Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah kini mampu tersenyum lebar apabila berjaya membina empayar perniagaan terulung miliknya, Obsess cosmetics yang menyediakan rangkaian produk kosmetik selari dengan keperluan wanita Muslimah moden yang ingin kelihatan anggun. Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Atikah bekerja sebagai pegawai bank selama setahun.
Ads
Kemudian, berpindah ke Jerantut dan masih lagi bekerja sebagai pegawai bank. Dalam masa sama, Atikah mula berjinak-jinak sebagai jurusolek sambilan. Walaupun sekadar suka-suka namun dia amat komited disebabkan minat.
Rezeki sebagai jurusolek kian murah dan melebihi pendapatannya sebagai pegawai bank lantas Atikah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Atikah mencadangkan kepada suami untuk membuka perniagaan yang bukan hanya tertumpu kepada khidmat solekan sahaja malah boleh digabungkan bersama rangkaian kosmetik jenama sendiri.
Perancangan asal Atikah mahu mengeluarkan lip matte sebagai produk pertama. Kebetulan, sekitar tahun 2015 tidak banyak produk lip matte di pasaran Malaysia,” kongsi Atikah yang kini berusia 28 tahun. “Berniaga bukan semudah yang difikirkan. Waktu itu kami langsung tiada ilmu tentang pemasaran. Semuanya kami buat sendiri.
Bermodalkan RM10 ribu, produk cushion foundation yang kami ambil sebanyak 500 sahaja terjual dalam masa empat hari sahaja. Lip matte pula habis terjual dalam masa yang singkat. Waktu itu Obsess Cosmetics hanya ada cushion foundation dan lip matte,” luah ibu kepada dua orang anak ini yang pernah kehilangan wang dalam puluhan ribu ringgit angkara ditipu oleh satu agen ketika dia berhasrat untuk menambah produk baharu. Produk yang dijanjikan tiada, namun wangnya lebur sekelip mata.
Ads
Ads
“Prinsip saya mudah, kalau kita hendak lakukan sesuatu teruskan selagi ia bukan perkara yang salah. Lawan segala ketakutan dan cabar diri agar kita dapat menemui superpower sebenar. Hanya dengan cara ini sahaja dapat memaksa diri kita untuk keluar dari zon selesa.
Superwoman bagi saya ialah wanita yang mampu melakukan semua perkara dari segi pengurusan keluarga, perniagaan, membantu meningkatkan ekonomi keluarga serta bijak membahagikan masa. Salah satu kriteria superwoman ialah pandai berdikari.
Saya mengharapkan pasaran Obsess Cosmetics lebih meluas. Kini Obsess Cosmetics bukan sahaja terkenal di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat sambutan hebat di Brunei, Singapura dan Indonesia. Saya merancang untuk menaikkan lagi jenama Obsess Cosmetics sekaligus dapat membantu wanita-wanita di luar sana seperti ibu tunggal untuk menjana pendapatan,” akhiri Atikah yang merancang untuk membuka kelas solekan dan kelas perniagaan kosmetik bagi membantu kaum wanita seperti ibu tunggal menjana pendapatan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hidup adalah tentang menerima dan mencintai diri seadanya, dengan segala kekurangan dan ketidaksempurnaan kita. Itulah kekuatan pengasas aiskrim gula apong artisan, Mokti’s Ice Cream yakni Siti Fatimah Binti Adnan dalam mengembangkan bisnes yang diminati.
Di sebalik kemahiran dalam seni pembuatan aiskrim, Siti Fatimah yang juga Pengarah Urusan PMA Rich (M) Sdn Bhd bertuah kerana dibantu pasukan pengurusan yang hebat.
Antaranya suami tersayang, Pengiran Muhammad ‘Adil Bin Awang Iskanderndzulkarnein yang bertindak sebagai mastermind dalam meluaskan empayar Mokti’s Ice Cream sehingga mencapai 91 outlet dalam tempoh dua tahun.
Turut menguruskan enam buah kilang aiskrim di Perlis, rahsia kejayaan beliau hari ini sebenarnya terletak pada sifat tidak mudah menyerah. Nampak sahaja lembut, tapi tangkas dan lincah.
Paling penting wanita Utara berumur 31 tahun itu bijak menimbang pilihan dan tidak terburu memberi keputusan. She is such a vibe, aura Siti Fatimah sesungguhnya luar biasa.
Sebaik selesai penggambaran, kami duduk santai sambil menikmati aiskrim Apong Baby Bob. Memang sedap, bayangkan sebekas soft-served ice cream yang dilimpahi sirap gula apong asli, taburan cornflakes rangup dan boba kecil menyempurnakan hari yang panas terik. Patutlah Mokti’s Ice Cream tular, kesedapannya jadi fenomena!
Rezeki PKP, cerita Siti Fatimah bahawasanya Mokti’s Ice Cream mula meniti bibir ketika dunia dilanda pandemik tahun 2020.
“Betul, sebelum ni saya hanyalah seorang suri rumah dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Dah tertulis jodoh saya kahwin muda umur 22 tahun, iaitu selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perladangan Dan Agroteknologi dari UiTM Kota Samarahan, Sarawak.
Lepas dapat anak sulung, kami sekeluarga menetap di Bintulu kerana mengikut suami bertugas di sana. Masa tu dia masih terlibat dalam industri minyak dan gas.
Di situ jugalah saya mula kenal aiskrim gula apong yang betul-betul sedap, sampai teringin dan terbawa-bawa kesedapannya. Gula apong tu maksudnya gula cecair yang diambil daripada pokok apong (nipah) dalam bahasa Sarawak.
Tak lama kemudian, kami pindah ke Perlis selepas lahir anak ketiga. Kebetulan suami pula dihantar bertugas ke Algeria dan hanya dapat pulang tiga bulan sekali. Ketika itulah saya asyik teringat aiskrim gula apong.” Siti Fatimah
Biarpun mempunyai pasangan terbaik, adik-beradik yang selalu membantu dan staf-staf yang dipercayai, namun baginya tiada istilah bergantung pada manusia, kecuali Allah SWT.
Sambungnya lagi, minat dalam bidang pembuatan aiskrim bermula pada Disember 2019, selepas meminjam sejumlah wang daripada ibu tersayang.
“Dengan modal RM5,000, saya masuk kursus, beli mesin manual dan sebuah stall. Awalnya ilmu yang ditimba tu tersangatlah basic. Saya tetap kena balik buat R&D, buat aiskrim dan bagi pada mak serta jiran-jiran rasa.
Ingat lagi kata mereka, aiskrim masa tu manis sangatlah, tak sedaplah. Sampai banyak kali saya buang dan hampir-hampir putus asa. Tapi bila fikir semula, rugilah kalau berusaha sekadar melepas batuk di tangga.”
BISNES PANDEMIK
Menjelang Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan COVID-19 sebagai darurat kesihatan dunia. Ramai warga Malaysia dibawa pulang termasuklah suami Siti Fatimah yang bertugas di Algeria. Serentak itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga berkuatkuasa di seluruh negara.
“Dipendekkan cerita, suatu hari saya dapat formula aiskrim gula apong yang tepat. Rasanya sedap dan berlemak. Kebetulan negeri Perlis masa tu terkecuali daripada PKP, jadi rakyat bebas membuat aktiviti luar termasuk membawa keluarga beriadah di taman rekreasi.
Maka dengan bantuan adik-beradik, kami pun start meniaga aiskrim secara kecil-kecilan dari bonet kereta.
Tanpa rasa segan, saya pun bunyikan loceng untuk tarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang. Makin hari makin ramai yang datang beli aiskrim scoop gula apong kami. Dari sekadar menjual di taman, kami dapat undangan waktu kenduri dan dari situ ramai yang minta kami buka kedai sendiri.
Jadi saya buka sebuah kedai kecil, cukup ada sebuah meja dan mesin saja, tapi dari situ pembeli yang datang tak berhenti-henti.” Siti Fatimah
Berkat kerjasama suami sebagai rakan kongsi, perniagaan aiskrim Siti Fatimah mula berkembang pesat. Asal-usul nama Mokti’s Ice Cream juga diambil daripada nama panggilan beliau – Mok Timah – dalam kalangan ahli keluarga mentua di Sarawak.
Rezeki pandemik, perniagaan suami isteri ini pantas tular di media sosial dan mengangkat kesedapan aiskrim gula apong asli di tanah air.
Meskipun tanpa kelulusan profesional dalam bidang perniagaan, namun minat berniaga yang kental serta bantuan suami, ibu dan adik-beradik Siti Fatimah menjadi tunggak kejayaannya.
Berkat sikap positif dan keinginan belajar dari pengalaman, usaha gigih pasukan Mokti’s Ice Cream serta beliau sendiri sebagai Pengarah Urusan terbukti membanggakan.
Hasil kepimpinan yang jitu, strategi dan kekuatan jenama Mokti’s Ice Cream itu sendiri, kini mereka berjaya membangunkan enam buah kilang aiskrim di sekitar Perlis.
Malah tirai 2022 berlabuh cemerlang dengan rekod 91 outlet Mokti’s Ice Cream di seluruh Malaysia termasuk pembukaan outlet terbaharu, Mokti’s Signature di Kuching.
Apakah resipi kejayaan Mokti’ s Ice Cream dalam tempoh dua tahun? Tonton temu bual eksklusif bersama Siti Fatimah ini…
Ditanya tentang impian bisnes Siti Fatimah, tanpa disangka beliau rupa-rupanya mahu terus menjadi pioneer dan membuka sebuah kilang kon milik Muslim pertama di negara ini. Cita-cita yang tidak mustahil jika disertai doa dan usaha!
“Alhamdulillah, sebenarnya setiap kali pembukaan outlet baru, pasti akan ada pelbagai permintaan dan pendapat yang berbeza. Kami hargai setiap pandangan dan berusaha menyelesaikan permasalahan dengan sebaik-baiknya.
Ini termasuklah isu-isu berbangkit di kilang atau staf, dan seumpamanya. Saya kira ia rutin biasa yang dialami setiap usahawan.
Hal yang paling menyeronokkan bagi saya adalah apabila staf-staf semua gembira bekerja di Mokti’s. Keluarga kecil kami ada lebih kurang 104 orang, segelintirnya adik-beradik dan majoriti staf penduduk Perlis. Saya bahagia dapat membantu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Saya ada plan nak menembusi pasaran Mekah. Mungkin suatu hari nanti kalau kami berjaya bawa Mokti’s Ice Cream sampai ke sana, barulah secara peribadinya saya anggap kami sudah berjaya.”
Menjadikan kecekalan arwah bapa dan semangat suaminya sebagai pembakar semangat, baca artikel perjuangan bisnes penerima Nona Best Halal Ice Cream, Siti Fatimah Adnan ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Penata gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Azfarina Sulaiman
Solekan: Mimie Romyza
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kerjaya sebagai seorang peguam sememangnya menjadi dambaan ramai wanita kerana kerjaya tersebut mempunyai auranya yang tersendiri. Bagi Datin Dr Nik Sarina Hashim, setelah beberapa tahun memilih karier dalam bidang perundangan, siapa sangka pintu hatinya terbuka untuk membuka perniagaannya sendiri.
Dek kerana minat dalam bidang perniagaan menjadi asbab mengapa Datin Dr. Nik Sarina Hashim sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam setelah bertahun lamanya berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Sekaligus, mengasaskan SLAE Cosmetics.
“Setelah banyak menguruskan produk-produk di bawah jenama tempatan di bawah amaxMALL, saya memasang impian untuk mengeluarkan jenama sendiri. Memandangkan saya suka kepada kecantikan, apatah lagi produk berasaskan kosmetik, maka lahirlah SLAE Cosmetics.
Produk kosmetik SLAE Cosmetics mementingkan kualiti dan datang dalam pembungkusan yang menarik berunsurkan alam semulajadi. Nama itu diperolehi setelah sekian lama memerah otak memikirkan nama yang bersesuaian dan menarik untuk penjenamaan produk SLAE dan juga what it stands for,” ujar Datin Dr Nik Sarina yang juga penerima NONA BEST PROFESSIONAL BEAUTY AWARD.
Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Kings College London serta Sarjana Perbankan (Undang-Undang) dan Doktor Falsafah dalam Islamic Finance, wanita inspirasi ini pernah bertugas sebagai Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya serta peguam sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan.Segala pengalaman yang pernah dilaluinya dijadikan inspirasi untuk memastikan jenama kosmetik yang diasaskannya mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
“Entah macam mana, bila sudah lama bekerja dalam bidang perundangan, hati ini teringin pula nak ada sebuah bisnes sendiri. Maka, bermulalah titik tolak saya dalam bidang perniagaan kosmetik,” katanya hadir ke studio Ideaktiv baru-baru ini.
SLAE Cosmetics menggunakan tagline The Makeup For Work ini menjadikan wanita berkerjaya sebagai inspirasi dalam menghasilkan produk kosmetik yang menggunakan bahan semulajadi, bebas alkohol, tiada parabendan wangian sekaligus sesuai untuk digunakan seharian.
Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui sepanjang mengasaskan SLAE Cosmetic, Nik Sarina yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat memberitahu persaingan adalah lumrah dalam dunia perniagaan.
“Pada pandangan saya, setelah memulakan perniagaan kosmetik ini, masalah penghantaran barang oleh pihak ketiga menjadi cabaran pertama. Kadang-kadang penghantar kurang prihatin bahawa apa yang dihantar ialah amanahnya sebagai penghantar dan mereka perlu memastikan bungkusan dikendalikan dengan cermat,” katanya.
Tambah Nik Sarina lagi, pada tahun 2023 SLAE bakal melancarkan pelbagai rangkaian produk demi memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin menggemari produk di bawah jenamanya.
“Harapan kami bukan setakat menjalankan perniagaan secara fizikal tetapi juga melakukan jualan ke negara secara luar secara dalam talian, InsyaAllah”, ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita berjiwa besar dan penuh inspirasi, Datin Paduka Dr Hajah Noraida Haji Mohd Yusof membuktikan bahawa wanita sebenarnya mampu mengemudi tanggungjawab sebagai jentera utama di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Paling membanggakan ialah Datin Paduka Dr Hajah Noraida telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila bergelar Ketua Pegawai Eksekutif wanita pertama PKNS.
SENTIASA POSITIF
Memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengurus di Bahagian Perumahan PKNS pada Jun 1982, sepanjang berkhidmat di PKNS selama 36 tahun beliau sentiasa positif dan mahir dalam selok-belok tugasan sehingga layak digelar pegawai contoh. Di atas kecemerlangan itu beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 1998 dan 2003.
Beliau dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) tahun 2000 dan Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) tahun 2011. Beliau juga adalah Pengerusi Lembaga Pengarah De Palma Management Services (rangkaian Hotel De Palma) dan berjaya mengukuhkan kedudukan Hotel De Palma sebagai ‘syariah compliance hotel’. Sebagai CEO di PKNS beliau bertanggungjawab kepada keseluruhan sistem pentadbiran dan pembangunan projek-projek hartanah PKNS.
RAHSIA KEJAYAAN
“Sepanjang perkhidmatan antara cabaran terhebat pernah saya hadapi ialah sewaktu diberikan tanggungjawab ini pada Oktober 2016. Keadaan ekonomi serta pasaran hartanah di Malaysia waktu itu agak kurang baik. Saya bersyukur kerana saya dapat menanganinya dengan baik dan sentiasa melakukan yang terbaik.
Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang ketua kerana perkara paling saya takuti dalam kerjaya ialah kegagalan dalam mencapai keputusan yang dibuat. Walau bergelar ketua saya tidak pernah meletakkan standard mahupun jarak dengan kakitangan. Sikap merendah diri dan tidak sombong itu antara rahsia kejayaan saya.
Tanggungjawab terhadap staf merupakan satu amanah buat saya. Jangan sesekali merendahkan kemampuan mereka kerana itulah tulang belakang kejayaan sesebuah syarikat.
INSPIRASI
Sumber inspirasi saya ialah ibu dan bapa. Tanpa doa, restu dan sokongan daripada mereka maka tidak bermakna kejayaan saya selama ini. Selain itu, suami dan anak-anak menjadi penyokong kuat saya. Bagi saya makna kejayaan itu diukur pada pencapaian hasil kerja dan bagaimana orang luar melihat kepada diri kita,” kongsi ibu kepada dua orang anak yang berusia 59 tahun ini. Beliau aktif dalam kerja-kerja sukarelawan dan juga perunding.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...