
Pada saat dia memilih Islam sebagai pegangan hidup, Ayana Jihya Moon diduga dengan tentangan keluarga. Namun, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat dan kepercayaan Ayana terhadap Allah SWT sebaliknya menambah membuatkan dirinya semakin mahu mendalami agama suci ini.
Terdetik hati untuk memeluk Islam pada tahun 2012, anak kepada seorang pemimpin politik di Korea Selatan ini mengakui cara hidup Islam menerbitkan dimensi baharu buat dirinya dan membawa kebaikan itu di dalam negara kelahiran dan juga luar negara.

Ujar Ayana, “Saya mula tertarik dengan Islam sejak kecil lagi sebab jatuh cinta dengan kebudayaan Timur selepas mempelajari tentang Timur Tengah sehingga menarik perhatian saya untuk memeluk Islam. Alhamdulillah, pintu hati saya terbuka untuk menerima Islam pada tahun 2012.
Hidup sebagai seorang Muslimah di Korea sangat mencabar. Sukar untuk saya dapatkan pekerjaan hanya kerana saya berhijab. Jika ditawarkan pekerjaan pun kebanyakannya bersangkut paut dengan perkara haram untuk dilakukan antaranya termasuklah perlu mengambil minuman beralkohol mengikut budaya masyarakat di sana.”
Terbaru, menerusi entri Ayana di Instagram… gadis mualaf yang cukup terkenal di Indonesia mengimbas kembali memori suka duka sebelum dikenali ramai. “Masih terbayang lagi saat pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia. Waktu itu saya hanya mampu tinggal di guest house dan bukan hotel. Sebab tak cukup duit.
Sebenarnya, duit simpanan masih ada tapi terpaksa berjimat untuk keperluan akan datang. Lebih-lebih lagi masa itu saya masih belajar. Lepas saya bertekad mahu meninggalkan Korea, tak dinafikan mak dan ayah rasa sangat sedih.
Disebabkan keputusan saya itulah mereka berhenti memberikan duit kepada saya. Sudahnya, segala keperluan sepanjang berhijrah termasuk perbelanjaan makan minum dan tiket penerbangan ditanggung sendiri dengan baki duit yang ada.
Jujur saya katakan, sampai sekarang pun mereka tidak lagi beri duit kepada saya walaupun hanya RM1. Cepatnya masa berlalu… alhamdulillah, sekarang saya dah berkemampuan untuk pergi dan tinggal di mana saja.”
Foto: Instagram Ayana Jihye Moon
“Cuma Ada Satu Di Dunia” Pejuang Bipolar MARSHANDA Lancar Koleksi Kain Batik Bermotifkan Brainwave

Aktres popular Indonesia, Marshanda yang juga pejuang Bipolar menjadi sorotan di Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober 2022 lalu.

Bipolar adalah sejenis penyakit mental yang melibatkan gangguan emosi yang ketara dalam jangka masa panjang. Ia boleh mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tingkah laku pesakit. Terdahulu, penyakit ini dikenali sebagai manic depression namun ia kini tidak lagi diguna pakai dalam bidang perubatan.
Sempena meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini, Marshanda melancarkan koleksi kain batik yang bermotifkan Bipolar. Ia dikatakan terinspirasi daripada gelombang otak atau brainwave Marshanda sendiri sebagai penghidap penyakit tersebut.

Ternyata, Marshanda seorang wanita yang sangat tabah dan positif kerana dia tidak pernah malu untuk mengakui perkara itu. Sebaliknya, dia lebih bersemangat untuk memberikan inspirasi dan motivasi kepada masyarakat.
Dengan memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia, Marshanda mengeluarkan koleksi istimewa berupa kain batik bermotifkan gelombang otak ‘Bipolar disorder’.
Rupa bentuk kain batik tersebut telah dikongsi dalam sebuah video dimuat naik di TikTok Indonesia. Ia menampilkan visual gelombang otak milik Marshanda sebagai penghidap Bipolar.
Gelombang itu digabungkan dengan motif batik Parang menghasilkan sebuah motif baru yang sangat indah dan belum pernah ada sebelum ini. Gabungan ini dinamakan sebagai Biparang yang membawa maksud keberanian dan kegigihan.
“Cantik sangat batiknya. Kamu pasti belum pernah lihat motif ini sebelum ini kerana ia cuma ada satu dalam dunia. Yang datangnya dari diri aku, dari brainwave aku,” ungkap Marshanda dalam video kempennya yang tular di media sosial.
Selain memberi inspirasi dan motivasi, Marshanda juga mahu menunjukkan bahawa dia adalah pejuang Bipolar yang memiliki kekuatan dan keinginan besar dengan keperibadian yang lebih baik.
Seterusnya, Marshanda juga mahu membuktikan ianya tidak menakutkan dan mampu mengubah sesuatu menjadi lebih indah.
Kredit Foto: Instagram Marshanda
“Saya Selalu Bersangka Baik” Pejuang Kanser Ovari Farah Fazarina Reda Ujian Meski Jiwa Terkorban

Setiap orang berbeza jalan hidup dan ujiannya. Ada yang diuji dengan kemiskinan, ada pula dengan kesakitan, kehilangan, masalah perkahwinan, kecelaruan identiti atau apa saja yang mendorong soalan… ‘God, why me?’
Nona tertarik berkongsi kisah Farah Fazarina Mohamad, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya yang kini sedang bertempur penyakit kanser ovari.
Ketika menyelami perasaan ibu beranak dua ini, bergaul rasa sebak dan kagum melihatkan kekuatan semangat yang menyalutinya. Dia begitu positif, malah memandang kehidupan kini lebih bermakna daripada dulu.
Semoga coretan ini memberi manfaat kepada pejuang kanser lain. Khasnya mereka yang berdepan relapsed iaitu kanser yang berulang selepas sembuh.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… selesai jua chemo cycle ke-5 hari ini dengan izin Allah SWT.
Masa berlalu pantas walaupun dari treatment bermula seawal jam 8 pagi – 4 petang. Allah bagi kesempatan untuk rehat dan tidur juga hari ni kerana terlalu penat masa nurse masukkan ubat. Alhamdulillah.
Pagi hari ini juga terbaca kisah seorang pejuang kanser di Facebook Page CANCER SURVIVORS (MSIA) yang selepas beberapa tahun menjalani rawatan, dan kanser itu datang semula.
Dalam istilah perubatan kita panggil sebagai relapsed. Dan umum tahu bahawa sebagai seorang pesakit kanser, kebanyakan (bukan semua) berpotensi untuk mendapat kanser semula. Sebab itu pesakit kanser, walaupun sudah menjalani dan melengkapkan regimen rawatan (chemotherapy atau sebagainya), pesakit masih perlu menjalankan check-up secara berkala, sekurang-kurangnya selama 5 tahun pertama dan kekerapan check-up akan dikurangkan mengikut keadaan semasa pesakit.
Ada yang relapsed selepas 7-8 tahun. Ada yang dan survive sampai lebih 10 tahun dan ke atas. Dan semua itu bergantung kepada keadaan diri pesakit masing-masing.
Kita sebagai pesakit kanser boleh memilih untuk menjadi seorang yang positif ataupun negatif. Seorang yang mudah mengalah dengan ujian ini atau seorang yang terus kekal berjuang selagi hayat dikandung badan. Dan benda ini hanya diri pesakit berkenaan sahaja yang boleh tentukan.
Orang sekeliling (walaupun keluarga terdekat, suami, isteri, anak) hanya boleh memberi sokongan dan nasihat. Tapi hanya pesakit yang boleh membuat keputusan hidupnya. Dan bila kanser relapsed, saya tengok kebanyakan pesakit akan mula berputus asa. Sebab itu, pesakit kanser sebenarnya memerlukan sokongan emosi yang berterusan. Bukan hanya ketika menjalani rawatan sahaja.
Sokongan emosi yang berterusan sepanjang hayat diperlukan oleh pejuang seperti kami.
Pandangan peribadi saya sebagai seorang pejuang, bukan senang pada mulanya untuk menerima hakikat yang anda pesakit kanser. Lebih-lebih lagi bagi saya yang terlalu mengharapkan dapat baby baru, tapi Allah uji dengan penyakit yang terpaksa dibuang rahim, ovari dan segala yang berkaitan.
Sekiranya saya tidak positif, mungkin saya pun menyalahkan takdir Allah dan terus berkata “kenapa saya..?” “Why me..?”. Saya boleh memilih untuk mempersoalkan tentang kenapa saya diuji lagi sedangkan Allah telah menguji saya pada tahun 2017***. Tetapi tidak.
***(Untuk yang baru follow kisah saya, tahun 2017 sy pernah diuji dengan jangkitan kuman yang kritikal, menyebabkan saya terpaksa melalui beberapa siri pembedahan, terpaksa mengorbankan bayi yang sedang dikandung 25-26 minggu dan bermalam di ICU, HDU dan berada di hospital selama hampir 4 bulan dengan ditemani suami tercinta yg sentiasa memberi sokongan Azizirrahim Irealty)
Allah telah memberi petunjuk dan memilih saya untuk bersangka baik dengan-Nya. Dia jua yang reveal bahawasanya Dia jua yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan, Maha Mengetahui segala perancangan yang terbaik bagi hamba-Nya. Alhamdulillah sayangnya Allah kepada saya.
Di sebalik ujian kali ini, Allah hadirkan kekuatan pada saya dan memberikan petunjuk-petunjuk yang menjadi kekuatan saya sampai sekarang. Subhanallah dan sampai sekarang saya berterusan berdoa, “Ya Allah, aku sangat bersyukur dengan ujian ini Ya Allah. Yang telah mendekatkan aku pada-Mu dan telah mendatangkan nikmat dan aku reda dengan segala ketetapan-Mu kepadaku, dan janganlah Engkau hilangkan petunjuk-Mu kepadaku Ya Allah, dan tetapkanlah aku di landasan yang benar.” Alhamdulillah, hati rasa lapang sangat selapang-lapangnya.
Benarlah janji-janji Allah, jika kamu bersyukur, Allah akan tambah nikmat kepada kamu (Surah Ibrahim, Ayat 7).
Saya kini bersyukur dengan sekecil-kecil perkara. Contohnya, bila bangun tidur, perkara pertama saya buat adalah berterima kasih kepada Allah kerana masih kurniakan nikmat kepada saya untuk bernafas, anggota badan masih boleh berfungsi untuk beribadah kepada-Nya, tengok jari pun masih boleh bergerak, terlalu banyak kalau hendak dihitung rezeki yang Allah bagi dekat saya sampai kadang-kadang tu saya rasa malu untuk meminta dalam doa saya.
Kisah relapsed lain pula.
Tadi Pakar Onkologi yang merawat saya juga telah share satu benda yang dalam fikiran saya mendatangkan rasa kagum sangat terhadap kekuasaan Allah. Dia baru saja berjumpa seorang pesakit kanser ovari pada tahun 2012 telah didiagnos mempunyai sel kanser yg baharu di tengkuk setelah menyedari ada biji-biji sebesar guli.
Dan bila buat biopsi, sel kanser itu asalnya (primary location) dari sel kanser di ovari! Dan semua ovari telah dibuang pada tahun 2012. Subhanallah, bagaimana sel kanser yang asalnya berada di bawah, tiba-tiba naik berada di bahagian atas badan? Sedangkan sel-sel kanser tersebut tidak ada pun di bahagian tengah (paru-paru).
Hebatnya kuasa Allah yang menciptakan manusia sedemikian rupa dan saya selalu pesan kepada diri sendiri, ingatlah jua yang sel-sel kanser juga adalah ciptaan Allah. Allah yang berkuasa terhadap segalanya. Allah jualah yang berkuasa mematikan dan menghidupkan sel-sel kanser tersebut. Allah bersifat Ya Muhyi dan Ya Mumit (Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan) dan Ya Hayyu Ya Qayyum (Yang Kekal Hidup dan Berdiri Sendiri).
Dan kebelakangan ini saya kerap berfikir mengenai doa-doa di dalam Quran, iaitu doa dari para nabi yang telah diuji dengan ujian yang maha hebat tetapi mereka tetap mempunyai tahap kepercayaan dan keimanan yang teguh kepada-Nya.
Sebagai contoh, doa Nabi Ayub ketika beliau sakit dan kehilangan segala-galanya (anak, saudara, harta kekayaan, kawan, kesihatan) namun beliau tidak meminta supaya Allah menyembuhkan penyakit tetapi beliau tetap memuji Allah dengan sakitnya.
Tiada sepatah pun yang menyebut Tuhanku, selamatkan aku! Doa-doa orang yang teguh keimanannya dan kepercayaan terhadap kuasa Allah semuanya merupakan puji-pujian terhadap Allah. Subhanallah.
Doakan semoga saya juga mempunyai keimanan seteguh itu. Saya catat di sini untuk peringatan kepada diri sendiri juga. Aamin ya rabbal’alamin.
Punya Pengaruh & Aura Tersendiri, 8 WANITA HIJABI Inspirasi Media Sosial Ini Patut Anda Follow!

Pengaruh wanita berhijab kini semakin mendapat tempat di dalam dan juga luar negara. Bukan hanya kerana keunikan penampilan yang diketengahkan, lapan personaliti hijab yang terkenal di peringkat antarabangsa ini juga memiliki keistimewaan dan kemahiran tersendiri.
1.Dina Torkia (@dinatokio)
Figura ini mula meletakkan hidupnya di Internet sekitar umur 21 atau 22 tahun. Sehingga diberi gelaran Miss World Muslim, dia adalah seorang blogger kecantikan Islam seperti Habiba Silva. Beliau memiliki kacukan darah Inggeris dan Mesir, dibesarkan di antara London dan Cardiff. Berkahwin dengan Sid Kaan. Penampilannya kaya dengan rona pastel, tekstur rumit dan siluet yang unik.
Mempunyai inspirasi gaya yang versatil, berani dan menyenangkan. Kini beliau berjaya sebagai seorang Stylist UK, pereka, YouTuber dan blogger fesyen. Dia adalah sebahagian daripada sekumpulan blogger Hijabi yang popular di dunia.
2.Dian Pelangi (@dianpelangi)
Dian Pelangi adalah pereka fesyen Indonesia, usahawan dan perintis fesyen hijab dengan mata yang luar biasa. Dia menggabungkan sulaman Indonesia yang menakjubkan dan teknik tradisional lain dengan aksesori luxe dan menyenangkan sehingga mampu memberi impak penampilan mewah. Dian Pelangi mempengaruhi demografi yang luas dengan gaya modennya terhadap pakaian Muslim. Salah satu sensasi gaya peribadinya yang asli, dia adalah ikon budaya pop dengan jenama fesyen sederhana yang berkembang dengan semangat, mainan warna, cetakan tebal dan gabungan siluet tradisional dan barat.
Kejayaannya adalah lambang gaya Islam yang lebih luas dan pergerakan pakaian berjenama Muslimah. Fesyennya sangat mendapat perhatian dan langkahnya sentiasa dinantikan di lantai pentas fesyen utama, khusus di Indonesia dan Malaysia. Pelangi sendiri telah mengadakan pameran fesyen di Britain, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, Dubai, Mesir, Kuwait dan Jordan dan semestinya di Minggu Fesyen Jakarta. Dia mempamerkan koleksi pertamanya pada usia 18 tahun. Dia adalah duta jenama untuk Wardah Beauty kosmetik. Pada tahun 2012 Pelangi menerbitkan buku sendiri, koleksi gaya jalanan wanita Islam yang telah memberi inspirasi kepada pereka dan usahawan dalam perjalanannya. Pelangi adalah nama jenama Dian Pelangi yang diasaskan pada tahun 1991 tahun kelahirannya.
3.Ruba Zai (@hijabhills)
Seorang blogger hijabi yang berpusat di Belanda. Dia memotret wajah kehangatan retro-cool dengan inspirasi gaya vintaj seperti sulaman mutiara atau rompi suede 70-an, manakala palet neutral dengan pop merah atau merah gincu menyimpan perkara-perkara yang moden menjadi pilihannya. Guru kecantikan YouTube yang dikenali ramai untuk saluran Hijabhillsnya.
Beliau meraih populariti dengan video yang dikongsinya, tip gaya pakaian dengan hijab. Beliau melonjak naik pada Januari 2013, apabila videonya “Tutorial Hijab untuk kaca mata dan hiasan aksesori rantai” menjadi perhatian ramai. Trivia Antara video paling popular beliau termasuklah “Tutorial Hijab & Mudah Hijab!” dan “Cepat dan Mudah Hijab Style!,” telah memperoleh jutaan penonton.
4.Amena (@amenaofficial)
Seorang blogger yang menetap di UK yang terkenal dengan tutorial tudung YouTubenya yang luas. Gaya moden dengan penampilan yang elegan, mainan warna berkesan hingga kepadan penampilan lebih glamor memakai bulu -bulu. Ikuti penampilannya untuk inspirasi bagaimana untuk meningkatkan penampilan yang menarik. Memiliki gaya hidup internasional dan guru kecantikan tutorial yang menyeronokkan dan mesra di saluran YouTube bertajuk dirinya sendiri adalah tuntutan dan perhatian yang selalu dinantikan.
Beliau mula menyertai YouTube pada 15 November 2006. Video pertamanya, yang juga paling popular, dipanggil “Cara memakai Headscarf (Tutorial Hijaab / Hijab): Air Terjun Pink | Amena.” Trivia Dia telah mendapat perhatian jenama kosmetik terkenal seperti Bobbi Brown, Clarins, Eyeko, Ardell, L’Oreal dan banyak lagi. Kehadirannya juga sentiasa dinantikan di setiap acara fesyen di seluruh dunia. Kehidupan keluarga, beliau dilahirkan di Leicester, England, UK. Suaminya Osaama pernah muncul dalam beberapa video beliau. Mereka mempunyai anak lelaki yang dilahirkan pada tahun 2009.
5.Dalal AlDoud (@dalalid)
Juga seorang blogger fesyen dan kecantikan mempersonakan yang berpusat di Kuwait, 1986. Dia menubuhkan blognya pada tahun 2012 dengan perkongsian tentang pakaian dan tip solekan. Dia tidak pernah fikir dia akan menjadi salah seorang blogger paling berpengaruh di Kuwait. Dalam masa yang singkat, pengaruhnya tersebar luas. Ia meliputi negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan dunia Arab. Matlamat yang paling penting Dalalid adalah untuk memperkasakan wanita.
Dia bercita-cita untuk memberi mereka keyakinan dan menggalakkan wanita hijab lain untuk menjadi stylo, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan gaya solekan menarik. Apabila dia memulakan blog mengenai pakaiannya, Dalalid menunjukkan pengikutnya bagaimana untuk suai padan yang menarik dan memberi impak kepada personaliti sebagai Muslimah moden. Dia juga berkongsi di mana untuk membeli dan di mana mereka boleh memperoleh busana yang luar biasa. Pastinya jika di lihat di Instagramnya, penampilan beliau sangat elegan dan matang, memberi cerminan terbaik buat wanita Muslimah moden dalam gaya anggun dan menawan. Penampilannya tidak mempunyai kekurangan detail luxe, digandingkan bersama dengan kelemen klasik dan dihiasi dengan mantel yang mampu menyerlahkan penampilan segar dan stylo.
6.Leena Asad (@withloveleena)
Seorang blogger gaya hidup dan fesyen Muslim Amerika / Palestin yang tinggal di Texas. Beliau seorang jururawat tetapi mencintai dunia fesyen dan gaya hidup sempurna. Gemar berkongsi inspirasi fesyen, tip kesihatan dan kecantikan, perjalanan duniawi dari kaca mata pengalaman hidupnya. Mempunyai matlamat yang tinggi dalam usaha memberi inspirasi kepada wanita lain untuk menjadi terbaik dan pada masa yang sama terbaik untuk dirinya juga. Penampilannya sentiasa menyentuh hati wanita lain dengan gaya yang sederhana, renda dan ruffles, jeans dan Booot Chelsea yang mewujudkan gaya penampilan menarik, klasik, segar dan tidak keterlaluan.
7.Saufeeya Goodson (@feeeeya)
Pada usia 22 tahun beliau telah mencipta nama sebagai blogger fesyen Dubai. Halaman fesyennya mendapat sambutan hangat dengan jutaan follower. Turut mendapat perhatian majalah internasional Vogue. Ramai yang meminati gayanya yang berani, menyeronokkan, warna- warni, moden, mewah dan kreatif. Bagi dirinya, memakai hijab tidak asing baginya, beliau membesar melihat wanita memakainya dan itu adalah normal. Namun, setelah mempelajari pengetahuan Islam yang lebih mendalam, hijab kini mempunyai makna yang lebih bermakna dalam hidupnya kerana dia memahami tujuan dipakainya, hanya untuk Pencipta.
Kehadirannya kini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada wanita lain dengan ekspresi kreatif, imej dan berfikiran secara terbuka, sama ada untuk wanita Islam dan bukan Islam. Buat mereka yang bergelut dengan hijab, beliau menasihatkan, “Memahami maksud dan alasan di belakang hijab. Dalami pengetahuan dan tahu bahawa tudung itu bukan hanya pakaian utama, ia berjalan lebih jauh dan melampaui semua itu. Hijab adalah cara anda bertindak, cara anda bercakap, cara anda membawa diri dan banyak lagi! ”
8.Ibtihaj Muhammad (@ibtihajmuhammad)
Terkenal kerana menjadi wanita Muslim Amerika yang pertama memakai hijab ketika bersaing dan mendapat pingat untuk Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik. Malah beliau merupakan barbie pertama yang memakai hijab, ini memberi peluang untuk memecah sempadan tentang pemakaian hijab dan beliau sangat teruja kerana anak-anak kecil nanti boleh bermain dengan patung berhijab. Beliau juga terpilih di antara Orang Yang Paling Berpengaruh di Dunia” majalah Time pada 2016.
Ibtihaj mempunyai jenama fesyennya sendiri. Dilancarkan pada 2014, Louella by Ibtihaj Muhammad menjual pakaian sederhana pada harga yang berpatutan. Beliau memulakan syarikat itu apabila dia mengalami kesulitan mencari pakaian untuk menghadiri jemputan majlis dan adiknya mencadangkan dia untuk membuat sendiri. Hari ini, dia mengendalikan syarikat itu dengan lima adik-beradiknya. KR