Sejak khabar menularnya virus Corona di China, carian nama saintis Prof Shi Zhengli di Internet tiba-tiba mendadak naik. Dari laporan South China Morning Post, ahli virologi itu pernah difitnah sebagai ‘Ibu Sang Iblis’ kerana Shi dipercayai menjadi dalang konspirasi penyebaran virus tersebut.
Terkenal dengan gelaran ‘bat woman’, wanita berusia 56 tahun ini sebenarnya berjasa besar dalam penemuan virus Corona. Selama lebih sedekad, Shi mengabadikan dirinya untuk mengkaji sains termasuk meneroka hutan tebal, mendaki gunung-ganang dan keluar masuk gua di seluruh 28 wilayah di China. Tujuannya? Untuk memungut najis kelawar dan membawa spesimen haiwan itu ke makmal di Wuhan.
Penelitian Shi di Wuhan National Biosafety Laboratory itu berjaya mengumpulkan database lengkap mengenai virus-virus terkait kelawar di dunia. Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Virologi China (Mikrobiologi) turut merupakan saintis pertama yang membongkar fakta bahawa virus SARS berasal dari kelawar.
Mirip SARS
Dilahirkan pada 26 Mei 1964 di Xixia, Henan, China, Prof Shi Zhengli merupakan graduan lulusan Universiti Wuhan pada tahun 1987. Beliau menerima ijazah sarjana dari Institut Virologi Wuhan, Akademi Sains Cina (CAS) pada tahun 1990 dan PhD dari Universiti Montpellier 2 di Perancis pada tahun 2000.
Pada tahun 2014, Prof Shi Zhengli terpilih sebagai penerima geran daripada kerajaan Amerika Syarikat serta geran dari program Penyelidikan Asas Negara China, Akademi Sains China, Yayasan Sains Alam Semula Jadi China dan dari Program Penyelidikan Keutamaan Strategik Akademi Sains China untuk membiayai penyelidikan beliau tentang virus Corona.
Semasa penularan wabak COVID-19, Shi dan dua belas ahli sains yang lain membentuk kumpulan penyelidikan khas untuk ‘Sindrom Pernafasan Akut Teruk’ (SARS-CoV 2). Hasil kajian mereka telah diterbitkan dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘Wabak Radang Paru-Paru Berkaitan Virus Corona Berkemungkinan Asal Dari Kelawar’ dan mengatakan bahawa SARS-CoV 2 berada di kelompok yang sama dengan SARS, serta paling mirip dengan keputusan kajian mereka tentang kelawar.
Pada Februari lalu, pasukannya menerbitkan sebuah kertas dalam Cell Research yang menunjukkan bahawa remdesivir, sejenis ubat eksperimen yang dimiliki oleh Gilead Sciences, mempunyai kesan positif dalam menghalang in vitro virus berkenaan, dan memohon paten untuk menghasilkan ubat bagi pihak makmalnya di Wuhan, China.
“Saya bersumpah, penyebaran virus Corona tiada kaitan dengan kajian di makmal kami”
Ketika difitnah dengan serangan peribadi dalam media sosial di China, Prof Shi Zhengli bertegas menyelar penularan virus itu berpunca dari makmalnya.
Bagi ilmuwan tersebut, virus Corona yang sedang menular di serata dunia itu adalah ‘cara alam semula jadi menghukum manusia kerana mengamalkan gaya hidup tak bertamadun.’ Kini beliau dilaporkan sedang bergabung dengan para saintis hebat dari serata dunia untuk mencari vaksin dan penawar COVID-19.
Sehingga kini, masih tiada penyelesaian dijumpai tetapi banyak makmal sains di dunia berusaha menganalisis gen-gen dan struktur molekul virus Corona bagi merawat pembunuh No. 1 dunia itu.