Dr Nurul Ain Tegaskan Setiap Wanita Perlu Tahu Kandungan Produk Yang Digunakan

Penampilan diri sangat penting kerana memberi persepsi pertama ketika bertemu. Wanita berkerjaya perlu lebih menitik-beratkan penampilan agar menyerlah personaliti yang mudah didekati. Sering bertemu dengan klien, berurusan dengan sektor korporat, apatah lagi ketika beraksi di lensa kamera televisyen keyakinan diri dalam penampilan sangat penting. Perlu kah berhias seperti seorang selebriti? Sebenarnya penampilan yang sempurna datang daripada kulit yang sihat dan cantik untuk membina keyakinan diri berhadapan dengan masyarakat.

Definisi cantik itu pada anda?

Cantik itu bersifat holistik dan perlu dipelihara dari luar dan dalam. Dari segi luaran, kulit yang bersih dan berseri dapat dicapai dengan rutin penjagaan harian yang asas dan rutin penjagaan bulanan seperti rawatan kulit. Manakala penjagaan dalaman pula, melalui pemakanan seimbang dan rutin senaman dapat membantu pengaliran darah yang baik dan rangsangan hormon tertentu dalam badan untuk wajah lebih berseri.

Bagaimana rutin kecantikan diri anda?

Setelah siapkan anak-anak untuk ke sekolah dan sebelum keluar ke tempat kerja saya akan luangkan masa dalam 30 hingga 40 minit untuk bersenam. Kemudian diteruskan dengan rutin harian untuk penjagaan kulit seperti membersihkan muka, pelembap dan menyapu krim tabir suria sebelum memulakan solekan.

Apa yang anda titik-beratkan dalam menjaga kecantikan?

Sudah pasti saya menitik-beratkan penjagaan asas kulit, agar bersih dan licin. Saya tidak berapa gemar menggunakan solekan tebal dan tidak mempunyai banyak produk kosmetik. Tetapi, saya  wajib mempunyai produk penjagaan kulit yang bagus dan rutin bulanan penjagaan kulit seperti hydrafacial untuk menghilangkan white head dan black head, laser carbon peel untuk memberikan tona kulit yang lebih sekata , dan mengecilkan pori-pori.

Benar kah wanita berkerjaya perlu menjaga kecantikan?

Wanita secara umum harus menjaga kecantikan, tetapi bagi mereka yang berkerjaya harus memberi tumpuan yang lebih oleh kerana mencerminkan personaliti. Wanita menjaga kecantikan sering kali dikaitkan dengan seseorang yang rajin sifatnya, bahkan memberi imej yang bagus pada majikan dan klien.

Ketika membeli produk kecantikan, apa yang menarik perhatian anda?

Saya akan melihat pada bahan kandungan yang terdapat dalam produk itu. Kesesuaian sesuatu produk dengan kulit masing-masing.

Pada pandangan anda perlu kah wanita itu sentiasa bersolek untuk kelihatan cantik?

Tidak semestinya wanita perlu sentiasa bersolek. Melalui penjagaan asas yang sempurna wanita memperoleh kulit bersih dan licin. Jika kulit cantik walau penampilan tanpa solekan tetap akan kelihatan berseri dan cantik. Maka bagi saya, langkah yang paling penting ialah penjagaan kulit yang rapi setiap hari agar kulit tidak mempunyai jerawat atau jeragat.

Setiap wanita dilahirkan cantik, tetapi terdapat juga segolongan wanita yang taksub untuk cantik seperti selebriti, apa pandangan anda?

Situasi ini mungkin disebabkan oleh zaman sosial media, apabila budaya swafoto boleh membuatkan seseorang lebih self-conscious. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa budaya swafoto ini boleh mendorong seseorang kepada personaliti narsisistik. Maka, seseorang wanita itu harus berhati-hati agar tidak terlalu takjub dengan kecantikan hingga boleh dianggap tidak bersyukur dengan keadaan fizikal yang dilahirkan.

Adakah anda setuju bantuan teknologi dalam kecantikan?

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai kulit yang cantik dengan bantuan teknologi. Sebagai contoh teknologi radio frekuansi yang mempunyai kebolehan untuk membantu menganjalkan kulit melalui stimulasi pada sel kolagen dan elastin.

Lambakan produk kecantikan sekarang terlalu banyak, beri 1 tip untuk wanita memilih produk yang terbaik.

Kebanyakan produk di pasaran ingin menunjukkan kesan yang cepat dan mungkin menggunakan bahan-bahan yang toksik dan boleh memudaratkan kesihatan. Apabila memilih sesuatu produk, pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak mengandungi bahan seperti merkuri dan hidrokinon.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan