai termasuklah diri sendiri tentang betapa pentingnya penjagaan kesihatan tulang.”

Selain bergelar duta kesihatan, CP Sarimah juga bakal mengacarakan program-program berkaitan penyakit tulang bersama lapan doktor pakar di ALTY Orthopaedic Hospital.

Kredit Foto: Instagram Sarimah Ibrahim

Turut serta dalam sesi temu bual bersama media ialah Dr. G Ruslan Nazaruddin yang merupakan Pakar Perunding Bedah Ortopedik & Penggantian Sendi.

Selesai majlis, pihak media diberi peluang untuk menjelajah beberapa ruang utama di hospital antaranya wad pemulihan serta bilik EOS yang dikhususkan untuk rawatan low-dose radiation alterative.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad