Doktor Veterinar Jadi Usahawan & Penulis Buku, DR ARIFAH Mahu Jadi Huffaz Profesional Berjaya Dunia Akhirat!

Walau mempunyai kelulusan dalam bidang veterinar namun Dr Arifah Mohd Zain seorang wanita berjiwa seni dan kreatif. Tidak sekadar mampu merawat haiwan, dia juga berkebolehan menulis buku, menggubah lagu, mahir bidang fotografi dan berniaga. Memang serba boleh orangnya!

Difahamkan Dr Arifah yang dilahirkan pada 6 Januari 1992 di Kuala Terengganu makin rancak menyiapkan projek sulungnya bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). “Buat masa sekarang kami di peringkat pre-production untuk filem pendek Royal Vet Detective. Kami masih perlukan kira-kira tiga bulan lagi untuk siapkan projek ini dan dijangka ditayangkan dalam tahun ini atau tahun depan.”

Biarpun sibuk dengan rutin seni namun minat terhadap dunia veterinar dan perniagaan tetap tidak dilupakan. Sebagai pemilik Q Vet International, Dr Arifah kini dalam perancangan untuk mencari rakan niaga bagi melebarkan empayar bisnes miliknya di samping dalam usaha memohon dana dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membuka pet hotel.

Menelusuri perjalanan awal Dr Arifah sebagai doktor haiwan yang juga usahawan, anak bongsu daripada tiga beradik ini lantas membuka bicara. “Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang tamat pengajian selama 7 tahun dan berasal dari Kuala Terengganu.

Ibu saya bertugas sebagai jururawat, dan ayah pula berkhidmat sebagai guru sekolah menengah. Kedua-duanya sudah pun bersara. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Seri Budiman 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman.

Sebelum ini saya pernah mengikuti program Asasi Engineering di Centre of Foundation UIAM Petaling Jaya dan selepas tiga semester di UIA PJ, saya tukar ke program persediaan Asasi Keusahawanan Sains UMK di Kolej Mara Kulim, kemudian sambung belajar di Fakulti Perubatan Veterinar, UMK dalam Sarjana Muda Kedoktoran Perubatan Veterinar (DVM) pada tahun 2016 dan tamat pengajian 2019.

Mula terdetik berniaga ini masa saya tolong jaga kedai runcit milik keluarga pengasuh suatu ketika dulu. Walau ibu bapa tak ada latar belakang perniagaan tapi sejak kecil saya dah mula minat berniaga sampai sanggup ambil tempahan kerepek 50 sen daripada kawan-kawan di sekolah.

Saya menjadikan Baginda Rasulullah SAW dan Siti Khadijah sebagai sumber inspirasi dalam perniagaan. Selain itu, saya juga tertarik dengan cara pemasaran usahawan terulung dunia, Elon Musk, Irfan Khairi dan Tony Robbins.”

Ditanya bagaimana boleh mendalami bidang veterinar, doktor berusia 29 tahun ini lantas berkongsi kisah. “Sebab utama saya pilih belajar bidang veterinar dan mengusahakan perniagaan berasaskan bidang tersebut juga adalah sebab minat yang mendalam terhadap haiwan.

Lagi-lagi masa kecil, saya pernah mempunyai kucing peliharaan sendiri dari jenis baka Maine Coon. Malangnya kucing kesayangan saya mati kerana dilanggar kereta ayah sendiri masa pulang dari kampung.

Produk pertama yang dijual ialah naskhah buku V For Veterinar. Buku ini saya tulis bersama team veterinar lain dan alhamdulillah berjaya dapat royalti hasil jualan. Selain jual buku, servis yang ditawarkan Q Vet International PLT ialah Vet Angels Store iaitu produk-produk veterinar, lukisan, servis grooming dan hotel untuk haiwan.

TV Vet Angels pula berkaitan saluran untuk pendidikan dan kelas personal coaching. Q Vet Production & Studio pula tawar servis untuk fotografi, videografi, produksi filem dan gubahan lagu. Pendek kata, bisnes Q Vet International ialah business retails yang turut ada servis multimedia seperti fotografi, video dan suntingan.

Q Vet ini bukan klinik veterinar, ia adalah kiosk yang menjual produk veterinar seperti buku, servis grooming, makanan haiwan dan sebagainya. Saya selalu buka booth ini di pusat-pusat beli belah tapi sebab situasi pandemik ketika ini terpaksa beralih kepada perniagaan secara online.”

Sedar realiti dan susah senang untuk mempunyai klinik veterinar sendiri, Dr Arifah bagaimana pun terpaksa akur untuk tidak terburu-buru membuka klinik sendiri sebaliknya perlu lebih mendalami selok-belok bidang tersebut terlebih dahulu.

“Memandangkan saya baru habis belajar dan banyak yang perlu dipelajari, saya belum mampu buka klinik veterinar sendiri dan perlu cari pengalaman kerja di klinik veterinar milik orang lain. Malah ibu ayah pun minta saya cari pengalaman kerja dengan orang dulu.

Bila dah ada pengalaman, baru fikir langkah seterusnya. Sebelum ini saya bekerja sambil buat bisnes ni tapi sekarang mahu fokus berniaga balik.

Selain pasang impian untuk ada klinik veterinar, saya juga simpan hasrat untuk tubuhkan akademi modelling bercirikan islamik. Semuanya selepas saya berjaya mendapat gelaran Miss Unique Kejora 2020 dalam satu pertandingan ratu cantik tidak lama dulu.

Alhamdulillah sepanjang melibatkan diri dalam keusahawanan bidang veterinar, saya bersyukur terima bonus passive income dan royalti hasil jualan penulisan buku yang saya serta kawan-kawan terbitkan.”

Tertarik dengan ‘keistimewaan’ hasil penulisan buku tersebut, Dr Arifah berkata dia sedang dalam proses menghasilkan satu lagi projek penulisan. Sambil mengakui ingin menjadi penulis berbakat seperti penulis filem JK Rowling.

“Bercerita tentang impian 10 tahun akan datang, saya ingin menjadi seorang huffaz profesional yang berjaya di dunia dan akhirat, menjadi pengarah filem berjaya dan mewakili Malaysia ke Oscar, mencapai DTM (Distinguished Toastmasters) dan jadi motivational coach macam Tony Robbins.

Kalau nak sebut satu-satu memang banyak yang dirancang. Yang pasti, untuk kemajuan bidang veterinar, saya berhasrat menghasilkan produk inovatif yang berasaskan nanotechnology in veterinary medicine kelak. Selain diizinkan untuk menubuhkan akademi peragaan islamik dan melahirkan generasi huffaz profesional yang unik.”

Semoga usaha murni dan impian Dr Arifah dapat dicapai dengan jaya!

Share
Published by
Suzi