Panas seketika bila album SITISM jadi sasaran haters. Pantang tengok pembaharuan, cepat sungguh kritikan diberi meski sebelum album ini dilancarkan. Namun penyanyi No. 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza terus yakin melangkah, album ke-20 tersebut bukti kehebatannya selama lebih 27 tahun dalam industri!
Terpegun melihat konsep reka bentuk album ini. Memilih rona tembaga sebagai jiwa utama, Dato’ Sri Siti Nurhaliza tampil futuristik persis model AI-generated, tapi lebih cantik menawan!
Judul Sitism dipilih menerusi gabungan namanya dan imbuhan ‘-ism’ merujuk kepada istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.
Apabila nama Siti dan imbuhan ‘-ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.
Memetik Sinar Harian, Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang tersendiri.
“Album Sitism adalah diri saya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan saya.” Dato’ Sri Siti Nurhaliza
Memilih tarikh 30 Jun lalu untuk melancarkan Sitism, album baharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza itu mengandungi lapan buah lagu yang dilancarkan secara digital. Ia bakal disusuli dengan kemunculan album penuh atau deluxe album sebanyak 12 lagu di dalam format digital dan fizikal.
Fokus utamanya adalah bagi membolehkan peminat dapat mendengar lapan buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan empat buah lagu lagi dalam bentuk fizikal selain digital kelak.
Setelah berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei 2023, menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.
Selain Romansa Kita, antara lagu lain yang terdapat di dalam album ini ialah Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).
Album Sitism diterbitkan oleh Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions boleh didapati di pelantar digital.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/buat-ayam-masak-tiram-serai-kari-ikan-jenahak-pengurus-siti-nurhaliza-rozi-sangdewi-share-resipi-sebagai-manfaat/