Baru-baru ini Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda atau Double Face Mask. Pemakaian pelitup muka berganda ini telah disarankan oleh Center for Disease Control and Prevention (CDC), Amerika Syarikat.
Ada yang menyokong dan tak kurang juga merungut tentang penggunaan pelitup muka yang disarankan ini. Tapi, untuk keadaan sekarang ini, mencegah adalah lebih baik dari mengubati, kan.
Dr Say atau nama sebenarnya Dr Shazril Shaharuddin telah terpanggil untuk berkongsi pengetahuannya tentang penggunaan double face mask ini menerusi platform media sosialnya. Bagus penjelasan Dr Say berkenaan pemakaian pelitup muka berganda ini.
“Baru-baru ini Centers for Disease Control and Prevention (CDC) ada melakukan satu study yang mana dengan memakai dua mask, ia dapat menapis lebih banyak partikel berbanding satu mask,” tulis suami kepada Dr Azura Abas ini.
Rupanya pemakaian double face mask ini bukan seperti yang difikirkan. Tambah Dr Say lagi, “CDC does not refer to pakai 2 surgical mask serentak. Akan tetapi study mereka refer to mask kain on top of surgical mask (macam dalam gambar saya),” tulis doktor kacak ini.
CARA PEMAKAIAN PELITUP MUKA BERGANDA
Dr Say turut menjelaskan keberkesanan pemakaian double face mask ini. Double mask dapat filter 85.4 % of particles mana kala single surgical mask filter 56.1 % dan cloth mask filter 51.4 % of particles. “Tapi kalau ampa pakai mask N95, tak perlu doubling pun sebab N95 filter 95 % of particles,” jelasnya lagi.
Bapa kepada seorang anak lelaki ini sempat menitipkan nasihat kepada semua agar menjaga diri sendiri dengan, jaga penjarakan fizikal, pandai duduk rumah, pandai patuh SOP. “KKM tak wajibkan pun double mask ni cuma kepada mereka yang nak amik extra precaution, double mask’s efficiency has been validated by CDC.
Terpulang nak double mask atau tidak. Tapi kalau yang nak perlindungan lebih, pakailah double face mask memandangkan kes sangat tinggi sekarang, silakan. Stay safe & take care peeps,” coret Dr Say.
Lahir 1 Syawal, Pasangan KEMBAR Nik Aidil Maria & Nik Aidil Marina Sambut Hari Lahir Dua Kali
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Tinjau Kediaman Mewah Saif Ali Khan & Kareena Kapoor, Nilai ISTANA PATAUDI Hampir RM500 Juta!
Selain popular dan tampan, nama aktor Bollywood Saif Ali Khan, 50 tahun, yang juga suami kepada Kareena Kapoor ini juga menggemparkan peminatnya apabila dilaporkan merupakan seorang putera raja dari keturunan keluarga diraja India.
Awal Disember lalu, pasangan bintang Bollywood itu dilihat berkumpul di Pataudi Palace atau Istana Pataudi bersama teman-teman mereka. Dalam gambar itu, Kareena Kapoor kelihatan elegan manakala Saif kelihatan seperti seorang raja dengan latar belakang Istana Pataudi yang merupakan warisan nenek moyangnya.
Laporan dari bollywoodshaadis.com menyebut bapa Saif Ali Khan, Mansoor Ali Khan Pataudi adalah seorang bekas kapten kumpulan kriket di India dan juga Nawab Pataudi iaitu pemerintah Pataudi dari era 1952 hingga 1971.
Pataudi adalah sebuah bandar indah yang terletak di kaki bukit Aravali, Daerah Gurgaon, India. Ini adalah bandar yang pernah menjadi kerajaan kecil sebelum India mencapai kemerdekaannya.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal dunia, Saif Ali Khan telah dinobatkan sebagai Nawab Pataudi. Beliau adalah putera ke-10 yang masih mempunyai darah biru di India.
Seperti putera di negara lain, Saif juga mempunyai istana iaitu Istana Pataudi yang terletak di kota Pataudi di daerah Gurgaon di Haryana.
Sayangnya selepas kemerdekaan India, keluarga itu kehilangan title (Pataudi) mereka termasuklah istana tersebut. Dalam satu temu bual dengan akhbar India, Saif mendedahkan bagaimana mereka terpaksa ‘menebus’ semula hartanah itu menggunakan wang simpanannya sebagai pelakon filem daripada rangkaian hotel Neemrana.
Kini Istana Pataudi kembali menjadi milik pasangan ini dan dijadikan rumah penginapan singgah keluarga mereka. Apakah rupa interior Istana Pataudi? Mari lihat sedikit info tentang istana ini seperti dilaporkan oleh India Today.
(1) Warisan Keluarga Pemerintah
Pataudi Palace seperti yang dijelaskan sebelumnya, telah diserahkan dari pemerintah yang terakhir, Iftikhar Ali Khan kepada anaknya, Mansoor Ali Khan.
Selepas Mansoor Ali Khan meninggal, Saif Ali menjadi pewaris. Jadi ia mempunyai istana dengan seni bina yang mengagumkan, sebuah dewan besar dan taman-taman yang rimbun.
(2) Rumah Kolonial
Pada awal tahun 1900-an, Pataudi Palace telah direka dan dibina dalam gaya rumah kolonial Imperial Delhi oleh Robert Tor Russell, dibantu oleh arkitek Austria, Karl Molt von Heinz. Selepas mewarisi tempat ini, Saif Ali Khan mengambil pereka dalaman Darshini Shah untuk mengubahsuainya.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan keselesaan dan menjadi lebih bergaya daripada hanya mewah dan besar.
(3) Istana Bernilai RM466 Juta
Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan sebenarnya banyak menghabiskan kehidupan sehariannya di Mumbai. Tetapi, mereka sering memilih Pataudi Palace sebagai lokasi percutian musim sejuk.
Seperti yang dilaporkan oleh architecturaldigest.in, rumah percutian Saif Ali Khan dan ahli keluarganya ini mempunyai kawasan seluas 10 hektar dan mempunyai 150 bilik, termasuk tujuh bilik persalinan, tujuh bilik tidur, tujuh bilik snooker, serta ruang tamu dan ruang makan mewah. Istana ini bernilai RM466 juta.
(4) Dihiasi Foto Lama
Sebagai warisan keluarga diraja, tidak hairanlah Istana Pataudi mempunyai banyak kenangan sejarah. Semua kenangan dicatatkan dalam gambar-gambar lama yang menghiasi di pelbagai tempat di istana yang indah ini.
(5) Pernah Dijadikan Hotel
Mansoor Ali Khan pernah menyewa tempat ini selama 17 tahun dengan Francis Wacziarg dan Aman Nath, pemilik rangkaian Neemrana Hotels. Tempat ini dikendalikan sebagai The Pataudi Palace Hotel antara tahun 2005 dan 2014 sebelum Saif Ali Khan mengambil alih harta pusaka ini.
Menurut laporan dari architecturaldigest.in, Saif terpaksa mengeluarkan wangnya sendiri untuk mendapatkan semula istana ini dari pemilik hotel.
(6) Lokasi Penggambaran Filem
Jadi lokasi penggambaran filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts.
Kerana mereka tidak mendiami Istana Pataudi setiap hari, Kareena dan Saif Ali membuat istana mereka sebagai lokasi penggambaran seperti filem Eat Pray Love yang dibintangi oleh Julia Roberts, kepada filem-filem popular lain iaitu Mangal Pandey, Veer Zara, juga menyewa Istana Pataudi sebagai lokasi penggambaran.
Tahun Ketujuh Bergelar Isteri, Anzalna Nasir Kongsi Tips Rumahtangga ‘Bahagia’ Bersama Tiga Hero!
Sesetengah pasangan merasa sukar untuk mengelolakan rumah tangga, di tambah pula apabila mereka dikurniakan rezeki mempunyai cahaya mata yang ramai.
Kadangkala, hal ini mendatangkan stress serta bertukar menjadi trauma apabila kes kecurangan yang seringkali berakhir dengan keruntuhan rumah tangga acapkali didengari kebelekangan ini.
Namun, selebriti jelita yang juga finalis Dewi Remaja 2009/2010 Anzalna Nasir, tidak mudah melatah mengenai isu ini, malah berjaya menguruskan keharmonian rumah tangganya menikut acuan sendiri.
“It Takes Two, To Tango” – Anzalna
Anzalna Nasir mempunyai tips dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Dia berkata bahawa kedua-dua pasangan perlu bekerjasama untuk membuat perkara berjalan lancar.
Memetik laporan portal hiburan tempatan, Anzalna akui bahawa kadangkala pertengkaran antara suami isteri pasti terjadi, tiada perkahwinan yang tidak pernah dilambung ombak. Namun, setiap pasangan perlu bersedia dan menghadapi pertelingkahan ini dengan bijak.
Jika pasangan itu boleh kembali mesra dan menyayangi antara satu sama lain semula, masalah mereka kebanyakannya akan diselesaikan.
“Kami jenis walaupun sudah berkahwin, harus mengekalkan hubungan seperti baru bercinta.
“Setiap kali bergaduh, saya dan suami tidak berlama-lama memendam rasa. Sebaliknya akan menyelesaikan masalah dengan cepat,” ujarnya.
Katanya, kedua-dua pasangan perlu berusaha bersama-sama menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin, tanpa mementingkan ego sendiri.
“Setiap kali berbalah, tolak ego ke tepi, duduk bersama-sama dan perbaiki apa yang kekurangan,” kata Anzalna.
Jika Ada Masalah, Duduk Dan Bincang Dengan Pasangan!
Isteri kepada Hanif Zaki itu berkata, dia mahu keluarganya bahagia, tetapi dia tidak mahu terlalu bangga dengan hubungan mesra mereka. Anzalna berkata adalah lebih baik jika mereka hanya berkongsi kebahagiaan yang dimiliki antara satu sama lain.
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga berpesan agar tidak berkongsi masalah antara suami isteri dengan orang lain termasuk ahli keluarga, mahupun khalayak umum. Sebaliknya selesaikan masalah tersebut secara bersemuka dengan pasangan.
“Kehidupan ini ada jatuh bangun yang kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa hadapan.
“Ada masalah simpan sendiri sahaja (jangan hebohkan) dan selesaikan kesulitan dengan pasangan masing-masing.
“Jangan simpan dalam hati dan sentiasa berbincang, jika ada apa-apa kerana apabila terjadi sampai satu masa akan meletup,” jelasnya.
Sekadar info, Nur Anzalna ialah seorang pelakon dan model Malaysia. Beliau merupakan salah seorang finalis peraduan Dewi Remaja 2009/2010. Dia dan Hanif Zaki berkahwin pada 2016.
Hasil perkahwinan selama 9 tahun itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki Mohamad Eidress dan Mohamad Emirhan.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Anzalna Nasir & Kosmo