Bersuamikan lelaki yang pernah menjadi hak milik wanita lain, sememangnya suatu beban yang bukan kepalang. Memulakan hidup baru bersama isteri baru barangkali kedengaran mudah, namun hakikatnya tidak begitu.
Bagi Nurdhia, hatinya puas dibalut syak wasangka setiap kali Imran pergi melawat anak-anaknya. Bukan niat ingin menghalang, tapi apa tujuannya dia perlu bermalam, dan kembali keesokannya dengan pakaian kemas seolah-olah diurus rapi oleh bekas isterinya?
Bukan Nurdhia tidak tahu betapa rapatnya Imran dan Azie. Meskipun istilah cerai telah rasmi di atas kertas, mereka tetap berhubungan, masih kerap berutus SMS dan berbalas panggilan setiap hari.
Kadang-kadang ingin memekik seperti orang gila pabila Nurdhia dapat tahu Imran masih berjumpa Azie, malah bekas mertua dan bekas ipar-duai mereka di luar pengetahuannya. Entah apa yang dirahsiakan, tapi yang pasti hubungan suami dan bekas isterinya ibarat satu malapetaka!
Pernah suatu hari, Nurdhia berkeras ingin mengikut Imran menjenguk anak-anaknya di rumah Azie. Keras nada ugutan Nurdhia, membuat Imran serba-salah dan terpaksa bersetuju dengan kemahuannya. Tiba di sana, dua orang cahaya mata Imran sudah menanti di samping perempuan itu yang berskirt labuh.
Mata mereka bertentangan, lalu anak-anak ditarik masuk dan pintu dihempas kuat tanda benci pada kehadiran Nurdhia. Sejak itu juga, muka Imran masam mencuka!
Masih Ada Cinta?
Cerita Nurdhia kepada penulis, dia sanggup menerima lamaran Imran walaupun tahu status lelaki itu yang menduda. Biarpun hasrat menikah pada awalnya ditentang keras oleh keluarga perempuan, namun sikap bersungguh-sungguh Imran meleburkan tembok besi yang menghalang.
Dia dipinang dengan nilai yang tinggi, malah resepsi majlis turut diadakan di hotel lima bintang seperti yang sering diimpikan sejak dulu. Apa yang Nurdhia tidak tahu, Imran menikahinya bukan kerana cinta.
Menghuni di lokasi elit, banglo mewah lengkap kolam renang dan tiga buah supercars mendampingi hidup Nurdhia di sisi Imran. Isi rumah dilengkapi perabot import dari Itali.
Malah demi cintanya pada wanita jelita itu, Nurdhia dihadiahkan sebuah walk-in wardrobe berisi segala keperluan wanita daripada jenama terkemuka. Dia seharusnya berasa beruntung tetapi hakikatnya tidak, kerana Imran asyik mengulit permintaan bekas isteri di atas tiket kasihankan anak-anak…
Tambahnya lagi, Azie ditinggalkan tanpa sebab yang pasti. Barangkali kerana imej atau sikapnya, Nurdhia tidak tahu. Maklumlah Imran insan bergelar, punya jawatan tinggi dan tampan sekali. Azie pula hanya suri rumah, kerjaya lalu sanggup dikorbankan demi membesarkan anak-anak.
Cinta suami dan bekas isterinya terbit sejak mereka sama-sama menuntut di sekolah rendah. Kata orang itulah cinta pertama dan cinta pandang pertama mereka. Masing-masing sukar melupakan.
Kini walaupun Azie tahu Nurdhia sudah menggantikan tempatnya, dia masih mengongkong hidup Imran. Merimaskan! Anak-anak dijadikan tali pengikat lelaki itu sehingga Imran seperti di persimpangan setiap kali perlu membuat keputusan.
Akhirnya Nurdhia sering kalah, terpaksa melepaskan Imran dari pangkuannya semata-mata perlu bergegas ke pasar raya untuk membeli makanan yang dipinta oleh anak-anak! Ah, kejamnya kau Azie!
Sampai bila dia harus membatukan diri, Nurdhia sendiri tidak tahu. Cintanya pada Imran memang sehebat cinta Siti Zulaikha pada Nabi Yusuf, tapi apakah Imran juga begitu?
Adakah dia harus kalah dan menyerah pada takdir cinta Imran dan Azie, membiarkan sang suami terus hanyut dalam dosa setiap kali bertamu ke rumah bekas isterinya?
Cukup Cukup Sudah
Menurut pakar perhubungan Dr. Gilda Carle, hanya wanita yang terdesak dengan cinta sahaja yang mampu bertahan dalam situasi yang dialami oleh Nurdhia.
“Jangan terus-menerus menyakitkan diri sendiri. Suami anda bercerai hanya di atas kertas tapi dia terang-terangan masih menyimpan hati pada bekas isterinya. Jika dia sendiri tidak tahu meletakkan had dalam perhubungan lalu, bermakna dia langsung tidak sensitif pada perasaan anda sebagai isterinya yang sah.”
Bangkitlah, bersuara dan berkemas untuk pergi jika suami anda masih tegar memenangkan bekas isterinya! Tapi kenal pasti mengapa anda sangat berharap untuk perhatiannya.
Jika anda sukar membuat keputusan, segera dapatkan kaunseling untuk menimbangkan segala keputusan yang ada. Barangkali juga masih ada penyelesaian bijak yang boleh difikirkan selain memaksa Imran melepaskan perkahwinannya buat kali kedua.
(a) Panduan Berinteraksi Dengan Bekas Isteri Suami
(b) Elakkan Rasa Cemburu
Sebagai wanita biasa, adalah normal untuk merasa cemburu atau iri hati apabila suami anda perlu bersemuka dengan bekas isterinya. Kepercayaan harus diberi sebagai tanpa pengorbanan dan hormat pada suami yang dikahwini. Bagi mengelakkan rasa cemburu buta, berikut beberapa tip untuk dipraktikkan:
This website uses cookies.