Hafizatul Atikah Mohd Fauzi atau Atikah kini mampu tersenyum lebar apabila berjaya membina empayar perniagaan terulung miliknya, Obsess cosmetics yang menyediakan rangkaian produk kosmetik selari dengan keperluan wanita Muslimah moden yang ingin kelihatan anggun. Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa, Atikah bekerja sebagai pegawai bank selama setahun.
Kemudian, berpindah ke Jerantut dan masih lagi bekerja sebagai pegawai bank. Dalam masa sama, Atikah mula berjinak-jinak sebagai jurusolek sambilan. Walaupun sekadar suka-suka namun dia amat komited disebabkan minat.
Rezeki sebagai jurusolek kian murah dan melebihi pendapatannya sebagai pegawai bank lantas Atikah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Atikah mencadangkan kepada suami untuk membuka perniagaan yang bukan hanya tertumpu kepada khidmat solekan sahaja malah boleh digabungkan bersama rangkaian kosmetik jenama sendiri.
Perancangan asal Atikah mahu mengeluarkan lip matte sebagai produk pertama. Kebetulan, sekitar tahun 2015 tidak banyak produk lip matte di pasaran Malaysia,” kongsi Atikah yang kini berusia 28 tahun. “Berniaga bukan semudah yang difikirkan. Waktu itu kami langsung tiada ilmu tentang pemasaran. Semuanya kami buat sendiri.
Bermodalkan RM10 ribu, produk cushion foundation yang kami ambil sebanyak 500 sahaja terjual dalam masa empat hari sahaja. Lip matte pula habis terjual dalam masa yang singkat. Waktu itu Obsess Cosmetics hanya ada
cushion foundation dan lip matte,” luah ibu kepada dua orang anak ini yang pernah kehilangan wang dalam puluhan ribu ringgit angkara ditipu oleh satu agen ketika dia berhasrat untuk menambah produk baharu. Produk yang dijanjikan tiada, namun wangnya lebur sekelip mata.“Prinsip saya mudah, kalau kita hendak lakukan sesuatu teruskan selagi ia bukan perkara yang salah. Lawan segala ketakutan dan cabar diri agar kita dapat menemui superpower sebenar. Hanya dengan cara ini sahaja dapat memaksa diri kita untuk keluar dari zon selesa.
Superwoman bagi saya ialah wanita yang mampu melakukan semua perkara dari segi pengurusan keluarga, perniagaan, membantu meningkatkan ekonomi keluarga serta bijak membahagikan masa. Salah satu kriteria superwoman ialah pandai berdikari.
Saya mengharapkan pasaran Obsess Cosmetics lebih meluas. Kini Obsess Cosmetics bukan sahaja terkenal di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor malah turut mendapat sambutan hebat di Brunei, Singapura dan Indonesia. Saya merancang untuk menaikkan lagi jenama Obsess Cosmetics sekaligus dapat membantu wanita-wanita di luar sana seperti ibu tunggal untuk menjana pendapatan,” akhiri Atikah yang merancang untuk membuka kelas solekan dan kelas perniagaan kosmetik bagi membantu kaum wanita seperti ibu tunggal menjana pendapatan.
This website uses cookies.