Gaya Hidup

Dilema Seorang Kekasih Gelap, Salahkah Aku Mencintai Suami Mu?

Ini cerita tentang aku. Sisi gelap tentang kehidupan ku. Siapa aku biarlah hanya insan yang selayaknya yang mengenali aku. Tatkala meniti usia yang semakin senja ini aku terfikir, sampai bila dan bagaimana harus terus ku menyusuri perjalanan kehidupan yang meniti lorong-lorong yang penuh berliku dan kegelapan ini. Diri seakan terperangkap di antara cinta, kasih, sayang, persahabatan, kesetiaan, kepalsuan dan pengkhianatan dan kecurangan.

Kisah kami bermula 7 tahun yang lalu, berkenalan di sekitar tahun 2010. Dia suami orang, bapa kepada 3 orang cahaya mata yang masih kecil. Dia lelaki yang aku cintai. Dia lelaki yang membahagiakan aku dengan keperibadiannya, lelaki yang menceriakan kesuraman hidup ku dengan gelak tawanya, lelaki yang mewarnai kehidupan ku dengan warna-warna cintanya.

Namun dia juga lelaki yang meninggalkan seribu duka yang paling dalam pada hati ini, lelaki yang membelenggu akal dan fikiran ini dengan cinta yang terawang-awang tanpa kepastian, tanpa arah dan tujuan. Lelaki yang tiada kekuatan hati dan diri untuk menghalalkan segala perasaan dengan sebuah ikatan yang tulus.

Lelaki yang tiada keteguhan pendirian tentang kekuatan cinta yang dilayari. Lelaki yang hatinya berbolak-balik tentang perasaan dan keinginan untuk membina mahligai bersama. Lelaki yang terlalu takut akan kehilangan kasih sayang keluarganya sekiranya menerima aku di dalam hidupnya.

Lelaki yang terlalu nipis keyakinannya untuk mempertanggungjawabkan setiap perasaannya terhadap aku. Tapi siapa pun dia, walau apa pun layanan dan ketakutan yang sering disuarakannya, mana mampu aku menafikan perasaan ini terhadapnya, mana mampu aku menidakkan kasih sayang ini terhadapnya.

Sudah terlalu lama kami bersama dan sudah terlalu banyak cerita yang kami ciptakan bersama. Sudah terlalu banyak kisah suka duka yang kami kongsi bersama. Sudah terlalu banyak masa, wang ringgit dan perasaan yang telah kami korbankan bersama.

Dia terlalu istimewa, walaupun kami bercinta dan berjumpa secara gelap, bersembunyi dan walaupun dia suami orang tapi dialah lelaki yang aku puja. Selama 7 tahun bertakhta di dalam hati ini, ada kalanya aku merasakan tak mampu hidup tanpa dia.

Adakah dia mencintai aku, sebagaimana aku mencintai dia? Tipu kalau aku kata dia tak sayangkan aku, tidak benar sekiranya kalian menuduh dia tidak mencintai aku. Dia seumpama raja dan aku adalah permaisurinya. Dia pernah berkata aku ialah pelengkap hidupnya, tanpa aku hidupnya suram tanpa warna-warna ceria. Di dalam dia ada aku dan di dalam aku ada dia.

Kami sentiasa bersama ke mana-mana. Di mana ada dia, di situ ada aku. Bercuti bersama, menemani beliau setiap kali beliau bekerja outstation dan sudah menjadi kemestian setiap minggu pasti berjumpa menghabiskan masa berdua dengan cara kami. Walau apa cara dan masa kami tetap bersama.

Tapi adakah ini yang dinamakan cinta sejati? Adakah kesucian cinta di hatinya terhadap aku? Dosa, terlalu banyak dosa, tak terhitung rasanya. Rasa cinta ini telah mengaburi segala-galanya, cinta juga telah menggelapkan nur di hati kami. Tidak wajar rasanya kalau aku katakan tidak merasa bersalah atau berdosa pada Tuhan, pada mereka yang terlibat dan pada diri sendiri.

Tidak betul seandainya jika aku katakan tidak takut dikejar oleh bayang-bayang dosa diri sendiri, kerana aku juga adalah manusia biasa ciptaan Allah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab aku terhadap Tuhan. Tapi aku memerlukan kekuatan untuk melangkah ke satu fasa yang akan membawa aku keluar dari belenggu ini.

Untuk mencantikkan lagi kisah cinta terhalang ini, aku telah memberanikan diri melakukan sesuatu yang mungkin agak gila, agak keterlaluan yang sukar untuk diterima oleh akal dan fikiran ku sendiri. Untuk mengenali dan menyelami kehidupan insan yang aku cintai ini, aku sanggup menyerahkan diri dan hati untuk terus terluka dengan lebih teruk lagi, kebodohan apakah ini? Inilah yang digelar, kebodohan dan kejahilan cinta.

Setelah 4 tahun bersama, aku mencari jalan bagaimana aku dapat mengenali isteri kekasih ku. Pada penghujung tahun 2014, bermulalah cerita perkenalan di antara aku dengan isteri lelaki yang aku cintai, bermula di Facebook hanya dengan alasan ingin membeli baju secara online dengan isteri beliau yang ketika itu menjalankan perniagaan online secara part time dan kecil-kecilan.

Bermula detik itu kami berjumpa, kami bercerita, kami berkongsi segala. Semakin hari semakin rapat, adakala aku dijemput datang ke rumahnya untuk bersama-sama meraikan apa-apa majlis keraian, sambutan hari jadi, sambutan hari raya, perkahwinan dan apa saja kami akan berkongsi bersama bila ada kelapangan.

Kini hampir 3 tahun kami bersahabat, bersahabat bukan saja di alam maya tapi realitinya, bukan saja di Facebook tapi di IG juga, tanpa dia mengetahui bahawa kami berkongsi kasih sayang dan mencintai lelaki yang sama, yang membezakan aku dan dia hanyalah ikatan.

Dia ialah wanita yang berhak dan aku ialah wanita yang tiada hak terhadap lelaki itu. Sumpah, hati lebih meruntun apabila dapat melihat dan menyaksikan keakraban kehidupan mereka sekeluarga, melihatkan kasih sayang yang terjalin di antara mereka menjadikan aku lebih terluka dan merana.

Tapi sebaliknya pula pada kekasih ku, dia merasa gembira dan bahagia melihat aku berbaik dengan isteri dan anak-anaknya. Dan dia sentiasa mengharapkan agar aku akan sentiasa ada di kalangan mereka, tanpa memikirkan apa yang aku rasa dan wujudnya aku ini untuk apa.

Namun demi cinta, aku penuhi segala kehendaknya, berkawan dengan isteri dalam masa yang sama berkasih dengan suami. Berjumpa dengan isteri di depan suami dan berlakon seolah-olah kami tidak mengenali sesama sendiri. Berada di dalam rumah bersama isteri dan suami hanya mampu tersenyum dan menjeling dari jauh tanda memberi isyarat rasa bahagianya aku ada bersama di kalangan mereka.

Oh, kekejaman dan kebodohan apa yang telah aku lakukan pada diri ku ini, pengkhianatan apa yang telah berlaku di antara aku dan isterinya? Dengan melakukan perkara yang tidak tercapai oleh akal dan fikiran ini, apakah kepuasan yang aku peroleh? Bertanya pada diri sendiri pastinya jawapannya tidak mampu ku temui, bertanya pada orang lain pasti hanya makian yang akan dilemparkan buat aku!

Bukan mudah untuk menjadi seperti aku, pengalaman buruk di dalam perkahwinan lalu telah menjadikan aku wanita yang buta hati pada cinta. Keperitan hidup yang aku lalui sebagai ibu tunggal selama 17 tahun menjadikan aku seorang pencinta yang mati jiwanya, hidup sendirian mengharungi kepayahan suka duka membesarkan 2 orang anak-anak yang masih kecil ketika itu menjadikan aku wanita yang keras, tegas, berani, seorang pendendam dan beku rasa.

Kehilangan kedua-dua orang tua pada ketika hidup terumbang ambing menjadikan aku wanita yang tabah dan dalam masa yang sama kejam terhadap perasaan sendiri. Kini anak-anak ku sudah meningkat dewasa, aku sudah mampu menghela nafas lega. Sedikit demi sedikit keinsafan itu wujud dalam diri.

Aku semakin terfikir ke arah untuk mengakhiri segala kemelut jiwa ini. Segala dosa yang tak tertanggung ini. Aku semakin kuat memujuk hati untuk mengumpul kekuatan diri untuk melangkah ke arah yang lebih positif di dalam kehidupan ini. Persoalannya bila dan bagaimana?

Tiada kata yang mampu terucap, tiada arah langkah kaki untuk ku berjalan tanpa dia di sisi ku. Aku ibarat awan gelap yang bergulung di langit yang tersirat mendung, berkelana mencari sinar sekiranya tanpa dia di hati ku. Aku umpama terumbu laut yang bakal hancur dihempas oleh ombak laut tanpa dia di sisi ku. Aku bagai angin yang bertiup kencang tanpa arah dan tujuan begitulah aku mencari erti kasih sayang tanpa dirinya di sisi ku!

Mampukah aku hidup tanpa lelaki yang sudah menjadi separuh daripada nyawa ku? Mampukah aku mengharungi hari-hari yang kelam tanpa kewujudan dia di dalam hatiku? Kehidupan yang akan aku lalui pastinya akan lebih perit dan lebih sakit dan dipenuhi dengan nanah berdarah! Aku pasti akan merinduinya seperti bumi memandang awan dengan ungkapan paling rahsia mendoakan dia menjadi hujan.

Namun sudah terlalu lama rasanya kesabaran ini ku lalui sendirian, aku sudah bosan dan lelah dengan kebodohan yang tidak pernah menghargai perasaan ku, yang pasti aku harus terus melangkah ke depan meninggalkan segalanya seandainya sudah ternampak jelas cinta yang aku dambakan selama ini adalah cinta yang tak pasti.

Aku bercerita di sini bukan untuk meraih simpati kerana simpati itu bukan selayaknya buat pencinta gelap seperti aku. Aku berkongsi rasa di sini bukan untuk dihina atau dicaci di atas segala khilaf dan kebutaan rasa ini kerana aku masih menghargai cinta itu anugerah terindah dari Ilahi.

Sejahat-jahat aku sebagai perempuan yang mencintai suami orang tidak sekali aku pernah merampas segala kasih sayang dan tanggungjawab seorang suami terhadap keluarganya. Sehina-hina aku sebagai pencinta, tidak pernah sekali aku merampas kebahagiaan seorang isteri yang wajib dari suaminya. Sekeji-keji aku seorang wanita tidak pernah sekalipun aku membiarkan seorang suami mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami yang baik terhadap anak isterinya.

Masa dia bersama keluarganya, dia milik mutlak mereka dan aku tiada hak ke atas dirinya dan ketika dia bersama aku, dia hanyalah pinjaman buat ku dan aku tetap tiada hak ke atas dirinya. Siapakah yang lebih malang? Siapakah yang lebih merana? Aku, dia atau isterinya?

Selama 7 tahun kami bersama, tidak pernah sekalipun isterinya mengesyaki suaminya dan tidak pernah sekelumit isterinya dapat menghidu kewujudan aku dalam kehidupan mereka. Bahagia itu tetap miliknya, kasih sayang itu, cinta itu tetap miliknya kerana aku tidak pernah mengganggu kebahagiaan masa mereka bersama.

Aku sentiasa sedar di mana tempat aku dalam kehidupan dia. Terlalu bersalahkah aku? Ataukah aku hanya seorang mangsa yang terperangkap di dalam kancah cinta tiga segi yang nyatanya bukan berpihak kepada aku? Aku mungkin diperlukan kerana ada sayang di hati dia tapi bukan diperlukan kerana aku wajib untuk dipertanggungjawabkan selayaknya sebagai seorang perempuan oleh dia.

Mungkin maknanya yang mampu aku simpulkan di sini, kehidupan ini memang sudah ada jalannya dan kita sebagai manusia yang sabar tetap harus berfikiran positif akan rencana dan ketentuan dari-Nya, bukan pinta ku jadi begini, cuma mungkin kerana ia kesilapan ku dalam mengatur corak hidup ku.

Jujur aku akui, aku juga seperti kamu semua, seorang hamba Tuhan yang perlukan kasih sayang dan perhatian dari seorang insan yang bergelar lelaki. Yang bersalah itu aku, bersalah kerana mencintai orang yang salah, bersalah kerana aku mencintai orang yang sudah dimiliki oleh orang lain. Tapi berbunyikah seandainya bertepuk hanya sebelah tangan? KR

Share
Published by
Norzalina