Tahniah Dr Amalina & suami tersayang, Alex!
Melalui perkongsian di laman Instagram miliknya, Dr Nur Amalina Che Bakri memaklumkan dirinya telah bergelar ibu!
We would like to introduce our beautiful princess, Arabella Mia, born last week at St. Thomas’ Hospital.
We adore her and cherish every moment with our little bundle of joy. We are excited to see what the future holds, Alhamdulillah. Lots of love – Amalina & Alex
Menjengah laman Instagram miliknya, Dr Amalina selamat melahirkan seorang anak perempuan minggu lalu di St Thomas’ Hospital. Bayi tersebut diberi nama Arabella Mia.
Baru-baru ini, soal jawab di IG story Dr Amalina nyata mencuri tumpuan selepas beberapa soalan diajukan berkaitan manfaat yang diterima beliau sebaik melahirkan anak nanti. Antara soalan yang sempat dijawab adalah berkaitan berapa lama cuti bersalin yang bakal atau boleh diambil oleh Dr. Amalina selepas bersalin nanti.
Untuk pengetahuan, United Kingdom memperuntukkan cuti bersalin sebanyak 39 minggu malah cuti itu boleh dipanjangkan sehingga ke 52 minggu.
Malah menurut Dr Amalina, cuti bersalinnya akan bermula pada minggu yang dijangka akan bersalin malah diberi pilihan untuk menggunakan cuti sehingga setahun namun dia berkemungkinan akan cuti selama 10 bulan.
Bukan itu saja, Dr. Amalina turut menerima soalan berkenaan dengan gaji yang bakal diterima sepanjang cuti bersalin dan jawapannya memang buatkan ramai terkesima.
Nampaknya, Dr Amalina akan menerima gaji penuh untuk 5 bulan pertama selepas bersalin dari tempat dia bertugas kini dan kemudiannya akan dibayar gaji dari kerajaan. Ternyata perkongsian Dr. Amalina mengundang pelbagai respon dan ramai.
Selamat berpantang Dr Amalina. Enjoy your confinement!
Trending & Bualan Ramai, Ini Sebabnya DR ZULKIFLI & KHAIRY JAMALUDDIN Jadi Menteri ‘Favourite’!
Sebaik Perdana Menteri mengumumkan barisan Jemaah Menteri Kabinet yang baharu semalam, dua nama Menteri ini antara yang paling trending dan menjadi bualan ramai.
Rata-rata rakyat menzahirkan rasa syukur dan teruja selepas mengetahui nama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Khairy Jamaluddin tersenarai sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing. Berdasarkan pemerhatian sejak semalam juga mendapati kedua-duanya insan hebat ini menjadi menteri ‘favourite’ dalam kalangan rakyat tidak kira dari golongan muda mahupun berusia.
DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Pada pukul 10 pagi tadi, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selesai mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara (Senator) di Parlimen. Yang pasti, pelantikan beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan calang-calang kerana Datuk Seri Dr Zulkifli memiliki pengetahuan yang luas dalam bidang pengajian Islam.
Beliau yang sebelum ini merupakan Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Universiti Islam Madinah, Arab Saudi; Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Syariah), Islamic Sciences & Arabic University, Jami’ Al-Sadat, Damascus, Syria dan bergelar Doktor Falsafah Syariah (Fatwa), dari Universiti Sains Malaysia.
Menelusuri kerjaya Datuk Seri Dr Zulkifli, beliau ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama dua tahun sejak 2006. Empat tahun kemudian, beliau menganggotai Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sembilan selama sedekad sejak tahun 2000. Pada tahun 2005 pula, Datuk Seri Dr Zulkifli juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Terengganu selama 9 tahun.
Pada tahun 2014, Datuk Seri Dr Zulkifli dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Menariknya, selain berpengetahuan luas dalam bidang pengajian Islam dan menjadi rujukan ramai, tokoh ilmuan ini juga telah menghasilkan lebih 300 buah buku. Ketika Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana
Menteri kelapan pada 1 Mac lalu, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli turut berada di Istana Negara untuk menyampaikan bacaan doa.
Dan kira-kira seminggu kemudian, beliau membuat kunjungan hormat ke pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyampaikan laporan perkembangan semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selain turut menghadiahkan koleksi buku-buku terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
YB KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Sains, Teknologi & Inovasi
Populariti Yang Berhormat Khairy Jamaluddin mula bersinar sejak beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Disifatkan seorang pemimpin yang memiliki peribadian
menarik dan mesra rakyat, Khairy sekali lagi diberi mandat memimpin kementerian. Namun kali ini, beliau ditugaskan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Khairy yang kini berusia 44 tahun mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup berjaya. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi
dari University of Oxford. Dek kerana minatnya dalam bidang politik, Khairy turut menyambung pengajian peringkat Sarjana Undang-Undang & Teori Politik di University
College of London.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, suami kepada Nori Abdullah ini pernah menjadi hos porgram ‘Dateline Malaysia’ di NTV7 selama setahun pada 1998. Setahun kemudian, beliau menjadi penulis The Economist yang pada tahun sama turut menyaksikan beliau diterima berkhidmat sebagai Penolong Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Jawatan itu disandang Khairy selama empat tahun sebelum dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari tahun 2003 hingga 2004.
Pada tahun 2004 hingga 2006 pula, Khairy dilantik sebagai Pengarah Penasihat Korporat ECM Libra Berhad dan menyandang Pengerusi Liga Super Malaysia Sdn Bhd pada tahun
berikutnya. Tahun 2007 menyaksikan detik permulaan kerjaya Khairy secara aktif dalam bidang sukan.
Selain menjadi Pengerusi Liga Super Malaysia, beliau turut dipilih sebagai Timbalan Presiden II, Persatuan Bola Sepak Malaysia selama tiga tahun. Setahun kemudian, beliau turut menjadi Ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan sebelum menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selama setahun mulai 2012.
Kemuncak kerjaya Khairy Jamaluddin ialah pada tahun 2013 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Belia & Sukan selama lima tahun bermula 2013 hingga 2018. Pembabitan Khairy dalam arena politik menyerlah apabila beliau menyertai parti UMNO pada tahun 1998. Bermula tahun 2001 hingga 2004, beliau menjadi Exco Pemuda dan tidak lama selepas itu dilantik Timbalan Ketua Pemuda dari tahun 2004 hingga 2009 dan Ketua Pemuda Bahagian Rembau dari tahun 2004 hingga 2013. Khairy seterusnya berjaya mendapat kepercayaan pucuk pimpinan parti apabila menjadi Ketua Pemuda selama sembilan tahun dari tahun 2009 hingga 2018.
Sumber: BERNAMA
Takut Payu Dara Kiri Dipotong, Wanita Ini Sembunyi Penyakit TUMOR Selama 4 Tahun!
Di sebalik perwatakannya yang ceria dan kesempurnaan fizikal yang dimiliki tiada siapa pernah menyangka wanita ini sebenarnya telah kehilangan payu dara kirinya ekoran menderita penyakit Benign Phillodes Tumor lima tahun lalu.
Dalam usia 29 tahun dan masih bujang, Nurnawaitul Najwa Ahmad Nazri atau panggilan mesranya Najwa akur dengan takdir Ilahi demi meneruskan kehidupan sementara nyawa dikandung badan. “Sebagai wanita yang masih bujang ini sesuatu yang sukar untuk saya terima. Segalanya bermula sekitar Oktober 2013. Rupanya kesakitan di bahagian payudara kiri selama ini disebabkan adanya ketulan.
Waktu itu saiz ketulan sebesar sebiji telur ayam. Disebabkan rasa malu dan takut payudara dipotong, ditambah pula faktor kekangan wang maka saya pendamkan hal ini tanpa rawatan susulan sehinggalah ke tahun 2017.
Empat tahun saya sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan keluarga. Ketulan kian membesar sehingga sebesar cup D bersamaan dengan 17x15cm. Beratnya pula mencecah 860gram,” kongsi Najwa anak kelahiran Kelantan ini.
PASRAH
“Akhirnya sekitar Julai 2017 ibu bapa saya dapat tahu juga mengenai perkara ini. Namun begitu saya lega. Biarlah mereka tahu sendiri kerana sukar untuk saya jelaskan keadaan sebenar. Sebenarnya saya tak sanggup buat mereka bimbang apatah lagi menambah beban masalah kewangan ketika itu.
Sebab itulah saya sanggup pendam derita ini seorang diri sehinggalah keadaan payudara kiri sudah di tahap kronik. Semasa di awal-awal pemeriksaan, rata-rata doktor mengatakan kemungkinan 90% ia adalah kanser! Saya jadi down sangat, penampilan diri pun terabai.
Bukanlah perkataan kanser itu yang menakutkan saya tapi terpaksa menerima hakikat yang payu dara perlu dipotong membuatkan saya takut. Sebelum tiba tarikh pembedahan iaitu pada 22 Mac 2018, macam-macam rawatan alternatif dibuat antaranya rawatan sengat lebah di payu dara dan minum madu, termasuk pergi ke Kelantan bagi mendapatkan air penawar.
Sehinggalah sampai satu tahap saya dah tak mampu lagi nak bertahan. Waktu itu ketulan makin membesar terutama di bahagian puting. Saya kata pada ibu “Bu..Along dah ready untuk operate.”
Saya pasrah ‘melepaskan’ payu dara kiri dan berkata pada diri sendiri, selepas pembedahan I am the new person..the new me!
Melepaskan bukan bermaksud saya berputus asa sebaliknya mengharapkan peluang kehidupan baru yang lebih cerah dan membahagiakan. Setelah pembedahan selamat dijalankan, keputusannya keluar pada 24 April 2018. Alhamdullilah syukur kepada Allah SWT, ia bukan kanser sebaliknya disahkan sebagai Benign Phillodes Tumor. Saya tak perlu buat rawatan radioterapi dan kemoterapi.
Memang benar, selepas operation saya bertambah ceria dan bertenaga. Tiada lagi rasa sedih dan kecewa seperti dulu,” ujar anak sulung daripada lima beradik ini.
SUMBER KEKUATAN
“Semestinya diri saya sendiri. Bayangkan selama empat tahun saya menanggung kesakitan seorang diri dengan ketulan yang panas membakar setiap hari. Beratnya pula amat membebankan. Namun saya takkan lupa jasa ibu bapa yang tak pernah jemu-jemu berikhtiar demi melihat saya kembali pulih seperti sedia kala.
Melalui penderitaan ini saya melihat banyak hikmah. Selain sebagai ‘hadiah terbesar’ dari Allah SWT, saya dapat merasai bagaimana rasanya mempunyai implant di payu dara.
Saya juga semakin matang, kuat dan ceria. Kini, walau apa pun masalah yang dihadapi sedikit pun tidak mengganggu mood saya untuk terus ceria. Paling ketara ialah saya berjaya mengawal berat badan dan hilang sebanyak 9kg. Ditambah pula dengan kata-kata semangat daripada surgeon yang menyarankan saya untuk makan buah, sayur dan sumber protein.
Kalau dulu saya memang tak boleh hidup tanpa nasi. Tapi sekarang saya dah tak ambil nasi di samping aktif berbasikal. Seterusnya impian saya untuk berkongsi ilmu dan memberi kesedaran buat seluruh wanita tentang penjagaan kesihatan payudara yang betul. Jika ada sesuatu yang tak kena segeralah bertemu doktor,” akhiri Najwa.
Nasi Goreng ‘Cheminahsayang’ & Nasi Berlauk, Air Tangan Raja Permaisuri Agong Untuk FRONTLINERS
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memang terkenal dengan sikapnya yang suka menyantuni rakyat jelata dan hebat memasak di dapur. Jika sebelum ini petugas media yang ‘berkampung’ di depan Istana Negara telah disajikan hidangan istimewa dari istana ekoran kemelut politik.
Kini, para petugas hadapan (FRONTLINERS) dapat menikmati sendiri air tangan Raja Permaisuri Agong setelah bertarung nyawa merawat pandemik COVID-19. Raja Permaisuri Agong telah berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan baginda kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.
“Hari ini saya masak untuk doktor-doktor, jururawat dan petugas di Hospital Sg Buloh…semoga ALLAH SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negara ku Malaysia….,” titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram baginda.
Semua FRONTLINERS bertuah dapat menikmati hasil masakan Raja Permaisuri Agong yang terdiri daripada nasi putih, kari ayam, sayur goreng dan telur dadar yang dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.
Manakala nasi goreng ‘cheminahsayang’ dan sambal tumis bilis serta kek muffin menjadi menu untuk petugas CPRC.
“Nasi goreng cheminahsayang dan sambal tumis bilis… untuk pegawai , doktor dan jururawat bertugas corona di CPRC,” titah Baginda.
Semua FRONTLINERS telah mengucapkan terima kasih atas sumbangan makanan menerusi laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya.
Jika Raja Permaisuri Agong begitu prihatin dengan kebajikan FRONTLINERS mengapa tidak kita sebagai rakyat untuk menyokong kempen #JomDudukRumah #DudukRumah #KitaJagaKita #StayAtHome. Semoga pandemik COVID-19 ini segera hilang dari muka bumi ini.
Sumber: BERNAMA