Nama Draupadi Murmu kini menjadi perhatian dunia apabila menjadi Presiden wanita kedua di negara India. Ahli politik wanita daripada komuniti puak di negeri timur Odisha bakal menggantikan Ram Nath Kovind yang akan tamat penggal lima tahunnya 24 Julai ini.
Dilahirkan pada 20 Jun 1958 dan kini berusia 64 tahun, Murmu yang dicalonkan oleh parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) menewaskan calon pembangkang Yashwant Sinha, 84.
Kemenangan ini menjadikan beliau sebagai Presiden India ke-15 dan wanita kedua pernah memegang jawatan ini selepas Pratibha Patil (Presiden India ke-12, 2007-2012).
Merupakan seorang graduan seni dari Rama Devi Women’s College, Murmu mendirikan rumah tangga dengan pegawai bank, Shyam Charan Murmu yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2014.
Pasangan itu memiliki dua anak lelaki, yang kedua-duanya juga telah meninggal dunia, serta seorang anak perempuan bernama Itishri Murmu.
Kecintaan Murmu terhadap masyarakat bermula sejak beliau mengajar di sekolah lagi. Pernah menjadi guru dan pembantu profesor di Shri Aurobindo Integral Education and Research Institute, Rairangpur, kerjaya wanita ini terus cemerlang sebelum mengambil keputusan menceburi politik.
Membesar dengan nama asal Draupadi Tudu, kampung Murmu terletak di pedalaman sejauh 1650km daripada Delhi. Bapanya seorang petani dan Murmu mempunyai 3 adik-beradik. Selepas berkahwin dengan mendiang Shyam, wanita ini menukar nama akhirnya sebagai Murmu.
Menyingkap memori perkenalan, mereka saling mengenali ketika masing-masing menuntut di Bhubaneswar, sebelum persahabatan ini dijalin dengan hubungan serius iaitu perkahwinan.
LAYAK
Meskipun tewas, bekas Menteri Kewangan India iaitu Sinha yang meletak jawatan daripada BJP pada 2018 kerana berbeza pandangan politik turut mengucapkan tahniah kepada Murmu.
“India berharap sebagai presiden ke-15 republik itu beliau dapat berfungsi sebagai penjaga Perlembagaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.” Sinha
Pengundian Presiden ini diadakan pada Isnin dan pengiraan undi selesai pada Khamis. Presiden India dipilih secara tidak langsung oleh anggota dewan secara undi elektoral.
Murmu, yang berasal daripada puak Santhal di daerah Mayurbhanj Odisha dan pernah menjadi guru sekolah sebelum menyertai politik dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Odisha. Murmu bersara sebagai Gabenor Jharkhand pada 2021.
“Beliau mempunyai tempoh yang sangat baik sebagai Gabenor Jharkhand. Saya pasti beliau akan menjadi Presiden yang cemerlang, memimpin India terus maju ke hadapan dan mengukuhkan perjalanan pembangunan India.” Perdana Menteri Narendra Modi.