Bukan mudah sebenarnya untuk seorang wanita menghakis perasaan cemburu di benak hati. Lebih-lebih lagi bila kelibat suami sering menjadi perhatian di kalangan peminat wanita. Meskipun pada mulanya Dr Azura Abas agak janggal saat disapa orang asing yang mahu bergambar bersama suaminya, namun kini dia mampu menyesuaikan diri.
Ajaibnya, sejak kisah viral tentang doktor kacak dan bertubuh tegap yang merupakan suami kepada Dr Azura ini bertebaran di media sosial, perhubungan antara mereka kian tersimpul erat.
Bergelar isteri kepada Dr Shazril Shaharuddin pada tanggal 30 Mac 2014 setelah lebih lima tahun mengenali hati budi, perkenalan di antara mereka terbina ketika masing-masing menuntut dalam jurusan dan tempat pengajian yang sama.
“Kami mula berkenalan masa sedang belajar di India lagi. Kalau tak silap, pada tahun 2009. Waktu itu, saya dan Dr Say adalah pelajar perubatan di International Medical School di Bangalore. Dalam ramai-ramai pelajar Malaysia di sana, hanya dengan Dr Say saja saya boleh serasi. Mungkin sebab kami berkongsi minat yang sama kerana suka pergi ke gym.
Memang dekat India lagi dia sudah mula berjinak-jinak dengan seni bina badan dan kerap ke gimnasium. Begitu juga saya. Cuma bezanya, saya lebih kepada senaman dan tak terlalu ekstrem macam suami. Lepas saja habis belajar pada tahun 2013, dia masuk pertandingan bina badan dan terjun ke dunia modelling.
Sejak dia menang empat pertandingan bina badan itulah orang mula ambil tahu tentang dirinya. Kebetulan, kami baru berkahwin dan sedang buat housemanship
selama dua tahun di Hospital Serdang,” terang Dr Azura yang kini bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di samping suaminya.Biarpun secara jelas terpancar sinar bahagia di wajah Dr Say dan Dr Azura, Nona sengaja menduga hati doktor muda berusia 27 tahun itu. Sambil mengakui pernah terbit rasa gusar dengan tempias dunia glamor Dr Say, wanita yang berasal dari Selangor ini yakin jejaka yang dikenalinya di India dulu masih setia berada di sisi.
“Isteri mana yang tak cemburu bila suami selalu dapat perhatian wanita lain. Alhamdulillah, dia lain daripada yang lain. Bahkan lepas saja waktu kerja, dia akan terus balik rumah. Tak ada benda yang patut dicurigakan sebab selalunya dia akan pulang tepat pada masa. Malah, apa juga yang berlaku di hospital dia akan beritahu saya. Termasuklah cerita peminat perempuan yang datang ke Unit Kecemasan semata-mata untuk bergambar.
Selama tiga tahun menjadi isteri Dr Say, saya tengok dia seorang lelaki yang mementingkan keluarga. Rutin dia setiap hari cuma pergi kerja, gym
dan kemudian balik rumah. Kawan pun memang tak ramai di Terengganu jadi kami banyak luangkan masa bersama. Sesekali, ada juga pergi ke pantai atau tengok wayang. Kalau ada cuti panjang, dapatlah pergi melancong luar negara. Rasanya tak perlu terlalu risau sebab dalam perkahwinan masing-masing kena saling mempercayai.”Difahamkan sejak penyebaran kisah viral tersebut Dr Say turut menerima lamaran sebagai duta produk kesihatan dan bina badan iaitu Mesotropin dan Zofea Beauty. Murah rezeki suami isteri sama cantik sama padan ini. Harapan Nona agar perkahwinan yang dibina terus berlandaskan kesetiaan dan kejujuran serta berkekalan hingga ke syurga.SUZIANAABUDAUD
This website uses cookies.