DR KATHREENA Kongsi Detik Mendebarkan Ketika Terpaksa Lalui Tempoh PKP Selama 2 Minggu Di Shanghai, China

Sejujurnya, penulis begitu kagum dengan Dr Kathreena Kadir atau mesra digelar sebagai Dr Kath ini. Dalam usia 39 tahun Dr Kath punya kehidupan sempurna seperti didambakan setiap wanita iaitu kerjaya hebat dan keluarga bahagia.

Perkongsiannya ini juga sarat dengan informasi untuk kita hadamkan terutama tentang jerit perih sebenar yang terpaksa dilalui para petugas barisan hadapan melawan wabak COVID-19.

Dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah doktor cantik ini merupakan ibu kepada dua anak berusia antara 8 dan 3 tahun. Dr Kath merupakan pensyarah kanan di Jabatan Sains Klinikal Mulut & Maksilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), beliau merupakan pakar perunding bagi pesakit yang mengalami kanser mulut. Menariknya, Dr Kath adalah anak jati Sabah pertama memiliki kepakaran dalam bidang diceburinya.

MERASAI TEMPOH PKP DI SHANGHAI, CHINA

“Saya sebenarnya terpaksa melalui tempoh PKP sebanyak dua kali. Saya terlebih dulu merasai bahang COVID-19 di negara asal wabak ini bermula iaitu China. Ketika itu saya baru saja tamat latihan sub kepakaran di Shanghai pada akhir Januari 2020. Pada masa sama, China mengumumkan penularan wabak COVID-19 (waktu itu masih dikenali sebagai nCov-2019).

Wuhan ketika itu telah pun melalui fasa lockdown. Shanghai pula diarahkan menjalani tempoh PKP. Hospital tempat saya menjalani latihan sub kepakaran itu juga diwartakan sebagai pusat saringan untuk kes COVID-19. Seluruh ahli keluarga dan rakan sekerja di Malaysia sangat risau dengan keselamatan saya yang berseorangan di sana ketika itu.

Mereka risaukan kesihatan saya, bimbang kemungkinan besar saya tidak dapat kembali ke Malaysia jika Shanghai diperintahkan lockdown. Syukur, saya cuma sempat melalui fasa PKP di Shanghai selama hampir dua minggu sebelum kembali ke Malaysia. Sebaik tiba di Malaysia, saya terlebih dulu mengasingkan diri daripada keluarga selama dua minggu sebagai langkah keselamatan.

PERANAN SEBAGAI FRONTLINER

Apabila wabak ini tular di Malaysia dan diarahkan menjalani tempoh PKP, saya berserta unit di jabatan menggunakan pengalaman pernah melalui tempoh PKP di Shanghai sebagai panduan dalam menguruskan pesakit di Malaysia. Ini adalah detik yang belum pernah berlaku di Malaysia, dalam keadaan kita semua tidak bersedia. Namun, sebagai pakar perubatan kami sedaya upaya melakukan yang terbaik.

Sehari hanya 20 orang saja dibenarkan bertugas di unit kami sebagai frontliners yang terdiri daripada barisan pensyarah dan konsultan, doktor pelatih pembedahan sarjana, doktor pergigian, jururawat, pembantu pembedahan pergigian, dan pembantu perawatan kesihatan.

Sejak PKP, kami menguruskan pesakit yang mengalami masalah kecemasan di muka dan mulut secara rotasi di klinik dan hospital. Ini memastikan semua protokol perlindungan diri ketika mengendalikan pesakit dapat dijalankan dengan betul, berkesan dan mematuhi arahan PKP. Sekaligus mengelakkan jangkitan silang dan penularan wabak di kalangan staf bertugas.

Penyakit COVID-19 sangat mudah berjangkit terutama melalui sentuhan langsung ke bahagian mulut, hidung dan mata, serta aerosol. Golongan doktor pergigian mencatatkan peratusan risiko tertinggi untuk dijangkiti! Kami merupakan golongan health care workers yang paling berisiko tinggi kerana bekerja secara langsung di mulut dan muka pesakit dalam jarak yang sangat dekat.

Pesakit yang berkemungkinan positif COVID-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala masih boleh menjangkiti orang lain. Maka, kami lebih extra cautious. Setiap pesakit disaring terlebih dulu iaitu dicatatkan suhu badan dan sejarah perjalanan.

Ancaman ini menjadi lebih teruk apabila ada segelintir pesakit yang tidak mahu berterus terang tentang sejarah perjalanan mereka. Every patient is a suspect, even though without travelling history or not showing any sign and symptoms. Everyone that walks through the door is considered as high risk.

Beberapa minggu sebelum PKP, pihak hospital terpaksa menangguhkan semua kes elektif di bawah bius setempat dan bius am termasuk menghadkan kepada jenis-jenis rawatan berunsur kecemasan sahaja. Pada ketika itu juga, doktor perawat masih belum bersedia penuh dengan perlindungan yang cukup bagi mengurangkan risiko dijangkiti.

Kami terpaksa menjalani latihan pemakain dan penanggalan “donning and doffing” of personal protective equipment (PPE) dan memastikan bekalan PPE sentiasa mencukupi. PPE adalah pakai buang dan tidak boleh diulang untuk pesakit lain. Disebabkan PPUM diwartakan sebagai salah satu hospital yang bertanggungjawab merawat pesakit positif COVID-19 dan PUI (patient under investigation) pihak hopsital mengutamakan pesakit-pesakit ini.

Sejujurnya, the world of Dentistry will never be the same again after COVID-19. Walaupun setelah PKP tamat, pandemik ini masih memerlukan masa yang lama untuk pulih. Setiap pesakit yang datang untuk terima rawatan masih dalam kategori disyaki. We need to protect ourselves termasuk memastikan keselamatan pelajar pergigian dan doktor pelatih pakar pergigian dapat menjalani pembelajaran dan latihan dengan selamat.

NASIHAT

Buat mereka yang pasangannya doktor, lebih-lebih lagi jika isteri seorang doktor bersedialah untuk memahami selok belok kerjaya beliau. Termasuk ‘berkongsi’ masa isteri bersama para pesakitnya. Bantu isteri untuk menjadikannya seorang ibu dan isteri terbaik buat keluarga seterusnya menjadi doktor berdedikasi di hospital. Pengorbanan isteri adalah atas dasar kepentingan tugas yang menjadi fadhu kifayah.

Pesanan buat rakyat Malaysia, walaupun dengan hanya duduk di rumah anda sebenarnya memainkan peranan sangat besar dalam membantu para petugas barisan hadapan yang setiap saat bertarung nyawa menguruskan pesakit-pesakit COVID-19.

Hentikan sikap tidak endah atau ‘Tidak apa, sebab bukan aku yang kena.’ Hargai usaha kerajaan dan patuh setiap arahan. Buat rakan-rakan seperjuangan, usah gentar. Have faith that it is His decision to choose heroes amongst us. Today we learn that not all heroes wear capes, yet the best heroes’ wears mask and face shields.

Berjuanglah di medan perang ini bersama-sama, semoga kita tidak jatuh! Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan memberkati setiap amalan baik kita.

KERJAYA DISOKONG SUAMI

Saya bertuah kerana memiliki suami yang merestui dan mendorong saya untuk berjaya dalam bidang ini. Suami rela melepaskan saya pergi menjalani latihan sub kepakaran di Shanghai, China selama 12 bulan.

Saya memilih bidang ini kerana pada mulanya mempunyai pandangan bahawa doktor pergigian sesuai bagi wanita yang inginkan balance antara keluarga dan kerjaya. Bekerja di klinik dan mempunyai 9-5 working shift. Namun, minat mendalam terhadap bidang pembedahan mengubah haluan saya kepada “hospital based” dentistry yang serupa seperti doktor perubatan dan pembedahan yang beroperasi di hospital.“

Dr Kath memulakan kerjaya pada tahun 2005 setelah tamat Ijazah dasar Bachelor of Dental Surgery (BDS), Fakulti Pergigian, UM. Kemudian berkhidmat di Sabah selama empat tahun sebelum kembali ke UM bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Klinikal Pergigian (Master of Clinical Dentistry) dengan kepakaran dalam Pembedahan Mulut & Maksilofasial (Oral & Maxillofacial Surgery). Setalah tamat pengajian beliau diserap masuk ke Fakulti Pergigian UM sebagai ahli akademik (pensyarah pargigian) dari tahun 2013 sehingga kini.

Kredit Foto: Koleksi Peribadi Dr Kathreena Kadir

#syukurbersama

Share
Published by
Amy Mohd