Lebih kurang seminggu lebih saja lagi kita bakal menyambut kedatangan bulan Syawal. Sekarang pun sudah ramai yang mula membuat tempahan pelbagai jenis kek dan biskut raya melalui Instagram mahupun Facebook. Sama rancak pula dengan tempahan menu berbuka. Sekarang segalanya hanya di hujung jari!
Namun begitu, ada juga yang memilih untuk mencuba buat sendiri kek mahupun biskut homemade untuk dinikmati oleh keluarga tersayang. Mungkin dengan air tangan sendiri akan lebih berpuas hati lebih-lebih lagi kalau mendapat respon yang baik daripada suami dan anak-anak. Hilang segala penat lelah dan lebih berbaloi!
Nona berikan idea buat anda yang mahu mencuba menghasilkan biskut homemade iaitu Double Trouble Chocolate Chip. Memang sangat sedap dan menggiurkan lebih-lebih lagi kalau dapat dinikmati bersama secawan kopi mahupun teh panas. Lihat rupanya sahaja pun sudah mengiurkan. Berikut dikongsikan resipi Double Trouble Chocolate Chip istimewa daripada Coffee Jeans & Co.
Menurut pemiliknya, Tania Zara, biskut Double Trouble Chocolate Chip ini sememangnya menjadi best seller di Coffee Jeans & Co. Jom cuba!
DOUBLE TROUBLE CHOCOLATE CHIP COOKIES
Bahan-bahan:
- 225gm cip coklat (dicairkan)
- 30gm salted butter (dicairkan)
- ¼ cawan tepung serba guna
- ½ camca teh serbuk penaik
- 2 biji telur
- 175gm gula
- 1 camca teh esen vanila
- ½ cawan cip coklat
Cara Membuat:
Pukul telur sehingga kembang. Kemudian masukkan gula dan vanila, gaul rata. Masukkan cip coklat dan mentega yang telah dicairkan. Masukkan pula tepung serbaguna dan serbuk penaik sedikit demi sedikit.
Gaul sehingga sebati. Letakkan adunan ke dalam chiller, biarkan semalaman. Kemudian kaup menggunakan scoop dan susun atas dulang pembakar. Bakar pada suhu 170 darjah Celsius selama 12-15 minit. Siap untuk dihidangkan.
TIP: Memandangkan biskut ini adalah jenis lembut ianya tidak boleh disimpan terlalu lama di dalam bekas. Tempoh terbaik ialah selama tujuh hari selepas dibakar. Selamat mencuba! Untuk melihat lebih banyak koleksi-koleksi kek dan pastri, anda boleh klik Instagram @coffeejeansandco
Sumber Foto: @coffeejeansandco
Bukan Sekadar Masak, CHEF ANIS Mahu Beri Makna Buat Orang Lain & Kongsi Resipi Bomboloni
Melihat aksi chef selebriti ini memasak di dapur sememangnya boleh buat kecur liur. Nampak mudah sahaja gadis genit ini memasak ditambah pula dengan celotehnya bercerita tentang masakan. Pemilik nama sebenar Anis Nabilah Umaruddin ini rupanya mempunyai minat mendalam dalam bidang penyediaan makanan sejak daripada kecil lagi.
Ibu kepada wanita yang lebih mesra disapa sebagai Chef Anis ini banyak mempengaruhi kerjayanya dalam bidang masakan ini. “Ibu saya ada berpesan, whatever you do in your life, you have to make a difference. Jadi, saya percaya sebagai seorang chef selebriti, kerja saya bukan hanya memasak tetapi untuk melakukan sesuatu yang lebih besar dan bermakna bukan hanya kepada diri sendiri tetapi orang lain juga,” ujar Chef Anis yang mengakui banyak dugaan yang terpaksa dihadapi sepanjang bergelar chef selebriti.
Tambahnya lagi, “Diharapkan, dengan perkongsian resipi dan cara memasak oleh saya dapat menarik orang-orang muda di luar sana untuk mula belajar memasak walaupun sesetengah orang mungkin menganggap memasak ini sesuatu yang remeh dan tidak penting.
Sebenarnya, bila pandai memasak kita akan tahu apakah bahan-bahan yang digunakan untuk menyiapkan hidangan makanan tersebut. Ini kerana untuk menjadi sihat ia bermula daripada apa yang kita makan.
Selain itu, mempunyai kebolehan memasak juga akan membuatkan anda menyediakan makanan yang sihat untuk keluarga dan orang yang tersayang”, ulas Anis lagi yang menganggap semua orang boleh memasak dan berkongsi resipi Oreo Bombolini sebagai menu berbuka puasa kali ini.
Oreo Bomboloni
Bahan-bahan:
Bahan Doh:
500gm tepung protein tinggi
1 pack (11gm) yis
½ sudu teh baking powder
1 sudu besar mentega (unsalted)
1 telur
3 sudu besar gula
2 sudu besar susu tepung
250ml susu segar (chilled)
125ml air
Secubit garam
Gula kastor (coating)
Filling:
200gm cream cheese
50ml thickened cream
1 sudu besar icing sugar
8 Oreos, hancurkan
Mini Oreo untuk hiasan
Cara membuat:
1. Campurkan semua bahan untuk doh dan pukul sehingga kenyal. (Kalau guna tangan 15-20 minit atau 10 minit jika guna mesin pengadun).
2. Biarkan doh seketika selama 30 minit. Kemudian bentuk doh menjadi bulat-bulat kecil dan letakkan di atas baking paper (untuk mudahkan bila mahu menggoreng). Rehatkan doh sehingga saiznya menjadi dua kali ganda. Boleh juga menggunakan acuan donut untuk membentuknya.
3. Pukul cream cheese dengan gula aising dan cream menggunakan mesin pengadun sehingga ringan dan berkrim. Kemudian masukkan oreo yang telah dihancurkan sehingga sebati. Masukkan filling ini ke dalam piping bag dan masukkan sebentar ke dalam peti sejuk.
4. Goreng donut ke dalam kuali sehingga keperangan. Toskan menggunakan strainer sebelum menyalut donut dengan gula. Biarkan sejuk.
5. Buatkan lubang kecil menggunakan gunting dan masukkan filling ke dalamnya. Hiaskan dengan mini Oreo dan sedia untuk dimakan.
Nikmati 6 Hidangan Luar Biasa, Mi Kering!
Dalam kesibukan mencari menu untuk memenuhi gaya hidup, olahan dari mi kering boleh menghasilkan pelbagai menu yang sedap dan berinovasi. Dari segi rasa, tidak kurang hebatnya! Mi kering juga boleh dipelbagaikan menu untuk menikmati hidangan yang luar biasa. Apa yang perlu, bijak mengadun rasa agar ia menjadi pelengkap elemen hidangan anda.
BEBOLA MI AYAM SAYUR-SAYURAN
BAHAN-BAHAN:
2 keping mi kering | celur dan tos
1/2 cawan serbuk roti
1/2 cawan isi ayam rebus | carik-carik
1/2 cawan hirisan daun bayam
Sedikit hirisan cili benggala
Sedikit potongan dadu lobak merah
1 biji telur
1 sudu teh serbuk perasa ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
1 Sudu teh garam
Minyak secukupnya untuk menggoreng.
CARA MEMASAK:
Masukkan mi yang telah dicelur tadi dalam pengisar bersama telur. Kisar hingga sebati.Keluarkan dalam mangkuk adunan, kemudian campurkan isi ayam, hirisan sayur-sayuran.Seterusnya masukkan serbuk perasa ayam, lada sulah dan garam. Gaul rata.Campurkan serbuk roti sedikit demi sedikit hingga menjadi doh lembut.Bulat-bulatkan doh hingga habis.Panaskan minyak, kemudian goreng bebola hingga kuning keemasan.Bebola mi sedia dihidangkan dengan sos cili atau mayones.
BURGER DAGING MI KERING
BAHAN-BAHAN UNTUK MI:
3 keping mi kering | rebus dan tos
2 biji telur
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk perasa ayam
Piring sos saiz besar | untuk acuan
BAHAN PATTY DAGING:
250gm daging kisar
1 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu makan serbuk roti
1/2 sudu teh garam halus
BAHAN-BAHAN LAIN:
Hirisan timun
Hirisan tomato
Tomato ceri
Beberapa keping keju
Sos cili secukupnya
Mayones secukupnya
CARA MEMASAK:
Untuk membuat membentuk mi bagi mengantikan roti, pecahkan telur dalam mangkuk kemudian tambahkan garam dan perasa ayam. Kacau rata, masukkan mi yang telah dicelur ke dalamnya, Gaul lagi.Seterusnya masukkan campuran telur dan mi dalam piring sos saiz besar sebagai acuan.Panaskan pengukus dan kukus lima minit.Setelah mi membentuk seperti roti, bakar pula lebih kurang 7-10 minit supaya mi kelihatan garing keperangan. Setelah siap ketepikannya.Untuk sediakan daging burger pula,campurkan daging kisar, serbuk lada hitam, serbuk roti dan garam. Gaul rata hingga sebati.
Bentukkan bulat kemudian leperkannya.Panaskan sedikit mentega di atas kuali leper kemudian goreng daging hingga keperangan lebih kurang lima minit. Jangan terlalu garing, asal masak cukup.
Untuk membuat burger. Ambil dua keping roti mi segera yang telah siap tadi. Sapukan bahagian bawah dengan sos cili, bahagian atas dengan mayones.Lapiskan atas roti mi lapisan sos cili dengan hirisan timun dikuti, pattie kepingan keju dan tomato. Akhir sekali lapiskan dengan satu lagi lapisan mi segera yang disapu dengan mayonies.Burger mi siap dan sedia dihidangkan.
KOKTEL MI GULUNG
BAHAN-BAHAN:
10-12 biji koktel ayam
2 keping mi kering | celur dan tos
1 sudu teh serbuk perasa ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu teh garam
1 sudu makan tepung ubi
Lidi satey secukupnya
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
Masukkan mi dalam mangkuk, kemudian campurkan dengan garam, lada sulah dan serbuk perasa ayam. Gaul rata dan cukup rasa. Taburkan tepung ubi atas campuran mi dan gaul rata. Lilitkan mi pada koktel yang telah dicucuk pada lidi satey. Lakukannya hingga habis. Panaskan minyak, goreng koktel yang telah bersalut mi hingga garing. Angkat dan toskan minyak. Setelah siap hidangkan bersama sos kegemaran anda.
MINI MUFFIN MI BALOGNES
BAHAN-BAHAN:
2 keping mi kering | celur dan tos
3 biji telur
6 kuntum cendawan shitake
150gm daging kisar
1/2 biji bawang Holland | cincang
3 ulas bawang putih | cincang halus
3 sudu makan sos balognes segera
1 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu teh garan
1/2 sudu teh gula
1/2 sudu teh serbuk oregano
2 sudu makan mentega
10 biji tomato ceri | belah empat untuk hiasan
Sedikit keju parmesan
CARA MEMASAK:
Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang Holland dan bawang putih hingga kekuningan.Masukkan sos bolognes, kacau rata masukkan pula daging kisar. Kacau rata seketika kemudian masukkan cendawan shitake. Seterusnya masukkan serbuk lada sulah, oregano, garam dan gula secukup rasa. Setelah cukup rasa masukkan mi yang telah dicelur tadi. Tutup api dan gaul rata. Ketepikan dan biarkan sejuk seketika. Dalam mangkuk pecahkan telur dan kacau rata. Tuangkan telur dalam bekas berisi mi yang telah digaul dengan sos balognes. Gaul rata. Masukkan dalam paper cup kecil dan taburkan di atasnya dengan keju parmesan dan hias dengan hirisan tomato ceri. Bakar dalam ketuhar yang telah sedia dipanaskan pada suhu 170C lebih kurang 15 minit. Setelah masak, keluarkan muffin dari ketuhar dan sejukkan seketika. Muffin sedia dihidangkan.
PIZZA MI CENDAWAN
BAHAN-BAHAN MI:
2 keping mi kering | celur dan tos
3 biji telur
1 sudu teh serbuk perasa ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
1/2 sudu teh garam halus
BAHAN TOPPING:
1 cawan parutan keju mozzarella
Sedikit hirisan cili benggala kuning dan merah
1 cawan cendawan butang dalam tin | hiris nipis
5 biji tomato ceri | belah dua
3 keping bacon ayam | hiris halus
1/2 biji bawang Holland | dadu kasar
3 sudu makan sos balognes
1 sudu teh serbuk oregano
1 sudu teh serbuk perasa ayam
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam dan gula secukup rasa
2 sudu makan mentega
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan mi, pecahkan telur dalam mangkuk, kemudian masukkan serbuk lada sulah, perasa ayam dan garam. Kacau rata. Masukkan mi yang telah dicelur, gaul rata. Masukkan dalam loyang pembakar yang telah disapu dengan mentega. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama lebih kurang 10-15 minit. Sementara itu sediakan topping. Panaskan mentega, kemudian tumiskan bawang Holland, kacau rata masukkan sos bolognese. Kacau rata, masukkan bacon ayam, cendawan dan cili benggala. Lengkapkan rasa dengan serbuk lada sulah, perasa ayam, oregano, garam dan gula. Tuangkan tumisannya ini atas mi yang telah dibakar tadi. Ratakan bahan tumisan melapisi permukaan mi, kemudian taburkan hirisan tomato ceri dan parutan keju mozzarella di atasnya. Bakar semula pizza dengan api atas selama lima minit lagi atau hingga keju cair dan sedikit perang bahagian atas pizza ini. Pizza sedia dihidangkan.
PUFF MI CENDAWAN CARBONARA
BAHAN-BAHAN
2 keping mi segera | celur dan tos
5 keping pastri puff segera
3 sudu makan sos carbonara
1/2 cawan daging kisar
1/2 biji bawang Holland | potong dadu
3 ulas bawang putih | cincang halus
5 biji cendawan butang dalam tin | dadu halus
1 sudu teh serbuk lada sulah
Garam secukup rasa
1 biji kuning telur | kacau rata
2 sudu makan mentega
CARA MEMASAK:
Panaskan mentega dalam kuali, tumiskan bawang merah dan putih hingga kekuningan. Masukkan daging kisar, kacau rata kemudian masukkan cendawan butang. Kacau lagi dan masukkan sos carbonara, gaul lagi. Perasakan dengan serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan mi, kacau rata dan tutup api. Ketepikan. Canaikan pastri puff menjadi nipis, kemudian letakkan inti mi carbonara di atasnya. Lipat dua kepingan pastri, bentuk dan kemaskan tepi dengan hujung garpu. Letakkan dalam loyang pembakar yang telah digriskan dengan mentega. Sapukan bahagian atasnya dengan kuning telur. Bakar dalam ketuhar dengan kepanasan 180C selama lebih kurang 30 minit. Setelah masak, keluarkan dari ketuhar dan puff sedia dihidangkan.
Makan Berpada-Pada, Kurangkan Daging & Amal Sayur Seperti Arnab, Pakar Ini Syorkan Diet Sihat Cuti Tahun Baharu Cina!
Arnab melambangkan haiwan yang aktif dan cerdik, justeru masyarakat Cina percaya ia adalah satu simbol kepada kehidupan tahun baharu yang lebih bahagia serta makmur. Mengikut kepercayaan sempena Tahun Baharu Cina ini juga, masyarakat disaran agar mengamalkan diet seperti arnab iaitu mengambil lebih banyak sayuran untuk kesihatan.
Musim perayaan sudah bermula. Bagi yang mengambil kesempatan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina ini, pasti sudah dalam perjalanan ke destinasi yang dihajati. Ada juga yang pulang ke kampung atau melawat tempat-tempat peranginan untuk menenangkan fikiran.
Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Jasminder Kaur menyarankan agar Tahun Baharu Cina disambut dengan mengamalkan diet seperti arnab iaitu mengambil lebih banyak sayur-sayuran bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri.
Beliau berkata, masyarakat semakin mudah untuk menerima diet berasaskan tumbuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerana ia kaya dengan serat yang menyihatkan, vitamin dan mineral, bebas kolesterol serta kandungan kalori dan lemak tepu yang jauh lebih rendah.
“Ia juga kaya antioksidan yang boleh membantu melindungi diri daripada penyakit jantung serta jenis kanser tertentu dan diabetes.” Dr Jasminder Kaur
Dr Jasminder mengakui bahawa melakukan perubahan sepenuhnya pada diet adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan kesungguhan serta disiplin.
Menurutnya lagi, bagi mereka yang baru memulakan langkah ke arah tersebut, mengurangkan pengambilan produk daging secara beransur-ansur mungkin menjadi pilihan yang lebih sesuai.
“Kita bernasib baik kerana terdapat pelbagai pilihan diet berasaskan tumbuhan untuk dicuba jika merasakan amalan mengurangkan pengambilan produk daging kurang menarik.”
DIET BERASASKAN TUMBUHAN
(1) Lacto-vegetarian
Diet ini tidak mengandungi daging, ikan, ayam dan telur serta makanan-makanan yang mengandungi bahan tersebut. Namun produk tenusu seperti susu, keju, yogurt dan mentega dibolehkan.
(2) Ovo-vegetarian
Diet berasaskan tumbuhan jenis ini tidak mengandungi daging, ayam, makanan laut dan produk tenusu tetapi telur dibolehkan.
(3) Lacto-ovo vegetarian
Tidak mengandungi daging, ikan dan ayam tetapi produk tenusu dan telur dibolehkan.
(4) Pescatarian
Diet ini membolehkan pengamalnya menikmati protein daripada ikan tetapi bukan daripada daging, ayam, produk tenusu dan telur.
(5) Vegan
Diet paling ketat dalam kategori berasaskan tumbuhan kerana ia langsung tidak mengandungi daging, ayam, ikan, telur dan produk tenusu atau semua makanan-makanan yang mengandungi bahan tersebut.
BERSEDERHANA
Tidak dinafikan, dorongan nafsu makan ketika pulang ke kampung mahupun bercuti susah dikawal. Apatah lagi jika dikelilingi orang tersayang, lebih susah untuk menolak menu-menu lazat yang dihidangkan sesekali berjumpa.
Maka bermulalah alasan cheat-day. Mula-mula sehari, jadi dua hari dan terus berhari-hari!
Walaupun mengamalkan diet berasaskan tumbuhan langkah yang bagus untuk individu dewasa jika mereka ingin meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan diri, Dr Jasminder juga mengingatkan bahawa hanya menjadi vegetarian sahaja tidak akan menyembuhkan penyakit atau menjadikan seseorang itu sihat dalam sekelip mata.
“Untuk melihat peningkatan yang diinginkan, adalah penting bagi seseorang itu merancang dengan baik, seeloknya berjumpa dengan pakar pemakanan yang memahami keadaan kesihatan semasa anda.
Pendekatan diet berasaskan tumbuhan yang sihat bermaksud anda menyertakan sekali bahan yang kaya nutrien dan pengganti protein memandangkan anda tidak mengambil produk daging.” Dr Jasminder Kaur
Dr Jasminder berkata, bagi mendapatkan gaya hidup sihat secara keseluruhan, seseorang juga perlu aktif dan memperoleh rehat yang cukup.
Artikel: Sunway Medical Centre