Tekanan darah normal setiap orang adalah berbeza-beza. Ini kerana ia dipengaruhi oleh usia dan jantina. Maka sangat penting untuk memantau dan menjaga tekanan darah normal agar terhindar daripada pelbagai masalah kesihatan.
Berdasarkan data kesihatan yang diterbitkan oleh National Heart Foundation of Australia, salah satu cara paling mudah yang boleh dilakukan untuk menjaga tekanan darah normal ialah pengambilan makanan sihat.
Makanan yang diambil setiap hari dapat memberi manfaat kepada kesihatan jantung. Pengambilan buah dan sayur-sayuran pelbagai warna juga memberi nutrisi yang menyihatkan.
Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Setiawangsa, Dr Amanda Elli atau terkenal dengan panggilan Dr Unicorn baru-baru ini memuat naik satu video berdurasi 20 saat di akaun Instagramnya.
Dalam videonya itu, Dr Amanda menyenaraikan 5 jenis makanan yang perlu diberi perhatian bagi membantu menurunkan tekanan darah secara semula jadi:
- KURANGKAN GARAM
“Sepatutnya ambil 2gm saja sehari. Letak garam selepas dah siap masak.”
“Jangan terus tabur ketika sedang memasak kerana takut bila kurang rasa lepas tu nak tambah lagi.”
2. SERAT TINGGI
“Amalkan pengambilan sayur-sayuran yang berdaun hijau.”
“Secara umumnya semua jenis sayur seperti bayam, kangkung, sawi dan seumpamanya.”
3. KEKACANG
“Sayur kekacang, kacang panjang, kacang botol, atau kacang yang betul-betul raw.”
“Pastikan ia tanpa garam, gula dan perisa tambahan.”
4. PISANG
“Pisang mengandungi potassium dan serat. Jadi bagus untuk turunkan tekanan darah secara semula jadi.”
“Tapi KALAU ADA MASALAH BUAH PINGGANG, tak digalakkan makan TERLALU banyak PISANG (sebab tu kena jumpa doktor, follow up untuk tahu status).”
5. KURANGKAN LEMAK TEPU BERLEBIHAN
“Seperti susu krim penuh, susu lemak manis, lemak daging, bahan proses dan snek.”
Oleh itu, sentiasalah peka dengan tahap kesihatan anda. Kerana sekarang nilai kesihatan amatlah berharga.
Kredit: Instagram Dr Amanda Elli