Bermula dari kejayaan mendapat keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM, nama Dr Nur Amalina Che Bakri terus disebut-sebut. Biarpun menetap jauh di London, wanita hebat yang baru melahirkan si comel Arabella Mia, 6 bulan tidak ketinggalan meraikan Syawal dengan keluarga di Malaysia.
Paling mengujakan pastinya saat sang cucu dibawa bertemu nenek tersayang. Mesra disapa Tok Ma, ibu Dr Amalina iaitu Puan Sabariah Hassan kelihatan enggan berenggang dengan cucu yang dirindui.
Merupakan seorang bekas pengetua sekolah menengah, penampilan Puan Sabariah, 63 tahun, yang memakai rona sedondon dengan cucunya pada pagi lebaran mencuit hati.
Seronoknya tengok Puan Sabariah menyambut kepulangan anak cucu dan menantu! Arabella Mia pun comel sangat, putih gebu berkat campuran Melayu-Inggeris!
CUACA PANAS
Dalam keadaan cuaca Malaysia yang panas berbahang, kelihatan ramai pengikut Dr Amalina bertanya tip memakai sunscreen untuk si kecil.
“Ya, kami pakaikan sunscreen versi paediatrik jenama La Roche Posay. Saya juga gemar jenama Childs Farm. Namun pastikan anda beli produk SPF30 dengan perlindungan UVA dan UVB yang baik.
Elakkan juga membawa anak keluar di antara jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang. Sebolehnya duduklah di bawah tempat terlindung dan pakaikan topi serta cermin hata hitam untuk si kecil.” Dr Amalina
Sebelum ini, Nona juga pernah mengiktiraf sumbangan Dr Amalina, 35 tahun dalam Nona Superwoman Awards 2020. Beliau juga pernah menerima anugerah UK Women of the Future Award 2021 di Britain.
Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor itu kini sedang bercuti bersalin kira-kira 10 bulan dengan gaji penuh.
Penerima biasiswa Kijang Emas itu kini bertugas sebagai Doktor Pembedahan dan Felo Penyelidikan Klinikal dalam pembedahan kanser payudara di Imperial College London.
Beliau juga sedang berjuang menyiapkan tesis PhD dalam masa yang sama sekaligus melengkapkan impiannya bergelar seorang pakar perubatan yang membanggakan Malaysia.
Wanita Yang Mendidik Ramai Jurutera, Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa Raih Anugerah Akademik Negara!
Hampir dua dekad berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), jasa cendekiawan wanita bernama Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa ini akhirnya diberi pengiktirafan.
Kini bukan sesuatu yang asing apabila semakin ramai wanita menceburi dunia teknikal dan kejuruteraan.
Di sebalik sifat kewanitaan, mereka bermain dengan enjin dan mesin, cekap menyelesaikan pelbagai masalah mekanikal serta lebih hebat lagi, menjadi pendidik kepada jurutera-jurutera negara!
Justeru, ketika nama Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa diumumkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara Ke-14 bagi Kategori Pengajaran (Kelompok Kejuruteraan) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), seluruh dewan bergema dengan tepukan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada Dr Zahiraniza yang diadakan baru-baru ini.
BERKALIBER
Pernah mendapat tajaan geran penyelidikan daripada Yayasan Schlumberger, Dr Zahiraniza terus memperkasakan wanita dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Berkhidmat sebagai Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTP, Dr Zahiraniza sebelum ini mendapatkan ijazah doktor falsafah atau PhD beliau dari Delft University of Technology, The Netherlands (jurusan Pipeline Reliability) pada tahun 2011.
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Sains (jurusan Water Resources Engineering) dari Universiti Alberta, Kanada pada tahun 2003 dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Am dari UiTM pada tahun 2000.
Kecerdikan Dr Zahiraniza jelas terbukti apabila beliau banyak membuat kajian dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan perpaipan.
Beliau juga pernah menghasilkan perisian dan modul latihan untuk PETRONAS berkaitan bidang yang sama. Malah, pendidik ini sering dijemput berkongsi ilmu di luar negara selain menjadi penasihat teknikal untuk program Diploma Offshore Structure di Kolej Kemahiran Tinggi MARA.
BERSYUKUR
Dr Zahiraniza berkata beliau amat berbesar hati menerima anugerah berkenaan dan merakamkan penghargaan atas pengiktirafan daripada KPT itu.
Katanya, anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi berterusan beliau dalam bidang pengajaran dan tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan pengurusan UTP dan bahagian akademik.
“UTP telah membimbing saya dalam kerjaya dan pembangunan diri. Ia adalah sebuah institusi yang menyokong kakitangannya dalam pelbagai cara, justeru, menjadi aspirasi saya untuk meletakkan UTP setanding dengan institusi lain dalam mengetengahkan usaha yang dilakukan oleh Petronas dan UTP untuk pembangunan manusia.
Saya bermula dari bawah dalam meningkatkan kecemerlangan kerjaya saya dalam bidang pengajaran dan terus berkembang hingga tahap saya sekarang.
Dengan anugerah ini, saya dapat berkongsi perjalanan mengajar saya dan ia akan didengari bukan sahaja dalam UTP tetapi di peringkat lebih tinggi.” Dr Zahiraniza
Tambah Dr Zahiraniza, penyampaian anugerah itu juga menyediakan platform untuknya menyebarkan fahaman dan aspirasi keguruan dalam mendidik generasi muda.
“Generasi kini menggambarkan pendidik mereka, sekali gus mendidik mereka dengan pendekatan pedagogi yang betul bukan sahaja menekankan kepada kecekapan teknikal tetapi juga keupayaan untuk mereka berfikir secara rasional dalam membuat keputusan kejuruteraan.
Faktor ini adalah penting kepada pelajar supaya apabila mereka tamat pengajian, mereka akan menjadi jurutera berperikemanusiaan.” Dr Zahiraniza
Anugerah Akademik Negara adalah pengiktirafan tertinggi kepada cendekiawan Malaysia dari institusi pengajian tinggi tempatan bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada ahli akademik yang komited dan telah memberi sumbangan besar kepada penemuan serta pembangunan ilmu untuk negara.
Mewarisi Kecantikan & Bakat Seni Ibu, Pelakon APRENA MANROSE Kongsi Detik Bersama Arwah
Bakat seni yang mengalir dalam diri pelakon terkenal, Aprena Manrose diwarisi dari ibu bapanya yang suatu ketika dulu pernah berada di puncak populariti.
Siapa yang tidak kenal dengan bapanya, Iwan Syahman yang pernah bergelar penyanyi dangdut terkenal.
Manakala arwah ibunya, Rosnah Mohd Noor merupakan pelakon filem jelita era 80an kelahiran Pasir Puteh, Kelantan. Antara filem lakonan arwah Rosnah yang terkenal ialah Kisah Seorang Biduan dan Di Ambang Kasih.
Hasil perkahwinan pertamanya bersama Iwan, arwah Rosnah dikurniakan 3 cahayamata iaitu Wan Ramada Putra, Wan Shamira Puteri Octavia dan Wan Shahera Puteri Apreena.
Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berusia 27 tahun berjaya membuktikan bakat yang dimiliki bukan sia-sia apatah lagi dapat memenuhi impian arwah ibunya yang mahu melihat Aprena berjaya dalam pengajian serta lakonan.
Aprena yang mewarisi kejelitaan ibunya itu merupakan graduan Diploma Penyiaran & Filem dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).
KERINDUAN
“Walaupun hampir 7 tahun arwah Mama ‘pergi’ akibat kanser payudara dan komplikasi penyakit, setiap kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Banyak sebenarnya kenangan berdua kerana kami memang rapat.
Pergi ke mana-mana pun mesti berdua termasuklah tidur pun berdua. Bagi saya, arwah Mama seorang wanita yang sangat baik dan penuh sifat keibuan. Walaupun lembut namun tegas dalam didikan.
Arwah Mama seorang wanita yang sangat kuat dalam menghadapi ujian sampailah ke nafasnya yang terakhir. Saya menginspirasikan kekuatan yang ada dalam diri arwah Mama. Apa pun yang kita buat jangan mudah putus asa. Jiwa kena kental.
Cara saya, kalau buat sesuatu mesti sampai habis. Yang penting yakin dengan diri sendiri, mesti cuba yang terbaik,” kongsi Aprena yang pernah menjadi penghias muka hadapan Nona Jun 2019 bergandingan dengan Dato’ Jovian Mandagie.
SOKONGAN SUAMI
Gelaran isteri kepada Mohd Afiq Hazman bukan penghalang buat Aprena untuk menggapai impian bergelar pelakon terkenal. Aprena juga tidak pernah menyembunyikan status perkahwinan mereka kerana baginya restu dan sokongan suami sangat penting dalam apa jua perkara yang dilakukan.
“Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberi sokongan kepada saya dan paling penting sangat sporting. Selalunya sebelum pergi ke set saya akan selesaikan dulu kerja-kerja rumah. Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya fokuskan kepada tanggungjawab sebagai isteri.
Bercakap tentang cabaran sepanjang bergelar pelakon pula memang banyak. Bukan mudah sebenarnya nak kekal dalam industri kerana sentiasa ada pendatang baru. Apa pun berbalik kepada rezeki masing-masing, tak kiralah pendatang baru atau lama.
Seorang pelakon tak boleh berhenti belajar. Saya memang rajin bertanya termasuk ‘ringan mulut’ untuk bertanya kepada pelakon-pelakon senior termasuk pengarah demi mendapatkan ilmu. Saya percaya jika reputasi seorang artis itu baik maka rezekinya tetap ada dalam industri.
Cara reward diri pula dengan memberikan hasil yang terbaik dan berkongsi rezeki dengan suami dan ibu bapa. Insya-Allah, hidup kita akan lebih berjaya,” ujar Aprena yang bercita-cita untuk bergelar pelakon teater termasuk mencuba bidang nyanyian dan pengacaraan.
Kredit Foto: Instagram Aprena Manrose
Pulang Mengerjakan Haji, Rezeki Datin Hajah Rita Sosilawati Dinobat Wanita Ikon Selangor. Beri Keutamaan Aspek Soal Kesihatan Psiko-Sosial
Nama Datin Rita Sosilawati amat sinonim dengan pelbagai aktiviti korporat dan kemasyarakatan. Bukan sahaja berjaya sebagai seorang usahawan, isteri kepada Setiausaha politik Menteri Sumber Manusia, Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah ini menempa lagi satu kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2022 baru-baru ini. Rezeki datang sebaik pulang dari mengerjakan ibadat haji baru-baru ini.
Terpilih sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2022, tokoh korporat ini terus menyumbang bakti dalam kerja-kerja khidmat masyarakat dengan memulakan langkah mempromosi kesihatan psiko-sosial melalui program yang diberi nama “Are You Okay”. Penubuhan sebuah pusat yang diberi nama “Are You Okay” akan berfungsi sebagai initial step dalam menangani isu-isu berkaitan psiko-sosial dan kesihatan mental. Pusat ini akan dikendalikan oleh sukarelawan dalam kalangan pelajar yang terpilih dan terlatih, dengan dikawal selia oleh Pegawai Psikologi berpengalaman dari UiTM sendiri.
Ditemui di majlis menandatangani surat hasrat di antara Universiti Teknologi MARA dan Wanita Ikon Selangor 2022, menurut Datin Hajah Rita Sosilawati, objektif utama penubuhan Are You Okay Centre adalah sebagai medium interaktif sesama warga UiTM yang terdiri daripada golongan pelajar dan kakitangan dalam berkongsi masalah yang menyumbang kepada tekanan dan masalah mental.
“Selain itu, pusat ini bertindak dalam membantu mencadangkan saluran yang betul kepada pihak yang berkaitan untuk diambil tindakan. Ramai orang yang mempunyai masalah, tidak tahu ke manakah saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah mereka.
Selain itu, pusat ini juga berfungsi sebagai tempat bagi aktiviti-aktiviti sihat minda di kalangan warga UiTM dan komuniti setempat.
Ditanya mengapa UiTM terpilih sebagai pusat, menurut Datin Hajah Rita, ia merupakan satu peluang keemasan untuk berbakti di Alma-Mater di mana Datin Rita merupakan alumni UiTM pada tahun 2008. Beliau merupakan graduan Diploma dan Sarjana Muda dalam bidang Seni Reka Tekstil di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Datin Hajah Rita Sosilawati merupakan seorang graduan yang cemerlang serta aktif dalam bidang akademik dan ko-kurikulum sewaktu bergelar mahasiswa di UiTM dan pernah merangkul beberapa anugerah antaranya Anugerah Pelajar Terbaik Program 2006, Anugerah Pelajar terbaik Final Year 2006, Anugerah Graduan Terbaik Kepimpinan 2006 dan Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan 2006.
Berbekalkan asas seni yang kukuh sememangnya menjadi batu loncatan untuk beliau menceburi bidang industri fesyen kreatif. Bersandarkan minat dan ilmu yang ada dari zaman universiti lahirlah jenama VICTORIA SLOANE .
Kini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Kreatif jenama VICTORIA SLOANE sejak 2016. Victoria Sloane merupakan jenama aksesori Malaysia yang memfokuskan produk pada tas tangan wanita. Jenama ini hanya menjalankan perniagaan secara dalam talian dan seterusnya menjadi antara “top 5” jualan yang tertinggi dalam bidang fasyen di dalam platform Shopee Malaysia.
“Saya melihat peluang dan ruang ini sebagai salah satu cara membalas budi buat UiTM yang telah menjadi tempat saya menimba ilmu. Sementelah pula, baru-baru ini saya telah terpilih sebagai Wanita Ikon Selangor 2022, saya merasakan pengiktirafan ini sebagai satu pencapaian tertinggi dalam perjalanan hidup saya selama ini.
Saya menerima ini sebagai satu tanggungjawab sosial yang akan mengubah kehidupan saya dan wanita lain di masa akan datang,” ujar Datin Hajah Rita yang ingin menjadi inspirasi dan memberi aspirasi kepada kaum wanita di luar sana untuk tidak takut bermula di usia yang muda.
Seorang yang ceria namun tegas dan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan, wanita yang tidak pernah lekang dengan senyuman ini menyahut cabaran untuk menggunakan platform Wanita Ikon Selangor 2022 sebagai langkah terbaik untuk mendekati permasalahan wanita di Selangor khususnya.
Dari segi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, baru-baru ini Datin Hajah Rita turut terlibat dalam forum Literasi Undang-Undang Syariah: Menganiaya Isteri Menzalimi Suami? Are You Okay? di mana ia menampilkan panel-panel hebat antaranya termasuklah Presiden Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang, Dato Mohd Zaidi Bin Mohd Zain, Dato Hjh. Hazizah Bt Kassim serta Pensyarah & Personaliti Dakwah, Dato’ Dr Norhafizah Musa.
Intipati forum ini membincangkan mengenai isu dan masalah rumahtangga serta turut membincangkan mengenai peruntukan undang-undang syariah bagi membantu mereka dalam menyelesaikan masalah.
Wanita IKON Selangor 2022 ini mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) sebagai salah satu dari program CSR Are You Okay? di mana ia bermatlamat untuk memastikan umat Islam di negara ini terutamanya golongan B40 diberi akses kepada keadilan khususnya di Mahkamah Syariah.
Untuk rekod, Datin Hajah Rita Sosilawati sedang melalui proses pemilihan untuk dinobatkan sebagai Wanita Ikon Malaysia 2022 yang dianjurkan oleh KELAB WANITA IKON MALAYSIA (KWIM) ditubuhkan pada 2hb September 2015. Ia adalah sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Governmental Organization) yang ditubuhkan oleh pemenang-pemenang serta finalis-finalis Anugerah Wanita Ikon Malaysia, bertujuan untuk pembangunan dan pemerkasaan wanita di seluruh Malaysia tidak kira agama, kaum, adat atau budaya, generasi atau latar belakang mereka