Pengalaman pertama mengandung dan melahirkan anak sulung sememangnya mencipta momen yang terindah dalam diri seorang wanita yang bergelar ibu. Memang pengalaman pertama membesarkan anak sulung banyak mengajar tentang erti sebuah kehidupan dan mulut tak henti mengucapkan rasa syukur dengan anugerah terindah kurniaan Sang Pencipta.
Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid juga merasai pengalaman yang sama tentang anak sulungnya. Kongsi Pengasas D’herbs Health Sdn. Bhd. ini di laman media sosialnya, “Anak sulung ni yang ajar kita jadi erti seorang ibu kan!
Dari tak tahu buat apa-apa tapi dengan kelahiran anak sulung kita banyak belajar untuk jadi ibu yang terbaik,” coret ibu kepada Ammar Ahyan, 11 tahun, Qadejah El Zahra, 9 tahun, Ibraheem Adham, 7 tahun, Yusoff Al Qardawi, 2 tahun, Raudhah Arshiyah, 5 bulan dan seorang anak angkat, Ameena.
Sudah menjadi lumrah kehidupan anak sulung sudah tidak menjadi prioriti lagi saat dia mendapat adik. Secara tidak langsung anak sulung selalu mengalah setelah perhatian ibu lebih tertumpu kepada sang adik. Mungkin juga ‘jiwa muda’ ibu banyak mempengaruhi layanannya terhadap anak sulung.
Tambah Datin Seri Nur Shahida lagi, “Tapi banyak-banyak anak Ammar juga yang selalu kena marah dengan mama sebab daripada kecil dia punya lasak tak boleh bawa bincang! Bukan setakat pasu bunga je pecah, kabinet TV dan TV pun pernah pecah dek penangan kelasakan dia.
Masa tu jiwa muda memang stres lah jawabnya. Sampai nak keluar rumah pun jadi malas! Juara paling banyak kena marah dia ni. Kalau paling susah nak marah si Baem tu, baru je nak marah dia dah buat drama cium-cium kaki. Macam ayah dia juga kuat drama kan,” dedah Datin Seri Nur Shahida tentang gelagat anak-anaknya.
Datin Seri Nur Shahida juga menitipkan nasihat kepada ibu-ibu muda supaya selidik dahulu aduan anak-anak sebelum bertindak melulu. “Saya teringat satu perbualan saya dengan seorang guru. Dia kata pada saya sekarang ni kalau murid tak siap homework
pun boleh marah je.Tapi anak-anak tak kisah pun sebab cikgu-cikgu tak boleh nak marah atau rotan lebih-lebih nanti kena report dengan parents. Kadang-kadang anak-anak ni dekat sekolah perangai lain depan kita lain. Jadi kena ambil tahu lah perangai anak-anak kita dekat orang lain. Jangan percaya anak 100 peratus,” tulis Datin Seri Nur Shahida.
Bercerita kembali tentang anak sulungnya, “Ammar ni hidup dalam 2 keadaan berbeza iaitu zaman saya berniaga pasar dan zaman sekarang kami dah ada bisnes sendiri. Jadi dia melalui 2 cara hidup berbeza, begitu juga sekolah.
Walaupun saya memang garang dengan dia tapi saya nampak dia seorang anak yang baik dan berserderhana dari segala hal. Ada orang kata dengan anak tak boleh marah, tak boleh garang tapi saya memilih cara lama untuk besarkan anak-anak saya sebab zaman sekarang nak besarkan anak mencabar.
Saya pegang pepatah biar anak menangis sekarang jangan esok lusa saya yang menangis dek perangai anak-anak. Mudah-mudahan anak-anak kita jadi anak yang lembut hati mudah dididik, dengar kata, amin,” ucap Datin Seri Nur Shahida.
Fakta Anak Sulung
Berdasarkan kajian Dato’ Dr Haji Fadhillah Kamsah;
1. Senang memaafkan orang.
2. Garang macam harimau.
3. Kalau gelak, tak ingat dunia.
4. Sensitif & berhati lembut.
5. Ramai peminat.
6. Mudah menyayangi orang lain.
7. Sukar melupakan orang yang disayangi.
8. Selalu menjadi tumpuan orang ramai.
9.Tetap tersenyum walaupun bersedih.
10. Sentiasa mengingati kawan lamanya.
11. Seorang yang manja.
12. Menyukai haiwan.
13. Seorang peramah.
14. Mudah menangis.
15. Lemah dalam percintaan.
Foto: Instagram @shahidadherbs
This website uses cookies.