Pada Julai 2022, pelakon jelita Nelydia Senrose dan suaminya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid telah menunaikan ibadah haji.
Tahun ini Nelydia memanjatkan kesyukuran apabila ibu tercintanya, Rosmizai Mohd Noor berpeluang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Nelydia atau nama penuhnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen berkongsi berita gembira itu dalam satu hantaran di Instastory.
Menerusi video tersebut, Nelydia bersama beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk Uqasha Senrose dilihat turut sama-sama menghantar ibunya ke lapangan terbang.
Malah, pelakon berusia 29 tahun ini kelihatan sebak serta tidak dapat menahan air mata saat menadah tangan ketika doa dibaca.
“Alhamdulillah telah Kau kabulkan salah satu impianku dan doa-doa kami ketika di Arafah tahun lalu di mana kami berhajat untuk ibu menjadi tetamu Allah pula bagi menunaikan haji,” tulis Nelydia dalam Instastory.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana doa dan usahanya itu diizinkan Allah SWT. Dia juga berdoa agar ibadah ibunya itu diterima olehNya.
Semoga dimudahkan segala urusan ibu Nelydia dan dikurniakan haji yang mabrur.
This website uses cookies.