
Kelmarin, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hadir ke Malaysia bersempena lawatan khas baginda ke Malaysia. Keberangkatan baginda ke sini bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Anwar yang baru-baru in mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu. Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di Pangkalan TUDM pada 11.40 pagi.
Apa yang menariknya tentang lawatan Sultan Brunei itu ialah baginda berkenan memandu sendiri kereta sambil membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Seri Perdana, Putrajaya.
Sebelum itu, kedua-dua pemimpin terbabit memulakan perjalanan kira-kira 11.45 pagi, Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.
“Baginda berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa saya dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke Seri Perdana, Putrajaya bagi mengadakan pertemuan sulung disusuli majlis santapan tengahari.
Baginda dan saya berpeluang menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama yang boleh memanfaat kedua-dua negara”, jelas Anwar dalam hantarannta di Instagram.
Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah. Pengiran Mateen yang cukup dikenali dan dihormati di Malaysia dek personalitinya yang tampan dan bergaya sememangnya sentiasa menjadi perhatian warga maya khususnya rakyat Malaysia sendiri yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dirinya.
Hadir dengan persalinan santai, berkemeja putih dan berseluar hitam menyerlahkan sisi lain Mateen yang memang diketahui seorang yang cukup bergaya.
Semoga hubungan Malaysia-Brunei akan terus diperkukuh, InsyaAllah.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Keikhlasan Menjaga Gadis Islam Sejak Kecil, LAOSHI Terima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H

Keikhlasan seorang wanita warga emas, Chee Hoi Lan, 83 tahun atau mesra digelar Laoshi yang sudi menjaga Rohana Abdullah yang beragama Islam sejak kecil membuatkan dirinya dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Biar berbeza budaya dan agama, Laoshi yang juga pesara guru tadika dengan rela hati tanpa berkira serta kasih sayang yang tinggi memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi bagai menatang minyak yang penuh. Laoshi juga sanggup menyediakan wang belanja untuk Rohana mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).
“Dua puluh dua tahun lalu, dia ditinggalkan di tadika kerana ibunya terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.
Ketika itu, usia Rohana Abdullah baru sahaja dua bulan namun kerana kemurnian hati seorang wanita berbangsa Cina, dia dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang.
Wanita itu, Chee Hoi Lan, 83, adalah guru tadika di mana ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mengenangkan nasib bayi terbabit, dia mengambil keputusan menjaganya seperti anak sendiri.
Hoi Lan berkata, dia sedar isu perbezaan agama akan menjadi masalah dan kerana itu, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana, 22, menggunakan wangnya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).
Selain itu, Rohana juga dipastikan belajar perkara asas mengenai Islam menerusi pengajian langsung di sekolah dan didikan daripada kenalannya.
“Saya sayangkan dia seperti anak sendiri. Sejak kecil, saya pastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadat sebagai seorang Muslim sehinggalah hari ini.
“Cuma sebelum saya mati, saya mahu lihat dia berkahwin, bekerjaya dan bahagia. Saya lega kerana selama hayat saya, saya pastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim, dia akan kekal begitu sampai bila-bila,” katanya ketika membuat aduan mengenai Rohana yang tidak memiliki kewarganegaraan kepada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, kelmarin.
Hoi Lan yang tidak berkahwin berkata, selama ini Rohana tinggal bersamanya di sebuah kawasan perumahan di ibu negara dan sehingga hari ini, dia memastikan ‘anaknya’ itu meneruskan hidup sebagai seorang Muslim.
Laoshi terpilih menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kisah pengorbanan Laoshi menjaga Rohana pernah viral suatu ketika dahulu sehingga ramai yang mengagumi tindakan warga emas itu menjaga keperluan Rohana dan memastikan anak angkatnya itu menerima segala yang diperlukan dalam mempelajari agama Islam.
Sementara itu, selebriti, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.
Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.
Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).
(Sumber: FB Ipoh Ipoh Ajer Original & Harian Metro)
EKSKLUSIF! Datuk Sheila Majid Bakal Buat Kejutan Di Konsert Padi Reborn Live In Kuala Lumpur

Bakal menghiburkan peminat sempena Konsert Padi Reborn Live In Kuala Lumpur pada 3 Disember, kumpulan popular dari Indonesia, Padi melahirkan rasa teruja apabila bakal berkongsi pentas dengan penyanyi kesayangan ramai, Datuk Sheila Majid. Pelantun lagu Antara Anyir Dan Jakarta itu diundang sebagai penyanyi jemputan sempena konsert berkenaan.
Menurut pengasas yang juga pemain gitar utama Padi Reborn, Piyu, pemilihan penyanyi lagenda berusia 57 tahun ini amat bersesuaian dengan taraf legenda yang diberikan kepada penyanyi lagu Sinaran itu. Malah, beliau merupakan penyanyi yang popular bukan sahaja di tanahair, malah terkenal di Indonesia.
“Sheila Majid merupakan penyanyi legenda Malaysia. Kami juga merupakan antara jutaan peminatnya. Malah, persembahan ini nanti adalah sesuatu yang baru buat kami juga. Walaupun kami pernah berkolaborasi bersama pada 2005 menerusi lagu Antara Anyer Dan Jakarta di Indonesia, tetapi persembahan tersebut merupakan persembahan tertutup.
Kemudian, sekali lagi pada 2018 pada acara sambutan tahun baru di sebuah stesen TV di Indonesia. Kali ini, pada skala besar, kami akan berkongsi pentas bersama penyanyi lagenda ini sebagai hadiah untuk para peminat di Malaysia.”
Katanya lagi, pada konsert ini nanti Padi Reborn akan menyampaikan lagu hits Sheila dan bersama-sama menyanyikan lagu Padi Reborn. Lagu apa yang bakal dipersembahkan secara duet, ia bakal menjadi kejutan untuk para peminat.
Terdahulu, Padi Reborn yang dianggotai oleh Piyu, Fadly (penyanyi), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) ditemui pada sesi temu bual secara virtual sempena Padi Reborn 25 Tahun Live in Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi Datuk Sheila Majid pula, dia amat berbesar hati dan terharu kerana dijemput bagi menjayakan konsert tersebut.
“Saya rasa amat berbesar hati dan terharu dijemput sebagai penyanyi undangan oleh pihak Padi Reborn dan penganjur, Qew Comm untuk sama-sama meraikan ulang tahun ke-25 mereka pada Konsert Padi Reborn 25 Years Live In Kuala Lumpur tidak lama lagi.
“Seingat saya, kami belum pernah berkolaborasi dalam mana-mana konsert atau persembahan namun pernah berkongsi pentas yang sama dalam sebuah acara tahun baru di Yogyakarta pada 2018.
“Saya berharap peminat akan dapat datang dan sama-sama menyaksikan kerjasama perdana kami dalam konsert ini. Mengenai lagu, perlu tunggu dan lihat kerana ini juga elemen kejutan buat peminat. Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya selaku penganjur berkongsi tiket menyaksikan konsert itu sudah lebih separuh terjual.
“Alhamdulillah, jualan tiket dah lebih separuh terjual. Kami mengharapkan sehingga konsert ini berjalan, penjualan akan lebih banyak. Sebenarnya, untuk sambutan berpecah ke konsert lain, kami percaya konsert ini ada sesuatu yang istimewa,” katanya.
Kumpulan yang popular dengan lagu Kasih Tak Sampai ini ditubuhkan pada tahun 1997, pernah mengadakan konsert perdana mereka Padi Reborn Exclusive Live In KL 30 Jun 2018. Atas sambutan hangat di kalangan peminat Malaysia, kali ini mereka menjanjikan persembahan yang bertenaga bagi mengubat kerinduan para peminat di Malaysia. Selain itu, kumpulan ini juga pernah berkolaborasi dalam pembikinan lagu Sahabat Selamanya sebagai runut bunyi bagi filem animasi Upin & Ipin pada tahun 2013.
“Dulu Ku Dipanggil Lembu, Sekarang Kau Pula Yang Terhegeh-Hegeh!”

Hari itu semuanya kembali cerah, dalam hati ini bagaikan riang menyanyi dan apa sahaja di pandangan mata semuanya cantik dan berseri. Tidak seperti hari-hari yang pernah ku lewati. Gelap dan sunyi. Terasa rendah diri dan jauh hati dengan sikap suami. Diri ini umpama tidak dihargai, diperlakukan sesuka hati. Tapi hari ini aku perlu berdiri sendiri, mengatur langkah lebih berani dan meninggalkan luka semalam sebagai satu mimpi ngeri… Cukuplah 5 tahun hati ini dilukai.
Selepas berkahwin, suami suruh sis berhenti kerja. Katanya cemburu sis melayan pesakit lelaki, lalu sis mengikut kata lelaki bernama suami kerana tidak mahu menjadi isteri derhaka dan tidak dicintai. Sis meninggalkan kerjaya sebagai seorang jururawat dan mulalah kehidupan sebagai seorang suri hati En. Suami yang berniaga sendiri.
Selepas setahun, berhenti kerja. Alhamdulillah, kehidupan di tambah seri apabila sis mengandung anak pertama, syukur rezeki yang telah Allah beri. Bahagia waktu itu tidak dapat digambarkan. Suami berjanji bulan dan bintang, mahu hidup semati. Pelbagai janji ditaburi. Setiap hari kami menyulam kasih sayang sepertinya dialah teman syurga ku abadi.
Setelah Danial dilahirkan, suasana rumah bertambah meriah, tiada sunyi yang ada gelak tawa dan suara jeritan baby. Sis bahagia, belum lagi meroyan. Namun, selepas setahun suasana mendung mula hadir di muka bumi sis berlindung. Sis hanya duduk di rumah jaga anak. Duit tak ada. Laki beri cukup-cukup makan, katanya perniagaan tidak semeriah lagi. Tak ada lebih langsung untuk beli baju baru, alat solek atau keluar jalan-jalan. Duduk rumah jaga anak, tapi paling best laki pulak sesuka hati keluar dengan kawan-kawan, balik kerja lewat dan tidak lagi bertanya khabar sis dan anak seperti sebelum ini. Sis terus bersabar.
Sis perasan juga fizikal tubuh ini tidak lagi langsing cantik seperti yang laki puja dahulu. Emm… mungkin laki berubah bila sis jadi gemuk, bukan sengaja, stres di rumah sis duduk, masak dan makan sehingga lupa jaga diri. Ada terfikir nak keluar joging tak ada orang nak jaga anak, nak beli ubat kurus, jamu duit tak ada, nak melawa pun duit tak ada. Saat itulah juga suami mula menunjukkan sisi dirinya yang berbeza. Mula bercakap kasar dan ada ketikanya menghina sis macam lembu. Itu tidak apa lagi, ditendang, tampar dan di maki bila ada yang tidak puas hati. Ada sahaja perkara yang sis buat tidak kena pada matanya. Sis sabar lagi… Walaupun kadang berbulan-bulan sis tak disentuh.
Sis ni nekad nak goda semula laki, so, sis belajar menjahit dekat rumah kawan. Konon-konon belajar nak buat baju baru yang seksi sikit sebab sis dah mula diet kurangkan makan nasi. Laki sikit pun tak hairan, katanya jangan haraplah nak cantik kembali kalau dah begitu acuan barunya. Dalam duduk usaha nak pikat hati laki, tiba-tiba laki kantoi rupanya sis dapat tahu laki menikah sorang lagi dekat Golok. Aduh! Sedih tak terkata, terasa begitu hina, sudahlah nafkah tidak diberi, laki pun bukan kaya sangat lagi tapi boleh kahwin lagi satu. Katanya, laki kahwin anak dara, cantik dan bergaya… Nak bergaduh tidak guna lagi, malas nak biar diri ini lebam sana sini. Apa pun, sis sabar lagi….
Sis reda demi anak. Cuba sedaya upaya selamatkan perkahwinan walau pun lepas, laki dah jarang balik rumah. Paling teruk bila madu dapat anak seorang, nafkah tak diberikan terus. Balik rumah, laki akan bandingkan dengan madu yang cantik, pandai jaga badan, pandai segala serbi… Akhirnya sis mengambil keputusan minta dilepaskan. Sis hilang sabar…
Tak guna sis menunggu lagi. Hidup bersama seumpama sis sendiri, jadi biarlah sis bawa diri, berdiri atas kaki sendiri. Sis minta cerai… Suka dan puas la hati laki, lepas ni tak perlu tidur dengan lembu. Laki pun dengan bangganya, ceraikan sis. Tiada setitik pun air mata sis gugur. Laki sempat cakap, “Aku nak tengok sejauh mana kau boleh hidup tanpa aku… kalau nak datang rujuk balik, jangan harap aku akan terima!”
Selepas tamat tempoh idah, sis pun angkat kaki pulang ke rumah mak. Dari situ sis mulakan hidup baru. Jahit baju, pergi kursus MARA sampai sis boleh buka kedai sendiri. Lama sangat sis jadi bodoh, sedangkan sis bukanlah tidak berilmu. Sis terus jalani hidup dengan Danial dengan bahagia. Sis dah kembali jadi Miss Body Beautiful, wajah pun semakin cantik gebu macam Sajat. Alhamdulilllah saham pun semakin naik. Tapi sis belum terbuka pintu hati lagi nak terima laki lain dalam hidup sis. Takut-takut peristiwa dulu terjadi lagi.
Yang penting… bekas laki setiap hari datang melawat sis dan ambil berat tentang anak. Emmm… bagi sis alhamdulillah bila seorang bapa datang dan bagi kasih sayang kepada anak. Untuk minta rujuk kembali, tak akan mahu sis terimanya lagi. Buatlah apa sahaja… Hantar bunga berjambak ke… Kirim teks whatsapp dengan rangkaian kata manis ke.. Semuanya itu tidak jalan. Ada sis kisah! Memang ramai yang nampak sis kejam tidak melayan atau memberi peluang kepada bekas laki, sis tidak peduli. Tak payah la kembali cuba nak belai manusia yang pernah kau kata lembu ni dulu!
Ada juga suara negatif berkata pada sis, ’Dulu ada laki tak pandai jaga! Bila laki dah lari baru nak bergaya. Tapi orang tak tau, kita jadi mayat hidup sebab ada laki tak guna. Bila bini dah lari bentuk sikit mulalah gatal cari bunga lain yang kononnya lebih berseri. Jadi ada baik hidup sendiri, ada duit sendiri tak harapkan laki.
Apa pun sis bersyukur pada Allah dengan perjalanan yang telah diberi. Ini adalah dugaan hidup untuk sis memperbaiki kehidupan lebih baik. Sis pun tidak mahu berdendam atau marah-marah bekas laki sis lama-lama, cuma berhentilah untuk memujuk sis kembali hidup bersama. Sis doakan yang terbaiknya. Sis pun malas nak bertanya tentang apa terjadi dengan isterinya yang cantik bergaya itu.
Yang sis tahu ingin fokus dengan kehidupan sekarang, terus berjaya dalam perniagaan dan membesarkan Danial dengan cukup ilmu dunia serta akhirat. InsyaAllah, kalau terbuka pintu hati sis untuk terima jodoh baru, sis terima suatu hari nanti. Tidaklah sis terus menutup pintu hati ini untuk terima orang lain, sis pun masih muda dan semakin cantik sekarang! KR