Kagum tengok semangat bekas Ratu Cantik Colombia, Daniella Alvarez mengharungi ujian hidup. Mana tidaknya, daripada seorang wanita yang dilahirkan cukup sempurna dan mempunyai rupa paras menawan kini dia terpaksa menerima hakikat ‘kekurangan’ yang dialaminya hari ini.
Tanggal 14 Jun 2020 pasti menjadi detik paling tidak dapat dilupakan Daniella apabila sebahagian kaki kirinya terpaksa dipotong akibat ischemia iaitu keadaan aliran darah yang tersekat untuk sampai ke bahagian organ badan.
Biarpun menjalani hidup dengan sebelah kaki hampir dua tahun tapi ia sedikit pun tidak menjejaskan rutin harian Daniella. Malah, dia yang sebelum ini disifatkan seorang wanita ceria, suka menari dan melakukan aktiviti lasak tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk terus hidup bahagia seperti kebiasaan.
Paling menakjubkan, hanya selepas tiga minggu menyesuaikan diri dengan ketiadaan kaki kiri Daniella membuat kejutan kepada 4 juta pengikutnya di Instagram dengan memuat naik video tarian di samping adik lelaki tersayang, Ricki Alvarez. Memang kuat semangat wanita ini!
“Difficulties don’t matter! We must be resilient in life!” Daniella dilaporkan kembali menari selepas kaki kirinya terpaksa dipotong disebabkan komplikasi pembedahan di bahagian perut.
Pada Mei 2020, Daniella dikehendaki menjalani pembedahan membuang ketulan yang terdapat di bahagian perut. Menurut laporan media antarabangsa Hola!, operasi pembedahan itu bagaimanapun berlaku komplikasi apabila doktor mendiagnos dirinya mengalami ischemia.
Rentetan itu, separuh bahagian kaki kiri hingga ke lutut terpaksa dibuang. Perkara itu didedahkan Daniella sendiri yang terbuka berkongsi keadaan kesihatan dirinya. Sepanjang berada di hospital, dia menerima sokongan padu daripada ahli keluarga. Pastinya inilah ‘kekuatan’ sebenar Daniella dalam menempuh cabaran tersebut.
Difahamkan selain membuang sebahagian kaki kiri, pemenang mahkota Ratu Cantik Colombia 2011 dan mewakili negaranya untuk Miss Universe 2012 turut menjelaskan bahawa kaki kanannya ketika itu juga terjejas.
“Kaki kanan saya tidak berfungsi buat masa ini. Saya tak tahu bila ia akan kembali pulih agar saya dapat bergerak aktif semula.
Sebagai permulaan, kaki saya perlu dirangsang sensitiviti dan saya perlu belajar berjalan semula. Proses ini dianggarkan mengambil masa enam bulan dan keseluruhannya saya perlukan masa setahun untuk kembali pulih.”
Selain bergelar seorang peragawati, jelitawan berketinggian 174 sentimeter dan meniti usia 34 tahun ini juga merupakan personaliti televisyen. Selama tujuh bulan hidup dengan sebelah kaki, Daniella dilihat kembali aktif dengan pelbagai aktiviti.
Selain sudah berjaya jalan dengan bantuan kaki palsu, dia juga sudah mampu menari, berenang dan menunggang basikal. Malah, aura positif Daniella menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat mereka yang mengalami nasib sama sepertinya.
Kredit foto: Instagram Daniella Alvarez