Dakwah merentasi sempadan benua, perjalanan misi kemanusiaan Ustazah Asma’ Harun bersama tim NGO Sahabat Amal Care di Ghana, Afrika meruntun jiwa. Setiap hari mengikuti catatan Ustazah, penulis ikut sebak dengan situasi kemiskinan yang menimpa orang Islam di sana.
Catatan hiba Ustazah Asma’ Harun menjentik perasaan. Kalau selama ini cuma tengok foto-foto kemiskinan dari jauh, kita takkan faham derita mereka. Tapi kalau dilihat depan mata, subhanallah menitik air mata!
Sayu, jom baca catatan penerima Nona Motivator Award dalam Nona Superwoman Award 2022 ni…
“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Tanpa sedar, sudah 4 hari Sahabat Amal Care berada di Ghana bagi menjalankan misi kemanusiaan. Alhamdulillah, perjalanan misi hari ini diteruskan lagi di kampung pedalaman, Moshie Zongo, Kumasi.
SubhanAllah, hati menjadi sebak apabila kedatangan kami disambut dengan alunan zikir dan nasyid oleh penduduk dan pelajar sekolah sambil dikibarkan bendera Malaysia tanda terima kasih pada rakyat Malaysia.
Allahu Akbar, tidak terluah dengan kata-kata betapa hibanya suasana ini sehingga mampu mengalirkan air mata. Di bawah panas terik mereka berkumpul hanya untuk menunjukkan rasa syukur dan menghargai sumbangan ini.
Tujuan utama kami datang ke sini bukan sahaja untuk mengagihkan barangan bantuan, malah untuk melihat sendiri pembinaan perigi korek pertama yang telah berjaya dibina 5 bulan yang lalu. Semuanya hasil infaq tuan puan melalui NGO Sahabat Amal Care.
Untuk makluman sahabat semua, penduduk Islam di sini hidup dalam kemiskinan dan terlalu sukar untuk merasai daging korban. Tahun lalu merupakan tahun pertama, seorang hamba Allah membuat korban seekor lembu. Namun ia sememangnya tidak mencukupi untuk penduduk Islam di sini.
Keadaan masjid yang dhaif manakala sekolah pula hanya di bawah pokok menyedarkan kami bahawa lebih 1,000 orang penduduk Muslim di sini amat memerlukan bantuan kita semua.
InshaAllah, kita akan cuba sedaya upaya untuk bantu membaik pulih segera masjid dan membina sekolah di kampung ini sebelum Ramadan tiba insyaAllah. Semoga dipermudahkan segala urusan dan hajat ini terlaksana aminnn.
Alhamdulillah, selain agihan pek makanan dan kit ibadah, kami turut membawa 2 ekor lembu untuk disembelih dan diedarkan kepada penduduk kampung Moshie Zongo.
Saya juga berkesempatan mendengar bacaan surah yang dihafal anak-anak kecil, pelajar di sini. SubhanAllah, terkejut kerana surah yang diperdengarkan adalah surah yang panjang belaka, tidak hanya surah yang pendek.
Saya dimaklumkan, mereka ini menghafaz al-Quran 30 juz sedari kecil. Walaupun tiada al-Quran yang mencukupi, tetapi al-Quran tersemat rapi di hati-hati mereka. SubhanaAllah.
Sekitar jam 6.35 petang, kami menunaikan janji dengan anak-anak di Spet Zongo untuk agihan kit ibadah termasuk al-Quran yang mereka sangat impikan. Kehadiran kami disambut meriah walaupun hari makin senja.
Pengalaman berharga apabila saya dan tim diserbu dari segenap penjuru kerana semangat mereka untuk mendapatkan al-Quran sungguh diluar jangkaan. Semoga agihan kit ibadah ini benar-benar dimanfaatkan sebaiknya oleh tangan-tangan penerima, aminn ya Allah.” Ustazah Asma’ Harun
HARI KELIMA
Sambung Ustazah Asma’, misi seterusnya diteruskan ke daerah luar Kumasi, Ejura yang memakan masa selama 2 jam dari tempat penginapan mereka.
“Seawal jam 9.50 pagi (waktu Ghana) kami tiba di lokasi pertama, Ejura Town. Melawat kandang lembu Ejura untuk pengurusan ibadah korban yang akan dijalankan nanti.
Kebetulan, ada masjid dan sekolah yang berdekatan. Kami ziarah madrasah mereka belajar dan tengok keadaan kelas. Terlihat dinding kelas penuh dengan nota-nota tajwid, surah hafazan, ayat al-Quran yang ditulis satu persatu di papan hitam.
Di hadapan madrasah ini terdapat sebuah telaga. Waktu ini, cuaca sangatlah panas terik. Anak-anak madrasah ini terus campak timba untuk tarik air. Kemudian curah air dalam baldi. Pelajar lain terus datang minum menggunakan gayung. Nampak mereka benar-benar kehausan.
Menurut mualim (guru) sekolah iaitu Ustaz Aramia Suraga, para pelajar sangat memerlukan al-Quran kerana setiap hari mereka perlu berkongsi al-Quran. Masjid pula rosak dan tidak dapat digunakan sepenuhnya maka mereka perlu solat di kelas.
InshaAllah, kami berhasrat untuk bantu baiki semula surau, bina 2 buah perigi korek, tampung gaji bulanan guru-guru yang mengajar dan juga salurkan dana untuk iftar untuk bulan Ramadan nanti. Kami telah mengagihkan kit ibadah yang berbaki lebih kurang 70 kit, barang asas, gula dan sampul duit kepada anak-anak.
Lokasi kedua kami menuju ke Fakawa Village, Ejura. Setibanya kami disini, perigi korek sedang giat beroperasi. Mereka perlu gerudi tanah sedalam 50-100 meter untuk mendapatkan air bersih. Alhamdulillah, seekor lembu telah disembelih, kit ibadah dan makanan asas telah diagihkan.
Sepertimana kampung-kampung yang lain, kita akan bantu baik pulih masjid dan sekolah. Lokasi terakhir yang dituju adalah Amanti Zongo, Ejura. Juga bantuan yang sama dilakukan iaitu agihan pek makanan, kit ibadah dan bina sebuah telaga.
Alhamdulillah perjalanan yang sangat panjang namun puas dan lega dapat menyampaikan bantuan dan amanah sahabat-sahabat.
Sememangnya sepanjang hari kami hanya makan sarapan sahaja, jam 7.00 malam baru dapat makan. Masa rehat yang ada dapatlah berbual lebih panjang dengan tim dan aktivis Mr. Marlon. Alhamdulillah, dengan bantuan Mr. Marlon dan tim, amanah ini terlaksana sebaik mungkin.
InshaAllah, Mr. Marlon akan terus menjadi wakil NGO Sahabat Amal Care di Ghana untuk meneruskan kerja-kerja amal di sini.
Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada tuan puan sekalian yang terus menerus mendoakan dan memberi sokongan saban hari saban waktu.
Kami tidak mampu sampai ke sini jika tidak kerana amanah dan sumbangan semua. Atas izin Allah, bantuan kalian sampai di sini walau jauh beribu batu. Moga Allah ganjarkan pahala yang berlipatganda buat kalian. Allah jualah sebaik-sebaik pemberi ganjaran. Allahumma amin.
Jazakumullahu khairan kathiran.” Ustazah Asma’ Harun
CATATAN 5 MISI KEMANUSIAAN GHANA
11 FEBRUARI 2023
2.00 PAGI WAKTU MALAYSIA
6.00 PETANG WAKTU GHANA
ASMA’ BINTI HARUN & TIM SAHABAT AMAL CARE
HULUR SUMBANGAN
Betapa murninya jiwa Ustazah Asma’ Harun, isteri kepada Ustaz Tengku Fazli Yahya ini menyebar Islam dan menghulur bantuan. Wanita usia 40 tahun itu juga turut menyeru saudara-saudara followers Nona untuk sama-sama membantu saudara kita di bumi Ghana, Afrika.
Ayuh menjelang bulan suci Ramadan Al-Mubarak tak lama lagi, sama-samalah kita membantu usaha NGO Sahabat Amal Care yang dinaungi Ustazah Asma’ Harun ini.
Mudah dan selamat, Ustazah Asma’ seru masyarakat yang prihatin untuk menyumbang bagi MISI KEMANUSIAAN DI GHANA :
Sila tekan (sini)
(Ansi System)
atau
Maybank
Pertubuhan Sahabat Amal Prihatin Negeri Sembilan
5551 2654 3538
Sebarang pertanyaan, klik (sini)
This website uses cookies.