Diuji Keguguran Sebelum Ini, DATIN ZAI Hamil Anak Ketiga & Terserlah Seri Ibu Mengandung!

Rezeki Allah Taala pasti ada apabila sampai waktunya. Walau berdepan pelbagai cabaran besar untuk menimang cahaya mata kira-kira dua tahun lalu, kini Datin Zai Izatti merupakan ibu kepada dua orang anak.

Empunya badan sendiri pun tidak menyangka, aturan Allah untuk mengurniakan zuriat kepadanya semakin dipermudah. Hanya ungkapan alhamdulillah yang terpacul di bibir ratu hati Datuk Jamal Abdillah ini setiap kali berkongsi cerita mengenai perjalanannya menjadi seorang ibu.

11 November tahun lepas, Datuk Jamal dan isteri teruja menyambut kehadiran ‘orang baru’ yang merupakan anak kedua mereka dan adik kepada Nur Azura Yamani. Bagi ibu berusia 27 tahun tersebut, dia sama sekali tidak menyangka rezeki untuk timang zuriat ketiga datang secepat ini.

Apatah lagi anak keduanya, El Issac Yamani baru berusia 9 bulan ketika mereka mendedahkan berita kehamilan anak ketiga sekitar Ogos lalu.

Dihubungi Nona untuk mendapat pengesahan pada pertengahan Ogos lepas, Datin Zai sambil tertawa mengiyakan perkhabaran tersebut. “Alhamdulillah, dah nak masuk 13 minggu.”

Dalam temu bual bersama Nona, Datin Zai memberitahu dia berhasrat memiliki sekurang-kurangnya empat orang anak. Namun perjalanan untuk mempunyai anak sendiri tidak semudah yang disangka. Datin Zai pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali sebelum melahirkan Azura.

“Awal kahwin dulu kami suami isteri tak rancang tapi direzekikan hamil. Bila dapat tahu gugur, sedih sangat. Saya rasa mungkin waktu tu saya terlalu excited dan kandungan awal lagi tapi tak beritahu sesiapa pun.

Bayangkan, saya pernah gugur 4 kali baru dapat Azura. Sebelum itu memang saya ada cuba ambil suntikan dan supplement untuk hamil. Bila banyak kali gugur, saya jumpa doktor sebab risau ada masalah berkaitan rahim atau sebagainya. Alhamdulillah, tak ada masalah.

Ketika dalam proses nak buat IVF, setengah tahun juga… tiga kali saya gugur. Sampai diri dah pasrah dan reda kalau ditakdirkan tak ada rezeki anak. Tapi waktu itulah, Allah ‘bagi’ Azura. Walaupun masa mengandungkan Azura saya alami banyak pendarahan tapi syukur semuanya dipermudahkan. El Issac pun saya hamil secara semula jadi.”

Uniknya nama anak kedua mereka El Issac Yamani atau singkatannya Zeck ini diambil sempena filem Azura! Terus terbayang lakonan Datuk Jamal sebagai Zeck dalam filem popular era 1984 tu.

Anak sulung, Nur Azura Yamani
Anak kedua, El Issac Yamani

“Sejak anak pertama lagi memang bapa dia yang pilih nama. Mula dulu Datuk nak nama Azura sebab memori kenangan filem tu. Anak kedua ni pun sama juga. Kalau tanya saya, saya memang tak pandai sangat nak bagi nama anak. Saya serahkan dekat Datuk.

Issac tu diambil daripada nama Inggeris Ishak, Yamani pula sebab keturunan Yaman. Jadilah El Issac Yamani atau singkatan Zeck,” jelas Datin Zai yang mengaku tidak cerewet dalam bab pemberian nama anak. Untung Datuk Jamal!

Walau sibuk sebagai ibu dua anak, Datin Zai sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Selain mengusahakan bisnes tudung di bawah jenama Calmilyna Exclusive, Datin Zai juga mengusahakan produk kecantikan Zeebra Cosmetic. Khabarnya, ia perniagaan Datin Zai bersama kakak tersayang.

Semoga isteri Datuk Jamal Abdillah ini mampu menjadi usahawan berjaya kelak dan kecekalannya menempuh ujian untuk bergelar ibu dapat dijadikan inspirasi buat seluruh wanita.

 

Kredit foto: Instagram Datin Zai Izatti

Share
Published by
Suzi