Disember telah tiba! Dan, semuanya tentang drama bersiri Netflix, Emily In Paris musim ketiga yang bakal disiarkan pada 21 Disember nanti. Lakonan Lily Collins dalam menjayakan watak Emily Cooper benar-benar menghidupkan selurut plot cerita drama bersiri ini.
Emily In Paris bukan sahaja dikuatkan dengan barisan pelakon yang berkualiti, malah setiap gaya fesyen yang digayakan oleh Lily Collins dalam drama ini menjadi dambaan semua wanita sehingga menjadi viral di media sosial!
Daripada gaya rambut, solekan, pilihan aksesori, busana yang unik, warna yang menyerlah sehinggalah kepada rekaan sepatu yang eksklusif, pereka kostum, Patricia Field bijak dalam menggabungkan elemen 90-an dengan gaya terkini.
Ingat lagi rekaan seluar parasut yang digayakan oleh Lily Collins dalam Emily In Paris, musim kedua? Bukan sahaja dijadikan sebagai fashion statement malah padanan seluar parasut berjalur warna-warni bersama dengan kolar bulu rona merah jambu mengembalikan elemen era 70-an apabila corak jalur diangkat sebagai trend utama pada ketika itu.
Karakter Emily tidak pernah hilang dari kesibukan kerja. Begitu juga dengan pemilihan warna yang disarungkan. Sibuk dengan istilah ‘warna-warni’. T-shirt polo Versace bersama dengan skirt pendek rekaan Mugler, menjadi penghidup gaya Emily dalam babak ini. Permainan warna yang bijak cukup terserlah apabila dalam babak lain, gaya hijau Emily ini dipadankan dengan kot labuh rona hijau neon. Menarik, bukan?
Dalam sebuah episod istimewa, Emily menyambut hari jadinya dengan menggayakan rekaan dari pereka Rotate Birger Christensen yang menjadikan oversized pink bow sebagai pelengkap rekaan ini. Sedikit dramatik, namun tidak mengapa!
Stail ini mengingatkan kepada zaman klasik Marilyn Monroe yang cukup sinonim dengan rekaan besar di bahu serta penggunaan korset yang memberi sisi seksi dalam rekaan Anouki ini. Seolah-olah berada dalam zaman era 50-an, Emily tampak elegan dan ‘mahal’ dengan tambahan solekan yang sempurna.
Umpama Marie Antoinette di alaf baru, rekaan gaun tulle merah umpama metafora sempurna menutup keseluruhan episod musim kedua yang lalu. Rekaan bentuk-V di bahagian dada menaikkan lagi unsur eksklusif rekaan ini yang menjadikannya topik hangat yang dibincangkan. Dipakai pula di sebuah tempat yang sememangnya menjadi ikon kepada elemen klasik-mewah, gabungan Versailles bersama gaun kolaborasi Giambattista Valli x H&M 2019 mencipta magis.
This website uses cookies.