
Sesekali membelek resipi untuk dihidangkan bersama keluarga pun best juga. Sewaktu PKP Mac lalu, memang semua orang rajin ke dapur. Bila dah mula bekerja, masing-masing tak berkesempatan nak menjengah dapur dengan kerap.
Apakata kali ini kita luang masa sikit untuk hidangkan minum petang istimewa kerana bahan yang digunakan sangat ringkas dan tidak peningkan kepala. Paling penting, tak perlu rehatkan lama-lama. Uli dan goreng!
Bahan-bahan diperlukan adalah:
2 sudu besar yis
2 sudu besar susu pekat
¾ cawan air suam
1 sudu teh garam
Kesemua bahan ini diadun sebati dan ketepikan. Sediakan pula bahan-bahan seterusnya seperti:
2 sudu marjerin
2 cawan tepung gandum
Gaulkan kedua-dua bahan ini menggunakan tangan sehingga sebati. Setelah selesai, gabungkan kesemua bahan dan pastikan doh tidak melekat di tangan. Kemudian, uli menjadi doh bulat.
Bulatkan doh mengikut saiz yang diingin dan lubangkan di bahagian tengah doh. Sambil itu, boleh panaskan minyak dan goreng donut yang sudah di uli tadi. Selesai menggoreng, angkat dan toskan minyak. Bolehlah ditaburkan gula atau apa sahaja bentuk manisan yang diingini.
Senang sahaja untuk hasilkan menu minum petang untuk keluarga. Hanya perlukan sedikit effort dan ilmu. Tetapi anda juga boleh memilih untuk membeli donut yang kini telah banyak dijual dipasaran.
Big Apple Donuts & Coffee misalnya melancarkan donut berperisa baru serta donut yang dinaiktarafkan rasanya. Dalam keterujaan pelancaran ini, Big Apple Donuts & Coffee sangat berbesar hati untuk menawarkan kad keahlian VIP kepada seorang pemenang bertuah di mana mereka akan mendapat donut percuma sepanjang tahun!
Lontong Rendang Goreng POPULARKAN PINGGAN PUTIH. Hidangan Must Try!

Setiap kali melalui kawasan kejiranan di seksyen 7 Shah Alam, Selangor, mata pasti tidak melepaskan peluang meleret ke arah sebuah kedai di sepanjang deretan premis perniagaan popular di kawasan tersebut. Dari bahagian luar kafe, sudah menyampaikan maksud yang tertera di ruang nama kedai iaitu Pinggan Putih. Mana tidaknya, dari bahagian luar premis, rona putih melatari segenap ruang di samping terdapat satu sudut untuk para pengunjung duduk bersantai menikmati hidangan turut mencuri tumpuan.
Melangkah masuk ke dalam Kafe Pinggan Putih, kelihatan hampir kesemua ruang makan dipenuhi oleh para pelanggan yang mencuba pelbagai menu yang disediakan di sini. Pada mulanya penulis menyangkakan kafe ini tidak banyak bezanya dengan kebanyakan kafe yang terdapat di sekitar Shah Alam kerana menyajikan hidangan ‘perkahwinan’ timur dan barat atau fusion.
Namun telahan penulis jauh tersasar. Sebaik sahaja dihulurkan menu, penulis tersenyum kerana tanggapan penulis tidak tepat sama sekali. Melihat deretan nama menu yang terdapat di Pinggan Putih, penulis tersenyum sambil fikiran jauh menerawang bagaimanakah rupa hidangan tersebut bakal dipersembahkan kepada para pelanggan.
Antara nama menu yang benar-benar menarik perhatian penulis termasuklah Nasi Kenduri, Lontong Labu Labi, Air Jus Rambutan dan sebagainya. Selain menyediakan hidangan untuk individu, penulis juga tertarik dengan persembahan menu dalam bentuk pinggan bujang untuk set hidangan individu, Pinggan Utama sebagai main dishes dan pinggan panjang mewakili hidangan berasaskan mee. Unik bukan!
Penulis berkesempatan mencuba menu must have di Pinggan Putih iaitu Lontong Rendang Goreng. Tidak dinafikan keenakan Lontong Rendang Goreng ini menjadi pilihan kebanyakan pengunjung kerana keenakan kuahnya yang pekat dan memenuhi citarasa atau tekak Melayu. Selain mencuba hidangan Lontong Rendang Goreng, penulis turut mencuba set Nasi kenduri di mana ia didatangkan di dalam dulang yang menyajikan hidangan berupa nasi putih bersama telur masin, ayam masak merah, keropok dan rendang daging.
Penulis amat tertarik dengan gaya persembahan makanan yang menggunakan dulang yang mana ia mengembalikan nostalgia serta zaman kegemilangan dulang yang banyak digunakan di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu terutamanya dalam hal ehwal kenduri kendara serta mengajar anak-anak untuk berkongsi makanan di dalam dulang.
Ketika ditanya mengapakah hidangan ini diberi nama Nasi Kenduri, penulis dapat mengagak ia dinamakan Nasi Kenduri memandangkan lauk pauk yang terdapat di dalam set hidangan ini sering menjadi pilihan di majlis kenduri-kendara masyarakat Melayu.
Kafe Pinggan Putih yang membuka perniagaan secara rasmi sekitar Februari 2018 yang lalu mengetengahkan konsep hidangan Malaysia dalam gaya klasik kontemporari yang menarik dan memberi nilai tambah terhadap setiap hidangan. Antara hidangan yang turut disajikan di Pinggan Putih termasuklah Lontong, Asam Pedas dan beberapa hidangan pencuci mulut seperti Sagu Gula Melaka, gelato dan aneka kek.
Lebih istimewa, gelato atau ais krim yang dijual di sini juga masih mengekalkan citarasa Melayu iaitu gelato berperisa unik seperti cempedak, cendol, apam balik dan coklat. Malah, jika anda memesan teh tarik, ia disediakan di dalam kole enamel yang sering digunakan oleh masyarakat dahulu. Jika mahukan kelainan, anda boleh mencuba minuman Teh Tarik Gelato atau Teh Vanilla Ice.
Menyentuh mengenai harga setiap hidangan yang ditawarkan, ianya sememangnya amat berpatutan memandangkan ia terletak di kawasan kejiranan majoriti masyarakat Melayu di samping pelajar yang gemar menikmati hidangan di sini. Tidak hairanlah mengapa Pinggan Putih sering menjadi pilihan memandangkan ia menawarkan hidangan masakan Melayu untuk hidangan tengahari dan makan malam. Ia juga amat sesuai untuk dinikmati seisi keluarga di samping mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak dengan persembahan hidangan yang menggunakan dulang dan kole.
Mengekalkan gaya dekorasi minimalis yang ringkas dan selesa, Pinggan Putih boleh memuatkan sehingga 60 tetamu untuk menikmati hidangan makan tengahari ataupun makan malam. Bagi memastikan hidangan sentiasa berada pada tahap terbaik, Pinggan Putih mempunyai sebuah central kitchen yang bertindak menyediakan hidangan serta mengawal selia setiap hidangan yang bakal disajikan kepada para pelanggan.
Jika anda teringat keenakan hidangan tradisi Melayu seperti dihidangkan di rumah, tidak salah mencuba hidangan yang disediakan di Pinggan Putih yang pastinya memenuhi citarasa dan selera masyarakat Melayu!
Selain Aroma Semerbak, Ini Antara Sebab Makanan India Mesti Bubuh Daun Kari

Kari Kepala Ikan, Kuah Kacang Dal dan Masala Vadai kini bukan lagi hidangan asing buat masyarakat Malaysia. Bahkan bila sebut saja menu India, ramai yang terkenang rasa rempah-ratus yang pelbagai dan aromanya yang memikat.
Salah satu ‘rahsia’ besar yang digunakan untuk mendapatkan wangian dalam sajian India ialah dengan meletakkan daun kari. Sama ada dimasak bersama kuah atau digoreng begitu saja sebelum ditaburkan ke atas hidangan, ia adalah pelengkap masakan India.
Selain menerbitkan aroma semerbak, daun kari juga sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat untuk tubuh. Antaranya melancarkan pencernaan, melegakan keletihan dan mengawal kadar gula dalam darah sekali gus mengatasi penyakit diabetes.
Jadi, kepada anda yang mahu mendapatkan kembali tenaga yang hilang atau mengalami masalah pencernaan, malam ini mungkin boleh hidangkan dua menu India berikut untuk keluarga tersayang.
Kambing Varural
Bahan-bahan perapan:
500 gram daging kambing (dipotong kecil)
1 sudu besar serbuk kunyit diperap lebih kurang 15 minit
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Bahan-bahan utama:
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang besar (dimayang)
1 inci halia (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar cili giling
4 tangkai daun kari
Rempah 4 sekawan
Sedikit kicap manis
Garam
Gula
Air
Cara membuat:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk, daun kari, rempah 4 sekawan dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili giling dan serbuk kari daging. Kacau dan biarkan sedikit garing. Masukkan pula daging kambing. Tambah sedikit air dan masak hingga mendidih. Seterusnya, masukkan kicap manis, garam dan gula. Sesuaikan rasa ikut selera. Masak dengan api sederhana hingga mendapat kepekatan yang diinginkan.
Ayam Peratal
Bahan-bahan untuk ayam:
1 ekor ayam (dipotong saiz sederhana)
4 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar campurkan semua bahan & perap 20 minit
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk garam masala
1 sudu besar garam
Bahan-bahan lain:
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 biji bunga lawang
2 sudu kecil jintan manis
½ sudu kecil biji halba
3 biji bawang merah (dihiris)
3 biji tomato (dipotong dadu)
3 tangkai cili hijau (dihiris)
3 tangkai daun kari
2 sudu besar daun ketumbar (dicencang)
2 biji kentang (dipotong kiub)
1 cawan air
6 sudu besar minyak sapi
Garam
Cara membuat:
Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, jintan manis dan biji halba sehingga naik bau. Masukkan bawang merah bersama cili hijau dan daun kari. Tumis selama tiga minit. Kemudian, masukkan pula kentang dan ayam yang telah diperap. Masak atas api perlahan selama 10 hingga 15 minit dengan periuk bertutup. Sesekali kacau perlahan-lahan dan biarkan mendidih. Masak selama 10 minit sehingga kuah pekat. Seterusnya, masukkan tomato. Gaul dan biarkan mereneh. Akhir sekali, tabur daun ketumbar dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya. Sedia untuk dihidang. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI
6 Menu Tradisi Ini Sering Jadi Pilihan Untuk Berbuka. Kecur AIR LIUR Di Buatnya!

Setiap kali kedatangan Ramadan, selera kampung mula menjadi pilihan. Mana tidaknya, hidangan tradisi ini sememangnya enak untuk dinikmati ketika berbuka bersahur mahupun berbuka puasa. Tidak sukar menyediakan menu tradisi jika kena gayanya. Keenakannya pasti memikat selera. Jom cuba menu yang disediakan oleh barisan chef dari Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur ini!
1.SUP KAMBING BEREMPAH
BAHAN-BAHAN:
1Kg daging kambing|potong dadu
10gm kulit kayu manis
10gm bunga lawing
10gm buah pelage
10gm bunga cengkih
3 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
4cm halia tua |dikisar
50gm cili padi|dikisar
100gm rempah kurma
100gm rempah sup
20gm serbuk kunyit
2 liter air
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak.Tumis bahan-bahan rempah 4 sekawan sehingga naik baunya. Masukkan pula bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi. Tumis sehingga garing. Masukkan pula rempah serbuk dan kacau sehingga sebati dan garing. Masukkan pula daging kambing dan air. Biarkan sehingga daging empuk dan mendidih. Tambahkan garam secukup rasa sebelum dihiaskan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng.
2.NASI BRIYANI ALA TAMU
BAHAN-BAHAN:
1kg beras basmathi
10gm kulit kayu manis
10gm bunga lawing
10gm buah pelage
10gm bunga cengkih
3 biji bawang besar|dimayam
4 ulas bawang putih|dimayam
3 cm halia
1 batang serai |dititik
5gm daun pudina
10gm rempah briyani
½ tin susu cair
3 sudu kecil minyak ghee
Air secukupnya
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak ghee. Tumis bahan rempah 4 sekawan sehingga wangi. Masukkan pula bawang besar, bawang outih, halia, daun pudina dan serai. Gaulkan sehingga garing dan wangi. Masukkan pula rempah briyani. Gaul rata. Basuh beras sehingga bersih.Kemudian masukkan bahan-bahan tumisan dan masukkan susu cair dan air mengikut sukatan beras. Tambahkan garam secukup rasa dan didihkan nasi.
3.IKAN ASAM PEDAS KUALA
BAHAN-BAHAN:
1kg ikan tenggiri
50gm cili kering|dikisar
10gm kunyit hidup|dikisar
5gm halba |dikisar
5gm lada hitam|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih|dikisar
1 inci belacan |dibakar dan dikisar
1 batang serai|dititik
10 helai daun kesum
500gm air asam
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak. Masukkan serai yang telah dititik. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Tumis sehingga ia menjadi garing dan wangi.Masukkan ikan dan daun kesum. Didihkan dengan menggunakan api yang perlahan. Masukkan air asam mengikut citarasa. Masukkan garam dan hidangkan.
4.GULAI DAGING SALAI CILI PADI ATUK
BAHAN-BAHAN (PERAPAND DAGING):
1kg daging batang pinang
2 sudu kecil cili boh
2 inci kunyit hidup |dikisar
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
BAHAN-BAHAN:
20gm cili padi|dikisar
3 biji bawang besar|dikisar
4 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
3 keping asam gelugor
2 helai daun kunyit |dimayam
500gm susu cair dan susu pekat
Garam secukup rasa
Air secukupnya
CARA MEMBUAT:
Gaul bahan-bahan perapan dan perap daging semalaman. Salai daging tersebut sehingga ia menjadi separuh masak. Kemudian hiris nipis daging tersebut. Panaskan air dan campurkan santan cair. Masukkan serai yang telah diketuk dan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Biarkan sehingga ia mendidih. Masukkan daging dan asam gelugor dan perlahankan api. Masukkan pula santan pekat dan daun kunyit. Tambahkan garam secukup rasa sebelum dihidangkan.
5.PAJERI TERUNG BONDA
BAHAN-BAHAN:
1 kg terung bulat |dibelah dua
30gm cili kering|dikisar
4 biji bawang besar|dikisar
3 ulas bawang putih |dikisar
3 inci kunyit hidup |dikisar
1 batang serai |dititik
50gm udang kering |dikisar
20gm serbuk kari ikan
5 gm biji sawi
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 helai daun kari
3 sudu besar kerisik
100ml santan
30gm gula melaka
3 sudu kecil cuka
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Panaskan minyak.Kemudian goreng terung sehingga garing.Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga lawing dan biji sawi sehingga naik baunya. Masukkan pula bahan-bahan yang telah dikisar dan kemudian masukkan serai yang telah dititik sehingga garing. Tumiskan rempah kari sehingga pecah minyak. Masukkan terung dan gaul sehingga rata. Masukkan pula gula Melaka, daun kunyit, cuka makan, santan dan kerisik. Biarkan ia mendidih dan masukkan pula garam secukup rasa.
6.PECAL KAMPUNG
BAHAN-BAHAN:
200gm kangkung|dicelur
200gm daun ubi kayu |dicelur
200gm daun meranti |dicelur
200gm pucuk paku|dicelur
200gm timun |dihiris Panjang
200gm sengkuang|dihiris Panjang
200gm taugeh |dicelur
2 biji tauhu |digoreng dan potong dadu
2 biji tempe |digoreng dan dipotong dadu
BAHAN UNTUK KUAH PECAL
400gm kacang tanah |digoreng
20gm cili kering |direbus dan goreng
5gm cili padi|digoreng
4 biji bawang kecil|digoreng
2 inci belacan |digoreng
50ml air asam
3 inci akar cekur |digoreng
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
CARA MEMBUAT:
Hiris dan celur bahan-bahan asas seperti sayur-sayuran kampung dan asingkan seketika. Untuk menyediakan kuah kacang pula, kisar bahan-bahan yang telah digoreng terlebih dahulu. Kemudian masukkan air suam, air asam dan gula. Pastikan ia tidak terlalu oekat dan tidak terlalu cair. Untuk mendapatkan tahap kepedasan pula, terpulang kepada citarasa individu. Hidangkan Bersama sayur-sayuran kampung yang telah dicelur terlebih dahulu.