Seorang anak yang merayakan kemenangan dan momen bahagianya dengan sang ibu, begitu pantas menyorot perhatian peminat Piala Dunia Qatar 2022. Antara yang membuat masyarakat terharu adalah ketika dua pemain bola sepak Morocco, Sofiane Boufal dan Achraf Hakimi yang berlari untuk mengucup ibu masing-masing selepas memenangi perlawanan.
Mintalah doa ibu. Doa ibu itu mampu menembus bumi dan langit. Barangkali inilah rahsia kemenangan pasukan Morocco atau Maghribi mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama berjaya melayakkan diri ke peringkat semi final Piala Dunia Qatar 2022 sekaligus menundukkan gergasi bola sepak Portugal yang turut dibarisi pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo.
Turut dikenali sebagai The Atlas Lion, pasukan bola sepak Morocco pastinya akan dikenang lebih dari sekadar prestasi cemerlang, malah cerita selepas kemenangan yang mereka sajikan.
RAHSIA KEMENANGAN
Dalam setiap kemenangan yang dicatat, Morocco menyajikan cerita yang indah. Antara yang diperkatakan adalah ketika para pemain melakukan sujud syukur selepas perlawanan berakhir dengan kejayaan.
Malah sebagai cara menaikkan semangat pemain, Morocco turut mengundang ahli keluarga untuk bersama memberi sokongan kepada mereka. Ada yang membawa ibu bapa, isteri dan anak-anak untuk tinggal di hotel yang sama serta hadir ke setiap perlawanan di stadium.
Paling sukar dilupakan, aksi pemain Sofiane Boufal, 29 tahun, yang merayakan kemenangan mereka ke atas Portugal dan mara ke peringkat semi final dengan menari bersama ibu tersayang. Aksi itu dirakamkan di tepi padang apabila ahli keluarga dibenarkan turun berjumpa pemain selepas perlawanan.
“Emosi kami sebagai pemain sentiasa turun naik. Tapi sokongan keluarga yang menguatkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik.” Boufal
Begitu juga aksi pemain Achraf Hakimi, 24 tahun, yang berlari ke tempat duduk penonton yang menempatkan ibunya. Tanpa mempedulikan sesiapa pun, tubuh ibu didakap dan wajah wanita kesayangan itu dikucup berkali-kali sebagai tanda sayang.
Ibu Achraf Hakimi pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan bapanya seorang penjual jalanan berusaha keras bagi memastikan anak-anak mereka mampu memiliki kehidupan senang.
“Hari ini saya berjuang setiap hari untuk mereka. Mereka telah banyak berkorban untuk melihat saya berjaya.” Achraf Hakimi
Momen indah ini sempat dirakam media sebagai tatapan dunia. Sesungguhnya dalam sukan bola sepak, sokongan serta pengorbanan ibu bapa sejak mereka kecil hingga bergelar pemain profesional adalah rahsia melahirkan atlet hebat dan mengharumkan nama negara.
Syabas Morocco kerana melahirkan ramai pemain bola sepak muda bertaraf dunia dan menjadi kebanggaan negara!
This website uses cookies.