Wanita yang hebat adalah wanita yang tahu apa yang diingini di dalam kehidupan. Bukan sekadar memiliki objektif bahkan menyumbang kepada pembangunan insan di sekeliling. Tidak kiralah apa pun latar belakang keluarga, ia bukan menjadi satu jaminan atau tiket yang pantas untuk berjaya. Biarpun beliau berdarah keturunan diraja dari kerabat Negeri Sembilan ia langsung tidak memberi kelebihan kepadanya dalam mendaki tangga kejayaan sebaliknya usaha yang tidak kenal erti lelah dan juga kesungguhan yang tinggi menjadi kunci kepada kehidupan yang lebih baik.
Boleh ceritakan mengenai perjalanan kerjaya anda?
Sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat diploma, saya terus mencari pekerjaan dan alhamdulillah ketika itu saya diterima bekerja di IBM Malaysia. Kemudian saya bertukar kerjaya di dalam bidang penyiaran radio di bahagian pemasaran bersama dengan Media Prima Berhad dan ketika itu radio hot.fm baru sahaja dilancarkan jadi saya diletakkan dalam posisi untuk membangunkan jenama ini. Sepanjang bekerja di sana tidak dinafikan saya menimba begitu banyak pengalaman dan bertemu ramai orang. Dari satu acara ke satu acara dan semuanya begitu menyeronokkan namun lama kelamaan saya mula terfikir bahawa kalau saya terus dengan kerjaya ini mungkin saya tidak mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. Kalau nak tahu selepas menceburi kerjaya ini saya pernah menyertai multi level marketing dan bermacam-macam lagi jenis kerjaya yang saya rasakan boleh memberi keuntungan namun semuanya tidak membuahkah hasil sehinggalah saya menceburkan diri dengan Public Mutual. Bermula pada tahun 2010 saya bermula dari bawah dan belajar selok-belok dunia pengurusan kewangan ini dengan mereka yang lebih senior.
Kalau nak tahu, untuk berjaya di dalam Public Mutual bukanlah mudah, sebaliknya ia memerlukan sikap yang positif dan minat yang tinggi. Selain itu seseorang perlu suka cabaran dan apabila berdepan dengan klien berpotensi kita harus mempersiapkan diri dengan segala maklumat. Caci dan maki daripada mentor adalah perkara biasa, namun saya faham bahawa mereka mahu menolak saya untuk menjadi seorang insan yang lebih kuat dan cabaran serta dorongan mereka itu saya ambil dari sudut positif. Alhamdulillah, gaji pertama saya sebagai Perunding Unit Trust mencecah RM6000, mungkin kedengaran tidak banyak tetapi percayalah saya cukup bersyukur dan gembira. Sebelum ini menerusi pekerjaan lain gaji saya tidak sampai pun sebanyak itu. Jadi ini menaikkan lagi semangat saya untuk berjaya di dalam bidang ini. Dari jawatan Perunding Unit Trust saya sedikit demi sedikit mendaki tangga kerjaya dengan bergelar Agency Supervisor
kemudian naik sebagai Agency Manager sehinggalah bergelar Group Agency Manager kepada kumpulan saya sendiri sehingga kini.Pernahkah orang lain merendah-rendah pilihan kerjaya anda?
Pernah! Bukannya orang luar, orang terdekat dengan saya pun merendah-rendahkan jalan kerjaya yang saya pilih. Ada yang pernah mempersoalkan boleh kaya ke sebagai seorang Perunding Public Mutual. Lebih teruk dari itu saya dipandang kecil sahaja berbanding orang lain. Tetapi saya langsung tidak mengambil peduli apa tanggapan mereka. Saya sesekali tidak mahu bersikap kurang ajar, jadi saya hanya mendiamkan diri. Perkara ini menjadikan semangat saya lebih kuat untuk berjaya. Sesungguhnya percaturan rezeki Allah untuk hambanya yang bekerja keras sangat besar. Kini apabila sudah berjaya orang yang dahulunya memperkecilkan saya sudah tidak boleh merendah-rendahkan diri ini. Jauh di sudut hati ini, saya serba sedikit berterima kasih kerana merekalah yang menjadikan saya seorang wanita yang kental untuk mencapai impian
Boleh kongsi tiga tip untuk menjadi orang berjaya?
Tiga perkara yang perlu ada untuk jadi orang berjaya ialah rajin, impian dan juga doa. Pertama kita perlu rajin berusaha, kalau kita malas bagaimana kita hendak berjaya bukan. Hanya orang yang rajin sahaja mampu menjalankan tanggungjawab dan tugasan dengan baik. Yang kedua pula impian, kalau rajin sahaja tetapi tiada impian pun tidak berguna juga. Jadi kita perlu tetapkan satu set di dalam minda apa yang kita mahukan, jadi kita perlu kejar impian tersebut. Yang terakhir sekali ialah kuasa sebuah doa. Jangan pernah pandang enteng terhadap kuasa sebuah doa, InsyaAllah jika kita rajin berdoa kepadaNya dia akan memakbulkan permintaan tersebut. – Fiezreen Ahmad
This website uses cookies.