Double Trouble Chocolate Chip Cookies Yang Menggiurkan Dari Coffee Jeans & Co.

Lebih kurang seminggu lebih saja lagi kita bakal menyambut kedatangan bulan Syawal. Sekarang pun sudah ramai yang mula membuat tempahan pelbagai jenis kek dan biskut raya melalui Instagram mahupun Facebook. Sama rancak pula dengan tempahan menu berbuka. Sekarang segalanya hanya di hujung jari!

Namun begitu, ada juga yang memilih untuk mencuba buat sendiri kek mahupun biskut homemade untuk dinikmati oleh keluarga tersayang. Mungkin dengan air tangan sendiri akan lebih berpuas hati lebih-lebih lagi kalau mendapat respon yang baik daripada suami dan anak-anak. Hilang segala penat lelah dan lebih berbaloi!

Nona berikan idea buat anda yang mahu mencuba menghasilkan biskut homemade iaitu Double Trouble Chocolate Chip. Memang sangat sedap dan menggiurkan lebih-lebih lagi kalau dapat dinikmati bersama secawan kopi mahupun teh panas. Lihat rupanya sahaja pun sudah mengiurkan. Berikut dikongsikan resipi Double Trouble Chocolate Chip istimewa daripada Coffee Jeans & Co.

Menurut pemiliknya, Tania Zara, biskut Double Trouble Chocolate Chip ini sememangnya menjadi best seller

di Coffee Jeans & Co. Jom cuba!

DOUBLE TROUBLE CHOCOLATE CHIP COOKIES

Bahan-bahan:

  • 225gm cip coklat (dicairkan)
  • 30gm salted butter (dicairkan)
  • ¼ cawan tepung serba guna
  • ½ camca teh serbuk penaik
  • 2 biji telur
  • 175gm gula
  • 1 camca teh esen vanila
  • ½ cawan cip coklat

Cara Membuat:

Pukul telur sehingga kembang. Kemudian masukkan gula dan vanila, gaul rata. Masukkan cip coklat dan mentega yang telah dicairkan. Masukkan pula tepung serbaguna dan serbuk penaik sedikit demi sedikit.

Gaul sehingga sebati. Letakkan adunan ke dalam chiller, biarkan semalaman. Kemudian kaup menggunakan scoop dan susun atas dulang pembakar. Bakar pada suhu 170 darjah Celsius selama 12-15 minit. Siap untuk dihidangkan.

TIP: Memandangkan biskut ini adalah jenis lembut ianya tidak boleh disimpan terlalu lama di dalam bekas. Tempoh terbaik ialah selama tujuh hari selepas dibakar. Selamat mencuba! Untuk melihat lebih banyak koleksi-koleksi kek dan pastri, anda boleh klik Instagram @coffeejeansandco

Sumber Foto: @coffeejeansandco

 

Share
Published by
Amy Mohd