DR KALEENA Bangga Gayakan Pakaian Tradisi Orang Ulu Ketika Terima PhD Di Scotland

Berpeluang menuntut ilmu di luar negara dan bila tibanya hari konvokesyen pastinya bakal graduan bukan saja teruja untuk menerima skrol pengijrahan masing-masing bahkan penampilan di hari istimewa itu turut diberi perhatian.

Selain berpakaian kemas, graduan juga digalakkan untuk menyarungkan pakaian tradisional mereka. Sesiapa pun pasti berasa bangga dengan budaya dan adat resam turun temurun.

Dr Kaleena Bulan Micheal, pakar mata berketurunan etnik Orang Ulu yang berasal dari Miri, Sarawak. Tanpa ragu, dia memilih untuk berkongsi keindahan pakaian tradisi kaumnya di Eropah bersempena hari istimewanya menerima ijazah Doktor falsafah (PhD) di University of Glasgow, Scotland.



Wanita berusia 39 tahun ini yang menamatkan Kajian Klinikal dan Pembedahan Sains Optometri berkata, beliau mengenakan pakaian itu kerana mahu mempamerkan tradisi dan kebudayaan Sarawak di luar negara. Dr Kaleena berharap agar pakaian itu sentiasa dihargai terutamanya oleh generasi muda.


“Sudah tentu saya berasa gembira kerana berjaya menamatkan PhD.

“Bertambah manis apabila dapat mempamerkan kebudayaan Sarawak pada hari bahagia itu,” katanya ketika ditemu bual oleh TVS secara dalam talian baru-baru ini.

Dr. Kaleena bergelar pakar bedah sejak dua tahun lalu dan kini menetap bersama suami serta anaknya di United Kingdom.


Kecintaan wanita ini terhadap pakaian beridentitikan etniknya cukup menebal. Ini kerana Dr Kaleena turut mengenakan pakaian atau aksesori yang melambangkan tradisi Orang Ulu termasuk milik suku Kenyah dan Lun Bawang pada dua majlis konvokesyen awalnya.


“Ketika menerima Ijazah Sarjana Muda (Perubatan dan Pembedahan) di Universiti of Dundee pada 2008, saya memakai Pata’.

“Seterusnya ketika menamatkan Ijazah Sarjana di Kolej Oftalmologi Diraja London pada 2018, saya mengenakan Tapong Laka’ Anyam,” kongsinya.

Pada 29 Jun 2022 saat melangkah ke Bute Hall untuk menerima skrol PHD, Dr Kaleena memilih Tapong Se’.

“Ya, sudah pasti orang ramai di situ tertarik apabila melihat saya mengenakan busana tradisional gabungan Kenyah dan Lun Bawang.

“Ketika memakai Pata, rakan-rakan dari United Kingdom mengatakan saya ibarat seorang puteri yang menaiki pentas,” katanya.

Menurutnya persalinan Tapong Laka’ Anyam yang dipakai pada 2018 menyebabkan pensyarah dan rakan-rakannya menggelarnya Pocahontas.

Dr. Kaleena berkata, ramai yang ‘menyapa’ untuk berfoto, seolah-olah dirinya selebriti pada hari berkenaan. Namun beliau tidak menghampakan permintaan mereka itu.

“Sebenarnya, ibu dan ayah yang menghadiri setiap majlis konvo saya akan turut mengenakan pakaian tradisi Orang Ulu. Tidak hairanlah kami menjadi perhatian.”

PENGALAMAN PULIHKAN PESAKIT
Sepanjang bergelar doktor mata, Dr. Kaleena berkata tiada ganjaran yang lebih besar selain dapat berbakti kepada masyarakat.

“Apabila pesakit pulih, perasaan puas itu sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Saya terkenang kes seorang pesakit yang hilang penglihatan selama empat tahun. Setelah pulih, saya melihat dia memeluk anak dan cucunya. Itulah momen paling indah bagi saya,” katanya.

Dr. Kaleena turut menitipkan pesan kepada orang Sarawak terutama masyarakat Orang Ulu dan Dayak agar jangan mudah putus asa untuk mengejar impian.

“Ada ketika kita tersadung dan terjatuh, namun ada harinya kita dapat berlari dan mengejar impian.

“Maka, amat penting untuk mencari rakan yang bagus dan menerima sokongan daripada ahli keluarga kerana tanpa mereka, saya tidak akan pergi jauh,” katanya.

Sumber: TVS

Kredit Foto: Facebook Kaleena Sampley

 

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad