Kanak-kanak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang bersih. Berjayanya seorang anak itu bergantung kepada corak didikan dan asuhan yang diterapkan kedua ibu bapa. Begitu juga sebaliknya.

Menyentuh mengenai pergaulan si manja, tidak dinafikan setiap daripada mereka  memiliki karakter yang berbeza-beza. Ada yang pemalu hingga sukar bergaul, terlalu ramah hingga merimaskan rakan-rakan dan ada juga yang suka mengacau sehingga hilang teman di sisi. Bagaimana pula anak anda?

IKLAN

Secara amnya, perkembangan sosial si manja boleh dilentur oleh ibu bapa sendiri. Istilah bersosial tidak hanya membicarakan tentang kemahiran bertutur dan bagaimana untuk mendapatkan kawan. Malah ia meliputi aspek yang lebih luas iaitu etika dan tata cara yang betul dalam pergaulan seharian.

BERI PERHATIAN

Kanak-kanak sering menunjukkan masalan sosial dan perkembangan tidak normal apabila mereka kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa. Untuk mengatasi masalah ini daripada terus berlanjutan, apa kata anda cuba bermain dan berkomunikasi bersama anak-anak.  Tatkala sedang meluangkan masa untuk bermain bersama-sama, kurang atau elakkan daripada penggunaan perkataan seperti ‘tidak’ atau ‘jangan’. Sebaliknya, berikan mereka ruang dan peluang untuk meneroka persekitaran.

BAWA BERIADAH

Bawa si kecil ke majlis atau tempat yang mempunyai ramai orang. Biarpun ia baik kepada anak-anak untuk mengasah teknik komunikasi dan pergaulan, namun sebagai ibu bapa anda harus ingat dan sentiasa peka terhadap pergerakan mereka. Pastikan anak-anak tidak lepas daripada pandangan untuk mengelak perkara yang tidak diingini. Kanak-kanak mudah menyerap apa yang mereka lihat dan dengar. Pelbagai konsep komunikasi terbentang luas di depan mereka waktu ini. Sekali lagi, biarkan mereka meneroka persekitaran untuk melatih si kecil agar tahu berkongsi, menyelesaikan konflik di samping teman-teman serta menikmati keseronokan bermain.

TERAP NILAI MURNI

Galakkan anak anda agar bersalam dengan orang yang lebih tua atau apabila mereka bertemu rakan sebaya. Jadikan ia sebagai amalan yang membuatkan si manja terbiasa dengan keadaan tersebut. Secara tidak langsung anda mendedahkan mereka kepada sifat dan nilai terpuji. Selain itu, didiklah si manja untuk mengucapkan terima kasih atas setiap pemberian yang diterima. Biarpun anak-anak masih belum pandai berkata-kata, tidak menjadi kesalahan bagi ibu bapa untuk mengungkapkannya acap kali sehingga ia menjadi kemestian kepada si manja apabila mereka dewasa kelak.

SESI BERCERITA & BERLAKON

IKLAN

Ada ketika, biarkan si kecil bereksperimentasi dan berimaginasi di dalam dunia mereka sendiri. Luangkan masa bersama untuk mencipta satu permainan suasana atau menyampaikan kisah-kisah dongeng. Misalnya anda boleh melakonkan watak tertentu dan si kecil pula memegang watak yang memerlukan mereka berkomunikasi. Sebagai contoh, anda melakonkan watak pesakit sementara si anak pula menjadi doktor atau jururawat. Gunakan dialog yang sopan dengan penggunaan bahasa yang mudah dan suasana yang mesra. Melaluinya ia dapat melatih anak anda menjadi kreatif dan bijak bersosial.

SERTAI KELAS PILIHAN

Terdapat pelbagai jenis program dan kelas disediakan khas buat kanak-kanak. Sama ada di taska mahupun pusat membeli-belah, ada sahaja acara dan program yang dianjurkan untuk mengasah bakat dan kemahiran si kecil. Selami minat anak anda terlebih dahulu dan daftarkan mereka mengikut kelas dan program kesukaan mereka. Bukan hanya menambat minat si kecil malah ia juga akan membuatkan anak anda bergaul bebas dengan kanak-kanak lain yang menyertai program sama.

IKLAN

FAKTOR PENYEBAB ANAK PEMALU

  • FIZIKAL

Disebabkan sikap pasif si manja yang mungkin merasakan ada kekurangan di dalam diri mereka.

  • PSIKOLOGI

Cenderung untuk kurang berinteraksi bersama teman-teman atau orang sekeliling. Akibatnya, mereka berasa takut atau malu setiap kali bertemu orang ramai.

  • TERKURUNG DI RUMAH

Aktiviti anak-anak yang hanya terhad di dalam rumah juga menjadi faktor penyebab anak menjadi pemalu kerana tidak memiliki teman dan berasa kekok apabila keluar dari rumah.

  • EMOSI

Anak yang emosinya tidak stabil sehingga sukar untuk didekati. Mungkin disebabkan pemakanan, persekitaran dan peristiwa yang menyebabkan mereka takut untuk bergaul.SUZIANAABUDAUD

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI