Siti Nurfashikin Faisal Gomez atau nama pentasnya Shikin Gomez mula mendapat perhatian setelah bergelar Naib Juara Asia’s Next Top Model (AsNTM) musim ke lima.
Wanita berusia 30 tahun dengan ketinggian 177 sentimeter yang berketurunan Melayu-India ini juga merupakan pemenang Malaysia Supermodel Search 2015 anjuran Amber Chia Academy Sdn Bhd.
Baru-baru ini tular namanya di media sosial apabila dia dipilih untuk berjalan di pentas fesyen jenama terkemuka dunia iaitu Dior di Mumbai, India.
Sebelum ini supermodel terkenal Malaysia, Tengku Azura pernah membanggakan negara apabila menjadi wajah Asia pertama yang dipilih oleh Dior untuk menjadi model mereka di Asia sekitar tahun 2000 hingga 2001.
Semestinya, Shikin sendiri menjadikan Tengku Azura dan Tinie sebagai inspirasinya untuk terus melakar kejayaan dalam bidang peragaan.
Menerusi satu hantaran yang dikongsi di Instagram Story miliknya, Shikin meluahkan perasaan bangganya apabila terpilih untuk membuat pertunjukan fesyen yang berlangsung di antara lokasi paling ikonik di India iaitu di The Gateway Of India.
“Mumbai adalah lokasi pertama saya ditempatkan selepas tamat pertandingan Asia’s Next Top Model dahulu.
“Dengan berada di sini, mewakili Malaysia saya rasa sangat rendah diri, bangga dan gembira kerana menjadi sebahagian daripada sejarah,” kongsi Shikin yang meminati rekaan Fizi Woo, Rizman Ruzaini dan Wanpa.
Dalam hantaran yang sama, Shikin turut berterima kasih kepada agensi model yang diwakilinya termasuk suami, ahli keluarga serta teman-teman rapat yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.
ISTERI USAHAWAN
Shikin memilih usahawan sukses, Rami Aladdin sebagai suami. Mereka berkenalan pada Jun 2020 dan mengikat tali pertunangan pada Oktober 2021.
Mereka berkahwin pada tahun 2022 dan diadakan secara eksklusif di sebuah hotel yang terletak di Langkawi.
Tahniah diucapkan kepada Shikin Gomez dan semoga terus membanggakan negara di pentas dunia.
Kredit Foto: Instagram Shikin Gomez
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.