Usaha tangga kejayaan! Biarpun menghidap kanser kolon atau usus tahap empat sejak dua minggu lepas, ia bukan halangan buat Dr Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Anis Mardiana, 45, yang dikhabarkan tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, tetap mengagahkan diri berdiri ketika menerima skrol PhD dalam bidang pengangkutan dan logistik daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Penerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) itu berkata, dia enggan menggunakan kerusi roda kerana tidak mahu menyusahkan orang lain malah masih merasakan mampu berdiri walaupun dalam tempoh sekejap. “Saya tidak sangka dapat anugerah ini (dalam keadaan kesihatan tidak menentu). Alhamdulillah segalanya berjalan lancar (konvoksyen).
“Semasa sambung belajar, tiada simptom teruk, ada sikit-sikit termasuk tangan menggeletar bila menulis… saya ingat stres belajar tetapi sekarang ini baru saya tahu keadaan kesihatan saya agak teruk.
“Selepas tamat belajar, saya buat pemeriksaan..doktor sahkan kanser tiroid. Saya ingat setakat itu saja tetapi keadaan kesihatan masih tidak baik, jadi dua minggu lalu selepas buat pemeriksaan, saya didiagnosis kanser kolon tahap empat,” katanya ketika ditemui selepas istiadat konvokesyen itu, hari ini.
Katanya, dia akan meneruskan rawatan dan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, minggu depan. Mengulas mengenai pengajiannya pula katanya, pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Kewangan amat membantunya, begitu juga sokongan keluarga terutama suami dan anak tunggalnya.
“Kepada adik-adik yang sedang meneruskan pengajian PhD, jangan putus asa. Mungkin ramai beranggapan apabila membuat PhD ini umpama ‘lonely journey’.
“Sebenarnya adalah mudah apabila kita mencari kawan dan baik dengan penyelia kita dalam menyelesaikan tugasan,” katanya.
Sumber: Harian Metro dan Berita Al Hijrah
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.