Diserang Gastrik Sewaktu Berpuasa, Kenal Pasti Penyebab & Gejala Pedih Perut Ini!

Aneka juadah yang terhidang di depan mata memang mengundang kita untuk menjamah kesemuanya tetapi perlu diingat, sistem penghadaman yang satu ini perlu dipelihara.

Ramai yang akan mengeluh mengalami masalah ketidakselesaan perut, sehingga mengakibatkan niat berpuasa kerap kali tergendala. Antaranya gejala perut yang tidak selesa, pedih ulu hati, masalah penghadaman atau penyakit ulser peptik yang menjadi-jadi.

Sebenarnya terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus iaitu:

a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus

  • Refluks gastroesofagus
    Aliran kandungan daripada perut atau duodenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.
  • Gastritis
    Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebabkan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.
  • Esofagitis
    Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.
  • Dispepsia (bukan ulser)

    Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.
  • Ulser akibat ubat dan bahan kimia
    Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.
  • Ulser akibat tekanan
    Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.

 

b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus

  • Gastritis kronik
    Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.
  • Ulser peptik
    Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.

Selain itu, ia ada kaitan juga dengan kesan menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius.

Kos rawatan pula agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke hospital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos dari sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.

 

ULSER GASTRIK

Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.

Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.

ULSER DEODONAL

Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.

Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin dan kuman bakteria Helicobactor Pylori.

 

RAWATAN
Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua ini bergantung kepada tahap serta jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan masalah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan refluks, pesakit boleh berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai.

Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau masalah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.

Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor.

Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.

Share
Published by
Norzalina