
Selepas memenangi pilihan raya tahun 2013, Erna Solberg telah dilantik menjadi Perdana Menteri Norway. Wanita yang lahir pada 24 Februari 1961 ini merupakan wanita kedua yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Norway selepas Gro Harlem Brundtland.


Wanita lulusan University of Bergen dalam jurusan sosiolagi, sains politik, statistik dan ekonomi ini juga telah didiagnos disleksia ketika usianya 13 tahun. Kejayaan Erna Solberg memegang jawatan sebagai Perdana Menteri telah membuktikan bahawa pengidap disleksia mampu berjaya sehingga ke tahap yang tertinggi.


Namun setelah 8 tahun memegang tampuk negara Norway, Erna Solberg terpaksa mengundur diri ekoran kekalahan Parti Konservatif di bawah pimpinannya dalam pilihan raya parlimen pada 13 September lalu. Erna Solberg dikatakan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Raja Norway, Raja Harald V dalam satu pertemuan di istana Kerajaan itu.


“Raja Harald V menerima surat peletakan jawatan saya dan meminta saya untuk meneruskan tugas sementara kerajaan baharu dibentuk,” kata Erna Solberg dalam satu sidang media selepas pertemuan itu, lapor Xinhua. Parti Buruh di bawah pimpinan Jonas Gahr Stone bakal membentuk kerajaan baharu Norway.


Erna telah berkahwin dengan suaminya, Sindre Finnes seorang ahli perniagaan pada tahun 1996 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Wanita yang berusia 60 tahun ini juga digelar ‘Iron Erna’.
TENGKU ZATASHAH Tunaikan Hajat 3 Kanak-Kanak Melalui Make A Wish Foundation, Kolaborasi Disney 100

Anakanda Sultan Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah menambah keceriaan kanak-kanak apabila menunaikan hajat tiga kanak-kanak melalui Make A Wish Foundation.
Baru-baru ini, Yang Amat Mulia Tengku Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan permintaan yang diambil dari sebuah telaga buatan dikenali sebagai “Wonder of Play” Wishing Well yang terletak di Toys R Us, Mid Valley Megamall.
Lebih 100 kad permintaan dari kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal di Malaysia diletakkan di dalam perigi permintaan tersebut dari 9 hingga 12 Mac lalu untuk membolehkan rakyat Malaysia yang pemurah menderma sambil memenuhi permintaan kanak-kanak ini.
Puteri raja yang dikenali sebagai seorang yang mesra dan prihatin terhadap kanak-kanak ini telah berkenan memenuhi permintaan tiga kanak-kanak yang menyenaraikan permintaan mereka. Tampil mengenakan kebaya putih bersulam, Tengku Zatashah tampak gembira memilih beberapa permainan yang ditulis dalam sekeping kad.
Kali ini, Disney telah bekerjasama dengan jenama tempatan untuk membawakan “Disney100” kepada para peminat dan fashionista di Malaysia. Aktiviti Wishing Well dilaksanakan untuk memberi sokongan terhadap Make-a-Wish® Malaysia baru-baru ini.
Ia juga dianjurkan sempena sambutan 100 tahun The Walt Disney Company di mana para pelanggan barangan Disney boleh mendapatkan pelbagai koleksi Disney100 yang istimewa dan eksklusif. Disney juga berharap program seperti ini memberi peluang untuk masyarakat Malaysia berkongsi kegembiraan melalui permainan dengan mengetengahkan keajaiban “Wonder of Play”.
Tidak dinafikan, kebanyakan rakyat Malaysia membesar bersama jenama Disney yang menyajikan pelbagai elemen hiburan yang bersesuaian untuk seisi keluarga. Antara jenama Disney yang sebati dengan kanak-kanak Malaysia termasuklah karektor Disney, Pixar dan Marvel.
Selain Tengku Zatashah, antara selebriti lain yang turut memeriahkan majlis tersebut termasuklah Personaliti TV dan pelakon, Yasmin Hani bersama dua orang anaknya, Noah Ismail Wong dan Eissa Elzander Wong. Selain itu, Datin Elaine Daly serta Estelle Joy turut memeriahkan majlis berkenaan.
:
Dari Akauntan Ke Chef, JUARA MasterChef Australia 9 Kelahiran SITIAWAN Ini Terus Cipta Nama

Siapa sangka, ketika kecil suka memerhatikan gelagat ibu dan bapanya menyediakan hidangan telah membuat wanita ini pergi jauh dalam dunia masakan. Bukan setakat itu sahaja, malah ibu dan bapanya juga telah mengajar Diana Chan cara memilih bahan-bahan masakan yang berkualiti.


Bergelar pelajar di bumi Kangaroo dan dalam masa yang sama mahu menikmati makanan yang berkualiti membuatkan wanita ini terpaksa masak sendiri. Ini secara tak langsung membuatkan Diana Chan semakin mahir masak. Ditambah pula, meminati program Masterchef yang bersiaran di sana dan cuba menyertai pertandingan masakan yang tersohor tersebut telah mengubah kehidupannya.


Sudah menjadi rezeki, Diana Chan berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9. Bergelar juara melayakkan wanita yang dilahirkan di Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.

Pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama wanita yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun ini untuk beraksi di rancangan masakan termasuk baru-baru ini Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel. Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa.

Diana Chan mula berpindah ke Australia di usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana Chan telah bekerja di sana sebagai akauntan atau lebih tepat lagi senior analyst.

Wanita yang berusia 33 tahun ini mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan Baba-Nyonya yang diwarisi dari ibu dan bapanya. Semoga Diana Chan terus bersemangat membawa masakan Malaysia ke persada dunia dan terus mencipta nama dalam dunia masakan.

Tak Sambung Belajar Sebab Kekangan Duit, FIDA RAMLI Bukti Kemampuan Jadi Usahawan Produk Rambut Berjaya!

Melihat gaya hidup Nurafirda Ramli hari ini pasti membuatkan ramai wanita mahu menjadi sepertinya. Bukan hanya menjalani kehidupan senang, ada kereta mewah dan bergaya mahal dari hujung rambut ke hujung kaki bahkan dia juga memiliki bisnes yang semakin maju. Hasil keuntungan berniaga, tidak dinafikan usahawan wanita ini mampu membeli apa sahaja yang diimpikan selama ini.
Hakikatnya, untuk Nurafirda atau mesra disapa Fida sampai ke tahap sekarang bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi dia tidak mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perniagaan dan berdepan pelbagai ujian sepanjang berniaga.
Pun begitu, ia tidak menjadi penghalang untuk Fida mencuba potensi diri dan membuktikan wanita sepertinya juga mampu berjaya jika rajin berusaha.



Mengaku mula berniaga dari bawah, ibu kepada dua cahaya mata tersebut tenang menyusun bicara. “Saya berasal dari Gombak. Mak seorang suri rumah yang berumur 61 tahun dan bekerja dengan mengambil upah jahit baju. Abah pula baru habis kerja tahun ini sebagai office boy penghantar surat. Saya anak bongsu daripada tiga adik-beradik perempuan.
Masa mak mengandungkan saya, mak abah mengalami kemalangan jalan raya. Waktu itu mereka sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Disebabkan hendak elak sebuah kereta yang menggelongsor ketika naik bukit, abah dan mak terbabas. Akibatnya, perut mak terhentak dan jatuh ke longkang. Kesan daripada kemalangan itu, saya lahir sumbing.”
Tambah Fida lagi, kerana keadaan itu dia sering menjadi bahan jenaka rakan-rakan. “Memang dari kecil selalu je orang ejek. Mulut senget la, sumbing la. Cuma bila dah besar ni, orang ejek buat filler tak jadi sebab tu jadi mulut macam tu. Padahal saya tak pernah buat filler. Ada juga parents yang tak bagi saya kawan rapat dengan anak mereka sebab takut nanti dapat anak sumbing dan anggap ia keturunan.”
Reda terima ketentuan takdir, Fida bagaimanapun enggan ambil peduli kata-kata sindiran. Sebaliknya fokus Fida lebih kepada usaha membantu keluarga khususnya kedua-dua ibu bapa. “Saya belajar sampai Kemahiran Tahap 3 Kulinari Art saja. Tak sampai diploma pun sebab tak mampu dari segi wang ringgit. Bagi saya, ada baiknya saya kerja cari duit untuk bantu keluarga. Jadi saya mula kerja part time dari umur 16 tahun. Kerja tetap pertama saya ialah waitress di sebuah restoran pusat beli-belah.
Lepas tu saya dapat offer kerja sebagai coordinator di Hotel Royale Chulan. Hampir setahun setengah, saya cuba jadi sales person pula sebab boleh dapat gaji lebih tinggi. Dari Admin Sales sampailah jadi Sales Manager yang bergaji RM5,000 sebulan.
Akhirnya pada Februari tahun lepas saya ambil keputusan berhenti kerja kerana depression. Dalam masa sama, saya nampak kerjaya sebagai usahawan lebih menguntungkan, boleh simpan duit dan mampu bantu lebih ramai orang,” dedah Fida yang berpengalaman 10 tahun dalam bidang perhotelan.
“Berniaga ni mulanya suka-suka je pada Februari 2019 sebab nak tambah duit belanja. Sepanjang kerja, saya tak pernah ada duit simpanan sebab kebanyakannya guna untuk bayar commitment. Bulan Julai 2019, saya mula serius berbisnes dan daftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dari situ saya sedar arah tuju bisnes yang boleh pergi jauh dan saya mula sebagai agent dengan RM600.
Alhamdulilah disebabkan nak sangat berhenti kerja dan buktikan dekat abah dan suami yang saya boleh pergi jauh dalam bisnes, saya berjaya kumpul simpanan lima angka dalam masa tiga bulan. Barulah suami dan abah sokong keputusan saya,” ujarnya yang pernah mengalami kerugian sehingga RM202,000 baru-baru ini.
Bertungkus-lumus menjana pendapatan melalui perniagaan, impian wanita berusia 29 tahun ini untuk membahagiakan ibu bapa akhirnya dimakbulkan. “Saya pernah duduk flat, api dengan air kena potong dan terpaksa pinjam dengan jiran bawah rumah sambung pakai extension je. Mak masak untuk kami sekeluarga pakai periuk nasi. Itu belum kira hutang-piutang lain lagi.
Abah tak pernah jalan-jalan dan naik kapal terbang. Jadi saya tekad bagi mak abah kesenangan. Syukur, saya dah ada simpanan dan sudah ada butik showroom sendiri selain boleh bawa mak abah pindah dengan saya di rumah yang lebih selesa.”
Bergelar co-founder bagi produk jenama HEADS Professional Paris, Fida menjelaskan dia mendapat idea untuk menjalankan perniagaan berasaskan produk penjagaan rambut kerana meminati dunia kecantikan di samping menghargai mahkota wanita, rambut.
“Semua orang perlu cuci rambut. Jadi saya nak bantu orang mempunyai rambut yang cantik selain dari merawat kulit kepala. Setakat ini, kami ada dua rangkaian syampu iaitu Botamix range dan juga NON SLS range base natural ingredients, tiga jenis shampoo base untuk masalah kulit kepala dan tujuh finishing untuk merawat rambut.
HEADS ialah professional shampoo saloon yang mempunyai raw material dari Perancis dan USA tapi dikilangkan di Malaysia. Mould botol juga dibuat di Brazil yang pastinya unik daripada produk tempatan yang ada dalam pasaran negara.
Alhamdulillah, jualan saya dari tahun 2019 sampai Jun lepas sebanyak RM10.1 juta. Dari mula seorang, kemudian ada 5 team dan naik lagi kepada 10 team. Tahun ini jumlah keseluruhan team saya ialah 2,250 orang yang berdaftar sebagai agent.”
Semoga perjalanan kehidupan dan kejayaan Fida sebagai usahawan menjadi suntikan inspirasi kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk mencapai impian.