Benarlah kata orang, setiap kejayaan anak-anak bermula dari doa dan restu seorang insan bergelar ibu dan bapa. Memang tidak dapat dinafikan kuasa doa dari sang ibu mahupun bapa menjadi azimat yang penting untuk kejayaan anak-anak. Malah, kejayaan anak-anak bukan sahaja diukur dari kejayaan mengenggam segulung ijazah, malah ia lebih dari itu.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Hantu Atau Buaya tidak menyesal meninggalkan bidang nyanyian buat sementara waktu untuk memberi perhatian penuh terhadap pengajiannya di Universiti Teknologi MARA atau UiTM. Nur Nabilah Hashimi atau lebih dikenali Nana Sheme membuktikan pilihannya untuk bergelar penyanyi tetapi tidak mengabaikan pelajaran adalah hadiah terbaik yang dapat diberikan buat ibu tersayang, Nur Aisyah Abdullah
Setelah bertungkus lumus selama empat tahun sebagai pelajar, Nana boleh berbangga menghadiahkan segulung ijazah buat ibu tersayang. Lebih manis lagi apabila dia berjaya menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-90 di Universiti Teknologi MARA baru-baru ini.
Nana melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih di atas penghormatan yang diberikan untuknya. Sebagai seorang pelajar yang mengutamakan pengajian dari bidang nyanyian sepanjang tempoh pengajiannya memberitahu penat lelah dan usaha yang diusahakan selama ini berbaloi bukan sahaja untuk dirinya, malah ia lebih kepada menunaikan janji buat ibu tersayang.
“Alhamdulillah. Andainya dengan tawfiq Allah saya memiliki sekelumit kejayaan, maka kredit tersebut haruslah diberikan untuk ibu tersayang. Dia adalah rahsia dan kunci segalanya. Saya tidak pernah khuatir dengan sebarang ujian dan dugaan hidup andainya saya mempunyai doa wanita ini, Saya bersyukur kerana pengorbanan saya meninggalkan bidang seni buat seketika ketika nama saya mula dikenali berbaloi.
Nana menganggap faktor utama kejayaannya itu banyak bergantung kepada restu dan sokongan daripada ibunya yang tidak henti-henti memberi semangat serta berdoa untuknya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang pelajaran.
Katanya, tanpa doa, restu dan sokongan ibu, dia mungkin tidak akan berjaya sehingga kini dan berjanji akan terus membahagiakannya sehingga akhir hayat wanita itu.
“Banyak pengajaran saya dapat selepas mendengar nasihat ibu. Memang betul orang kata kalau kita mendapat restu ibu dalam apa jua yang dilakukan, banyak ganjaran yang Allah beri hinggakan saya doa minta satu, tapi saya dapat 10 rezeki.”
Ya, wanita yang menjadi rahsia kejayaan ini ialah insan teristimewa bergelar ibu yang telah berkorban segalanya melalui pelbagai keperitan hidup demi kebahagiaan anak-anaknya. Walaupun pelbagai “luka” dan air mata yang telah beliau titiskan apabila terpaksa berjauhan ketika melanjutkan pelajaran, namun wanita yang dipanggil sebagai “ibu” ini tidak pernah berputus asa mengirimkan doa dan bimbingan.
“Memang pada mulanya agak sayang untuk mengambil keputusan berehat seketika dari bidang nyanyian untuk menumpukan perhatian dalam pelajaran, tetapi saya berpegang pada janji terhadap ibu untuk berjaya dalam bidang akademik. Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya. Sebagai anak sulung juga, saya perlu buktikan kepada adik-beradik tentang kepentingan akademik. Saya perlu menjadi contoh yang terbaik buat adik-adik,” jelas Nanaa yang percaya doa ibu adalah kuasa doa mustajab untuk dirinya.
“Sepanjang pengajian di kampus utama, saya terpaksa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Sarawak. Jadi, saya bulatkan tekad untuk belajar berdikari dan jadikan kata-kata semangat ibu sebagai motivasi untuk berjaya. Walaupun berjauhan, namun ibu sentiasa berkorban untuk anak-anak. Bila ada masa terluang, dia sanggup terbang ke Kuala Lumpur dan berjumpa saya,” ujar anak sulung dari lima bersaudara ini.
Selepas menamatkan pengajian, Nana bakal memberi tumpuan sepenuh masa dalam bidang nyanyian dan tidak menolak jika diberi peluang dan rezeki untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“ Jika dahulu keluarga hanya membenarkan saya menyanyi sekadar hobi sahaja, tetapi kini mereka sudah memberi lampu hijau untuk saya meneruskan karier dalam bidang nyanyian. Sebagai artis yang baharu , saya perlu bekerja lebih keras untuk menempatkan nama dalam industri hiburan. Nanaa kini bernaung di bawah pengurusan Xeno Asia.
Nana juga bakal melancarkan lagu single terbaru dalam masa terdekat dan akan terus membina kerjaya dalam bidang nyanyian. Ini merupakan minat Nana dan akan meneruskan cita-cita dalam bidang nyanyian pula,” ujar Nana yang memuji keperibadian ibunya sepanjang sesi fotografi dijalankan.
This website uses cookies.