Tular di media social baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Berikutan dari itu, warga maya mula berteka teki dan meneka sama ada Ahmad Zahid Hamidi tidak sihat atau pun baru selesai menjalani pembedahan kosmetik
Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
BACA JUGA: “Saya Mahu ABAH Bersara Dengan Terhormat” DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI & DATUK NURUL ZAHID
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
NONA mendoakan semoga kesihatan TPM kita baik-baik saja, dan cepat diberikan kesembuhan.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lawatan Mengejut DATUK SERI ANWAR Ke Turkiye Atas Dasar Persahabatan & Sokongan Moral
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam tadi sebagai tanda sokongan moral kepada Presiden, Reccep Tayyip Erdogan serta rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lawatan sehari itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.
Lawatan mengejut Datuk Seri Anwar itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.
TINJAU LOKASI BENCANA
Setibanya di Turkiye, Datuk Seri Anwar meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.
Datuk Seri Anwar dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet.
Pada 11 Februari lalu, Datuk Seri Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.
Sumber: Bernama
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
SKIN DESSERT Mula Ambil Tindakan Undang-Undang “Kerugian Lebih 60%, Saya Diugut & Hampir Kemurungan..”
Baru-baru ini kecoh tentang isu keselamatan produk jenama kosmetik Skin Dessert yang dipercayai jualan produknya ditarik balik berikutan berlaku masalah kulit (breakout) yang dihadapi sesetengah pengguna. Tidak habis di situ, isu dalaman dengan salah satu agensi kerajaan juga turut diperkatakan ramai di mana pada 4 Oktober 2022, Pengasas Skin Dessert Puan Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan Skin Dessert En Mohd Aliff Abd Kadir memuat naik gambar mereka di hadapan bangunan SIRIM di media sosial dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Skin Dessert sedang dalam proses menjalankan ujian produk bersama SIRIM.
NONA dijemput secara eksklusif ke sidang media Skin Dessert sebentar tadi di Kuala Lumpur di mana pengasas dan pengarah urusan Skin Dessert bersama dengan peguam yang mewakili mereka, Nur Nazuha binti Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers menjelaskan isu berkenaan kepada para media dan pihak-pihak berkepentingan. Ini adalah dapatan kami berdasarkan kenyataan media yang dikongsikan pihak Skin Dessert kepada media.
KENYATAAN MEDIA DARI SKIN DESSERT
Ailezee Rich Sdn Bhd selaku pengeluar produk kosmetik Skin Dessert, telah memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar Surat Tuntutan pada 7 Disember 2022 terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular menerusi platform media sosial baru-baru ini.
Skin Dessert menerusi agen yang dilantik iaitu Abam Peah Holdings Sdn Bhd telah membuat dua (2) kali bayaraan kepada SIRIM untuk menjalankan dua jenis ujian iaitu Ujian Kerengsaan Kulit (Skin Irritation Test) dan Ujian Keberkesanan Produk terhadap produk keluaran iaitu ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer’.
Berikutan muat naik gambar di depan SIRIM itu, SIRIM menerusi akaun rasmi media sosialnya meninggalkan komen di gambar yang dimuat naik Puan Zirra seperti berikut: “SIRIM Berhad ingin menegaskan bahawa SIRIM Berhad tidak pernah menjalankan sebarang pengujian terhadap produk Skin Dessert. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan pengujian produk kosmetik, sila hubungi kosmetik@sirim.my.
Komen yang dibuat SIRIM menyebabkan isu produk Skin Dessert semakin tular mengakibatkan Puan Zirra dan En Aliff menerima pelbagai kecaman daripada netizen selama dua bulan sehingga merosakkan reputasi perniagaan dan mereka mengalami tekanan emosi memandangkan Puan Zirra dan En Aliff tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.
Malah komen SIRIM itu jelas bertentangan memandangkan Skin Dessert sudah membuat permohonan pengujian produk dan menghantar sampel produk kepada SIRIM pada 8 September 2022.
Pengujian Produk Oleh SIRIM
SIRIM kemudian menerusi surat bertarikh 26 Oktober 2022 memaklumkan terpaksa membatalkan permohonan pengujian ke atas produk sampel produk yang telah dihantar oleh Skin Dessert. Bayaran yang telah dibuat untuk kedua-dua ujian tersebut akan dipulangkan kepada syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd selaku pengantara Skin Dessert dan SIRIM.
Susulan komen dan surat pembatalan yang dibuat SIRIM syarikat Abam Peah Holdings Sdn Bhd memohon untuk mengadakan satu perjumpaan dengan SIRIM bagi membincangkan isu yang timbul.
Pertemuan telah berlangsung pada 2 November 2022 dan antara perkara yang dibincangkan adalah permintaan Skin Dessert supaya SIRIM memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenar yang terjadi di mana Skin Dessert telah mengemukakan permohonan serta membayar kepada SIRIM bagi menjalankan dua (2) ujian iaitu ujian kerengsaan kulit dan ujian keberkesanan produk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer.
SIRIM bersetuju untuk meneruskan ujian untuk ‘Skin Dessert Repair Moisturizer’ seperti yang dirancang. Pada 16 November 2022 laporan ujian untuk produk tersebut telah dikeluarkan SIRIM.
Hasil laporan ujian daripada SIRIM menyatakan bahawa ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer sebagai: “Under the condition of this test, Skin Dessert Repairing Moisturizer is consider as NON- IRRITANT (NI) to in vitro skin LabCyte EPI-Model 24.
Skin Dessert ketika ini masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan memandangkan pihak peguam yang mewakili SIRIM masih dalam proses menunggu arahan lanjut dan jawapan SIRIM berhubung tuntutan Skin Dessert seperti dimaklumkan menerusi surat bertarikh 14 Disember 2022
Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang dibuat SIRIM di media sosial Puan Zirra adalah kenyataan berniat yang tidak menggambarkan situasi sebenar kepada umum.
Kenyataan dibuat SIRIM telah menimbulkan keraguan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang terjadi kepada umum. Tindakan itu berpotensi menimbulkan fitnah yang merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, agen serta pengguna terhadap Skin Dessert.
Kenyataan agensi itu menyebabkan masyarakat mempunyai persepsi Skin Dessert ada agenda tersembunyi dan jenama Skin Dessert tidak boleh dipercayai.
Produk Telah Lama Dihentikan Pengeluaran
Untuk makluman juga, produk ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ yang dibatalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Oktober 2022, sudah dihentikan pengeluaran dan produksi akhir produk itu adalah pada Disember 2021.
Skin Dessert sudah menarik balik produk ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ daripada pasaran dan dihentikan pengeluaran pada Disember 2021 melalui satu MEMO yang disiarkan menerusi platform sosial media rasmi Skin Dessert.
Produk ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer’ adalah produk baharu yang menggantikan ‘Skin Dessert Moisturizer Treatment’ iaitu produk yang dihantar kepada SIRIM untuk membuat ujian keselamatan.
Pelan Penstrukturan Semula
Menerusi Pelan Penstrukturan Semula Jangka Masa Panjang Skin Dessert, kesemua produk akan dihantar untuk ujian makmal secara berperingkat bermula dengan ‘Skin Dessert Repairing Moisturizer.
Skin Dessert juga turut menghantar ENAM PRODUK untuk ujian makmal di Pusat Racun Negara Malaysia Universiti Sains Malaysia.
Menerusi hasil ujian ini, kesemua produk yang dihantar diklasifikasikan sebagai Not Detected atau diuji bebas daripada kandungan logam berat. Ujian produk telah dijalankan di Makmal Toksikologi Pusat Racun.
Disebabkan Pusat Racun Negara Malaysia Universiti Sains Malaysia memberikan terma dan syarat yang perlu dipatuhi Skin Dessert, hasil ujian tidak dapat dikongsikan kepada umum.
Orang ramai bagaimanapun boleh menyemak hasil ujian ini menghubungi Makmal Toksikologi PRN dengan menggunakan nombor rujukan PRN2022/581-587 untuk pengesahan ujian. [TAMAT]
Kerugian, Hampir Kemurungan & Pernah Beberapa Kali Diugut
Ketika sidang media yang berlangsung sebentar tadi, turut ditanya oleh para media apakah kesan ketara yang dihadapi oleh mereka berdua sebagai pengasas dan pengarah urusan Skin Dessert, khususnya bagi Puan Zirra Abdullah sendiri, dan ini jawapan dari beliau.
“Sudah pastinya dalam tempoh 2 bulan tersebut adalah kerugian yang terpaksa kami alami, dari pendapatan jualan sebulan mencecah jutaan menurun kepada puluh ribuan yang sangat mendadak, hampir 60%! Selain kecaman, masej ugutan juga turut kami terima sehingga ada yang sampai ingin mengancam keselamatan kami. Ada yang kata nak simbah asid dan sebagainya.
Dan selama 2 bulan itu juga, ia turut memberi impak pada emosi dan mental saya. Saya sampai takut nak keluar rumah, nak beli makanan anak-anak pun risau kerana Kuala Krai pun bukan besar mana. Di sana semua orang mengenali saya. Namun saya sedar saya tak boleh kalah dengan emosi dan perlu bangkit. Mujur ada suami, keluarga serta ejen dan stokis yang merupakan kekuatan Skin Dessert.”
Apa-apa pun NONA mendoakan semoga urusan SKIN DESSERT dan pihak SIRIM menemui satu jalan penyelesaian yang terbaik, dan dipermudahkan segala urusan untuk kedua belah-belah pihak agar kes ini dapat diselesaikan segera.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Kurang Pendedahan, Ramai Pesakit Kanser Payudara Datang Dalam Keadaan Agak Melarat! DR AZURA ABAS
Secara amnya, kanser payudara boleh menyerang wanita berusia di antara 30 hingga 75 tahun. Tapi kebanyakan kes yang diterima, mereka yang berusia bawah 50 tahun lebih berisiko tinggi. Ada juga yang mula menghidap kanser payudara seawal usia 20 tahun. Tidak dinafikan faktor usia mempengaruhi penyakit ini tetapi salah satu penyumbang terbesar adalah genetik.
Mengimbas perkongsian Dr Azura Abas yang sebelum ini pernah berkhidmat di Jabatan Pembedahan Awam Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dia sudah beberapa kali terlibat menjalankan operasi pembedahan pesakit kanser nombor satu wanita ini.
Dedah isteri kepada Dr Say Shazril ini, “Ramai juga yang masih tak tahu bahawa racun serangga turut menjadi punca kepada kanser payudara. Biasanya racun serangga ini terlekat pada sayur-sayuran dan jika tidak dibasuh bersih, ia boleh menjejaskan kesihatan.
Begitu juga pendedahan keterlaluan terhadap hormon estrogen di kalangan wanita yang dalam fasa menopaus. Pengambilan lebihan hormon ini sebagai terapi golongan menopaus supaya emosi mereka tenang dan stabil meningkatkan lagi risiko kanser payudara. Termasuklah ibu-ibu yang tak menyusukan bayi.
Apabila menyusukan bayi, ia akan mengurangkan kecenderungan kanser payudara. Sama seperti ibu hamil kerana kandungan hormon estrogen dalam badan wanita waktu itu terhenti seketika dan membuatkan sistem badan dapat berehat. Jadi, mereka terhindar daripada risiko kanser tersebut.”
Menceritakan pengalamannya sepanjang bertugas di HSNZ, terbit reaksi kecewa pada wajah doktor ini apabila mengetahui rata-rata wanita Malaysia masih kurang pendedahan terhadap kanser dan pemeriksaan payudara sendiri di rumah. Akibatnya, ramai pesakit yang datang ke hospital dalam keadaan agak melarat dengan saiz ketulan sebesar 4 sentimeter.
“Bayangkan 1 sentimeter pun cukup membahayakan, ini pula 4 sentimeter. Sangat bahaya kalau ketulan sudah membentuk sebesar ini. Kajian yang dibuat pakar perubatan di Malaysia juga mendapati sebahagian besar pesakit yang disahkan menghidap kanser payudara ambil masa lama untuk dapatkan rawatan.
Sampai tiga bulan baru hendak datang dan sukar untuk diubati sebab sel kanser sudah merebak ke bahagian lain. Tambahan pula, jika pesakit sudah melepasi stage 4 kami hanya mampu bagi rawatan sokongan seperti kaunseling dan ubat tahan sakit yang sesuai untuk buatkan pesakit berasa selesa,” terang Dr Azura.
Prihatin terhadap pertambahan jumlah kes kanser payudara yang menyerang wanita saban tahun, dia turut menyarankan para wanita menjalani pemeriksaan seperti mamogram dan ultrasound di hospital mahupun klinik kesihatan berdekatan sebagai langkah pencegahan awal.
Selain itu, amalan pemakanan sihat dan seimbang juga digalakkan terutamanya makanan yang tidak mengandungi bahan pengawet serta tidak terdedah dengan racun serangga.
“Nasihat saya, kalau ada rasa perubahan pada payudara cepat-cepat pergi ke hospital. Doktor akan lakukan pemeriksaan untuk kesan sebarang benjolan atau ketulan. Kadang-kadang rupa ketulan yang bulat dan boleh bergerak dalam payudara adalah ketumbuhan yang tak membahayakan.
Tak buang pun tak apa. Yang kami risau bila ketulan itu menyerupai ciri kanser seperti keras, melekat di satu tempat saja dalam payudara, bukan berbentuk bulat dan puting payudara keluar darah mahupun nanah.”
Kredit foto: Instagram Dr Azura Abas