First hand smoker adalah perokok itu sendiri. Asap yang disedut akan masuk ke dalam paru-paru sendiri. Second hand smoker pula adalah individu yang tersedut asap daripada perokok yang berada berdekatan dengan dia. Third hand smoker, individu yang mendapat atau terhidu bekas asap rokok yang melekat di kawasan persekitarannya seperti di baju, sofa, langsir, tuala dan sebagainya.
Tahukah anda, asap rokok akan ‘tinggal’ di dalam peparu seseorang berjam-jam lamanya. Sama juga situasinya apabila asap tersebut melekat di sofa, peralatan rumah dan pakaian yang disarung si perokok tadi. Meskipun sudah mandi, asap rokok masih belum hilang sepenuhnya.
Pendek kata, seperti yang diterangkan Dr Erna Nadia, asap rokok tidak akan terus terhapus semudah itu selepas ia dihembus ke udara. “Asap rokok adalah toksik yang membahayakan bukan saja pada perokok tetapi pada yang terhidu tanpa rela. Ia bersifat karsinogenik.”
Siapakah yang paling terdedah kepada third hand smoker?
- Anak-anak
- Isteri
- Ibu dan ayah
- Individu yang tinggal serumah dengan perokok
Anggapan: Saya tak merokok dalam rumah atau depan anak-anak jadi tak jejaskan pun kesihatan keluarga.
Hakikat: Asap yang dihisap dan dihembus sebenarnya akan melekat dalam mulut, rongga penafasan, peparu, baju, rambut dan seumpamanya. Bila balik rumah, pegang dan cium anak, secara tak langsung si perokok membawa kesan asap rokok ke dalam persekitaran rumah.
Akhirnya, ahli keluarga menjadi mangsa dan ditimpa penyakit akibat sikap sambil lewa perokok.
Apakah kesan akibat daripada terhidu asap rokok?
1. Kanser ( paru-paru, tekak &mulut)
2. Ulser dalam perut
3. Jangkitan telinga pada kanak-kanak
4. Katarak
5. Masalah jantung
6. Masalah usus
7. Angin ahmar
8. Masalah paru paru
9. Kerosakan hati
(Sumber: Facebook Erna Nadia)
Kes membabitkan asap rokok
Oktober lalu, tular kisah seorang bayi berusia sembilan bulan iaitu Nur Raisha Aufa Mohd Najib di Batu Pahat, Johor yang terpaksa dimasukkan ke ICU selama dua minggu akibat menderita sakit paru-paru. Bayi perempuan itu dilaporkan dalam keadaan kritikal sewaktu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) kerana dikesan sukar bernafas dan diserang demam panas dan selesema.
Namun, selepas menjalani ujian termasuk analisis darah si kecil Raisha, pakar mendapati punca kepada kerosakan peparunya lemah dan terkena jangkitan kuman disebabkan asap rokok. Kesan daripada insiden itu, doktor mengarahkan agar Raisha tidak dibawa keluar rumah dan tempat tumpuan ramai sehingga usianya mencecah empat tahun.
(Sumber: BERITA HARIAN)
Keputusan di tangan anda sama ada ingin melihat keluarga hidup dalam keadaan sihat atau sebaliknya. Jika lihat ada di kalangan perokok yang mengabaikan kewujudan anda dan anak kecil ketika berada di tempat orang ramai, segeralah menjauhi individu terbabit demi kesihatan anda!