Walau wajah terlindung di sebalik topeng muka, tapi tetap terserlah aura Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
Baginda yang diisytihar sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lalu, menarik tumpuan ramai apabila pertama kali muncul di majlis rasmi selepas berkenan menerima mengadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian pada 13 September lepas.
Terbaharu, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Teh bagi meraikan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Istana Wickham, Kuala Lumpur.
Kemunculan baginda sekali lagi meraih perhatian bukan hanya dalam kalangan rakyat Kelantan bahkan seluruh masyarakat.
Apatah lagi, Sultanah Nur Diana memiliki raut wajah menawan yang membuatkan ramai terpesona dengan keperibadian baginda.
Dalam Majlis Santapan Teh berkenaan, Sultanah Kelantan anggun dalam persalinan baju kurung bermotifkan corak batik rona mint green
dan lengkap berselendang polos rona sama.Ini juga merupakan kali pertama Sultanah Nur Diana ditemani Yang Teramat Mulia (YTM) Che Puan Mahkota Kelantan, Che Puan Sofie Louise Johannson.
Hadir sama menyerikan majlis berkenaan ialah Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puan Panglima Perlis, YAM Tengku Puan Panglima Selangor dan YM Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan, Datuk Seri Raja Rezza Shah.
Pada hari sama, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah turut berangkat ke Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian berkenaan.
Turut berangkat KDYMM Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, DYMM Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, YMM Raja Perempuan Tengku Anis dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya.
This website uses cookies.