Lebih sedekad mempelopori pasaran kosmetik tempatan dengan tagline ‘Terlajak Laris’, sudah cukup membuktikan produk keluaran Dato’ Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid ini berkualiti dan diterima masyarakat.
Setelah memiliki segala-galanya dalam hidup timbul tanda tanya, mungkinkah Datin Seri Nur Shahida akan mengundur diri dalam pengurusan syarikat? “Sebenarnya saya dah lama planning macam tu. Bukan sombong tapi dengan duit simpanan yang kami kumpul, insyaAllah boleh hidup, malah jujurnya boleh senang-lenang dengan apa yang ada.
Tapi saya banyak memikirkan tentang para pekerja. Saya ada banyak pekerja lebih kurang 200 orang. Jadi kalau saya tak berniaga, bagaimana dengan kehidupan mereka nanti? Jika nak serahkan perniagaan kepada orang lain, pasti tak sama macam mana yang kami berdua lakukan. Umpamanya dulu saya tak pandai edit video. Tapi bila suruh orang buat, apa yang saya dapat tak menepati cita rasa saya. Jadi saya kena belajar edit sendiri ikut kehendak saya.
Saya tak ada masuk kelas mana-mana, kalau malam-malam saya tak boleh tidur saya akan belajar sendiri sikit demi sikit, lama-lama saya pandai buat sendiri,” ujar Datin Seri Nur Shahida. Celah Dato’ Seri Aliff pula, keadaan ini secara tidak langsung dapat membantu perkembangan ekonomi negara serta menyediakan peluang pekerjaan kepada belia negara.
Setiap ahli perniagaan yang berjaya sudah pasti mempunyai idola tersendiri sebagai pemangkin semangat untuk terus berjuang melebarkan empayar perniagaan. Datin Seri Nur Shahida juga tidak terkecuali. “Ibu mertua saya merupakan idola dalam perniagaan.
Teringat saya masa mula-mula bekerja dengan Sendayu Tinggi. Dulu saya memang jarang jumpa beliau. Suatu hari tu, masa saya bekerja di bahagian khidmat pelanggan, Bonda Rozita buat panggilan telefon dan menyamar sebagai pengguna. Kebetulan masa tu saya yang angkat telefon.
Banyak yang ditanya tentang produk yang terdapat dalam syarikat dan kebetulan saya tengah pegang katalog. Bolehlah saya jawab setiap pertanyaan beliau dengan yakin. Selepas tu barulah beliau perkenalkan dirinya sebagai Puan Rozita.
Bayangkan ketika perniagaan tengah berkembang pesat, beliau masih turun padang ambil tahu tentang operasi syarikatnya. Saya nampak dengan usia beliau, kalau tak silap saya 55 tahun masa tu, dia tak berhenti-henti buat kerja. Kadang-kadang saya rasa, saya pun tak sekuat dia.
Kalau kita tengok sekarang pengasas produk sezaman dengan dia semua dah tak ada. Beliau juga beruntung kerana mempunyai anak-anak yang mewarisi bakat perniagaannya. Saya lihat belum ada lagi ahli perniagaan lain, ibu dan anak masing-masing berjaya dalam perniagaan sendiri,” tutur ibu kepada Ammar Ahyan, 11 tahun, Qadejah El Zahra, 9 tahun, Ibraheem Adham, 7 tahun, Yusoff Al Qardawi, 2 tahun dan seorang anak angkat, Ameena serta bayi yang baharu dilahirkan, Raudhah Arshiyah ini.
This website uses cookies.