Berjanji mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan baik, langkah selebriti Malaysia pertama yang bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N25 Rim, Datuk Dira Abu Zahar dilihat semakin ligat menyantuni penduduk di kawasannya.
Biarpun menggalas amanah besar, Datuk Dira atau Khaidhirah Abu Zahar, bersyukur dengan rezeki Allah SWT untuk terus menabur bakti mewakili suara penduduk Rim yang diperoleh menerusi sokongan parti Barisan Nasional (BN).
Kebanyakan pengundi dari Jasin, Melaka turut meletakkan kepercayaan penuh kepada wakil rakyat baru mereka serta mengharapkan janji-janji ditepati. Segelintirnya turut memuji kelincahan Datuk Dira yang kerap turun padang mengambil tahu masalah rakyat dan prihatin terhadap soal kebajikan.
Paling menarik, bila ramai yang memuji kecantikan asli wanita berusia 37 tahun ini. Bertuahnya dikurniakan pakej lengkap cantik luar dan dalam macam Datuk Dira!
Tulis beliau di media sosial, amanah yang diberikan sebagai wakil rakyat ini wajib digalas dengan sebaik mungkin.
“Pertama sekali, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan kekuasaan-Nya telah mengangkat saya sebagai wakil rakyat Rim dan percayalah tanggungjawab di atas pundak ini begitu berat dan akan cuba saya galas sebaik mungkin.
“Keduanya, saya ucapkan ribuan terima kasih atas doa dan sokongan yang mengiringi saya sepanjang tempoh berkempen ini. Khususnya buat ahli keluarga saya, Mantan ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad, akar umbi dan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan juga rakyat keseluruhannya.
“Ketiga, dalam tempoh seharian ini juga selain menyantuni masyarakat, saya terus ambil inisiatif mengutamakan fokus kepentingan di Rim bagi tindakan lanjut.” Datuk Dira Abu Zahar
Dalam satu hantaran video beliau di media sosial, Datuk Dira turut menyatakan bahawa keputusan untuk terjun ke gelanggang politik bukan atas ‘wasiat’ arwah bapanya.
“Asal saya dan keluarga saya daripada Kampung Rim ini. Saya juga tidak pernah disuruh, dipaksa atau diwasiatkan oleh arwah bapa untuk jadi orang politik.
Setiap waktu saya lihat kalau ada orang memerlukan pertolongan, saya rasa saya kena tolong dia. Saya cuba bantu untuk benda yang saya mampu bantu.
Untuk keluarga RIM, kita kena bersatu padu saling membantu antara kita. InsyaAllah, kita semua bulatkan tekad, berkongsi hasrat dan matlamat yang sama.” Datuk Dira Abu Zahar
Barangkali darah pemimpin yang mengalir dalam dirinya membuatkan Datuk Dira serasi dengan kerjaya politik. Beliau merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka ke-8, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Haji Isnin.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari UiTM ini pernah menyatakan bahawa beliau ingin terus beristiqamah dalam parti politik (UMNO) sambil menyifatkan selesa dengan kerjaya sekarang iaitu berniaga dan berpolitik.
MERENDAH DIRI
Di sebalik status Datuk, wanita ini sebenarnya seorang yang sangat merendah diri dan humble. Terlihat daripada pakaian dan tutur katanya yang sopan, beliau tidak kekok berbaju kurung dan menaiki motosikal seperti masyarakat setempat yang lain.
Ciri-ciri kepimpinan Datuk Dira Abu Zahar itu mengingatkan kita kepada jasa bapanya yang sentiasa disenangi rakyat.
Tambahnya, beliau menggagahkan diri terus berkecimpung dalam dunia politik demi mengenang pengorbanan Allahyarham bapanya yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka.
“Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat.
Banyak yang telah dilakukan oleh pemimpin BN terdahulu dan menjadikan Melaka sebuah negeri maju. Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan semula. Bukan untuk yang lain, tetapi untuk kita semua.” Datuk Dira Abu Zahar
Kredit: Facebook Dira Abu Zahar
This website uses cookies.