Daripada seorang doktor gigi berjaya, Dr Irma Shida Abu Samah membuktikan diversiti dalam dirinya apabila turut bergelar usahawan, komposer dan penulis lirik. Memulakan perniagaan dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit, Dr Irma mencabar potensi diri dengan melangkah ke dunia hiburan dengan menubuhkan label muzik di bawah jenama Dr IRMA. Keyakinan yang dimiliki oleh wanita berusia 38 tahun ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Dr Irma membuktikan bahawa cantik dan daya intelektual serta keinginan untuk mengecapi kejayaan boleh datang seiring. Malah, dirinya amat bertuah dikurniakan bakat bukan sahaja sebagai seorang doktor gigi, malah turut berbakat sebagai usahawan, komposer dan penulis lirik. Tidak hairanlah, Dr Irma boleh berbangga dengan kewujudan Klinik Pergigian Irma Ariandi, Dr Irma Entertainment dan Dr Irma Skincare miliknya.Menurut Dr Irma wanita masa kini lebih berani dan lebih tabah menghadapi cabaran baik dari segi profession mahupun emosi. Malah, wanita kini lebih matang dalam berbicara dan meluahkan buah fikiran.
“Saya bangga dengan peranan yang dimainkan oleh wanita masa kini kerana membuat pilihan untuk tidak berdiri di belakang sebagai pengikut, tetapi wanita moden lebih tekad menjadi nadi penggerak dan lebih gagah sebagai pemimpin sesebuah perniagaan sama hebat malah kadangkala lebih hebat berbanding lelaki.”
Sentiasa meletakkan cita-cita untuk mencapai impian dan berjaya sebagai motto untuk motivasi diri, Dr Irma sentiasa mengingatkan dirinya bahawa tanpa cita-cita, seseorang individu akan mudah lalai dan hanya hidup dalam angan-angan semata-mata.
Menyingkap latar belakang, ibu kepada dua cahayamata ini sememangnya amat komited dalam perancangan masa hadapan. Sebaik menamatkan pengajian di UKM pada 2004, penerima Anugerah Perpustakaan UKM dan Anugerah Pelajar Cemerlang UKM selama dua tahun berturut-turut ini memulakan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kelantan sebelum membuka klinik pergigian sendiri pada tahun 2007. Berkat usaha dan kesungguhan untuk berjaya, beliau pernah dicalonkan bagi Anugerah Usahawan MARA peringkat Kebangsaan kategori Anugerah Usahawan Berjaya pada tahun 2017. Manakala pada tahun 2008, beliau di anugerahkan Anugerah Usahawan MARA Negeri Johor kategori Usahawan Muda Berjaya. Dr. Irma membuktikan beliau menerima ramai pelanggan dari Malaysia termasuk Indonesia dan Singapura.
Dalam meniti kejayaan, Dr Irma tidak pernah terlepas dari berhadapan masalah dalam menguruskan legasi perniagannya.
“Tidak dinafikan saya juga pernah berhadapan dengan cabaran sepanjang perjalanan membina perniagaan. Saya terpaksa akur dengan kegagalan dalam perniagaan akibat salah percaturan sehingga menyebabkan saya menutup operasi dan menanggung hutang sendiri sehingga selesai. Tapi saya akur, jatuh bangun adalah adat berniaga dan sebagai usahawan, kita tidak boleh cepat berputus asa dan mengalah. Sejak kegagalan tersebut, saya bertambah matang dalam melalui liku-liku bidang perniagaan dan harus ligat berfikir mencari jalan untuk segera bangun kembali dan bangun lebih tinggi dari sebelumnya. Saya belajar dari kesilapan yang dilakukan dan menjadikan kesilapan itu guru supaya saya serik dan tidak ulangi langkah yang sama. Kegagalan menjadikan saya lebih matang dalam menerima kekurangan diri serta lebih matang dalam mencatur keputusan,” ujar wanita yang mempunyai personaliti yang kental, gigih dan tidak mudah mengalah ini.
Selain bertindak sebagai doktor gigi, Dr Irma yang memang petah dan bijak berkata-kata boleh berbangga dengan penubuhan Dr. Irma Entertainment, satu label muzik yang telah berdaftar sepenuhnya di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2017, Dr. Irma Entertainment mempunyai 6 orang artis di bawah naungannya. Pada masa yang sama, ia turut menerbitkan lagu untuk artis terkenal seperti Ferhad dan Azharina Azhar.
“Berbeza dengan label lain, Dr Irma Entertainment mencari bakat baharu dengan mengadakan pertandingan nyanyian secara besar-besaran di atas talian dan juga berkolaborasi dengan Radio RTM JohorFm untuk konsert akhir pertandingan yang dinamakan SUARA JUARA. Saya juga turut mengasah bakat sebagai komposer dan penulis lirik yang berdaftar di bawah MACP. Alhamdulillah setakat ini label telah menerbitkan hampir 20 buah lagu,” ujar Dr Irma yang ternyata boleh berbangga dengan perkembangan dan kedudukan label Dr. Irma Entertainment dalam usia setahun jagung bergiat mencipta nama di persada seni tanahair.
Selain itu, Dr. Irma Skincare yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah syarikat Irma Ariandi Global Sdn Bhd telah menghasilkan lebih daripada 20 produk di bawah jenama DR. IRMA.
“Produk Dr Irma Skincare telah mendapat kelulusan KKM dan juga HALAL dari Jakim. Syarikat juga berdaftar dengan MATRADE untuk menjengah pasaran luar negara. Insyallah kami akan menembusi pasaran indonesia tidak lama lagi dan diharap ia akan mengukuhkan lagi jenama Dr Irma di dalam dan luar negara,” ujar Dr Irma optimis dan penuh harapan.
This website uses cookies.