Jutawan Kosmetik, Dato’ Seri Vida jika dilihat di laman media sosialnya memang suka menyakat anak-anaknya. Momen indah ini pasti akan menjadi kenangan apabila anak-anak meningkat dewasa kelak. Namun, jauh di sudut hati wanita yang cekal ini, mahu anak-anaknya berjaya di dunia dan juga di akhirat.
Siapa lagi yang akan mewarisi empayar perniagaan Dato’ Seri Vida kalau bukan anak-anaknya. Wanita yang menetap di Ipoh, Perak ini telah mula mendidik anak-anaknya untuk menceburi bidang perniagaan sejak dari awal lagi.
Dato’ Seri Vida langsung tak terkesan dengan kata-kata orang bila anak-anak berniaga ketika masih bersekolah. “Terlalu muda anak-anak saya berniaga? Kalau awak nak tahu, saya dulu darjah 6 pun dah ada bisnes. Tapi keadaan saya dulu sangat berbeza dengan anak-anak saya sekarang. Saya memulakan perniagaan hanya sebatang kara tanpa sokongan daripada sesiapa.
Ramai ibu bapa takut bila anak-anak berniaga dalam keadaan masih bersekolah atau belajar. Sebenarnya bila berniaga sambil belajar akan membuat kita lebih matang dalam pelajaran kita. Sebab itu dulu saya tak pergi sekolah sangat pun tapi masih dapat keputusan yang baik,” kongsi Dato’ Seri Vida atau nama sebenarnya Dato’ Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman.
Anak gadisnya, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen semakin mendapat perhatian daripada masyarakat apabila sedikit demi sedikit telah berubah menjadi feminin. Memiliki gelaran CEO Termuda, sudah pasti perkembangan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen pun turut menjadi perhatian.
“Apabila saya umumkan Cik B sebagai CEO Termuda dia kena betul-betul jadi CEO. Bukan bila dah umumkan begitu dia tak buat apa-apa,” tutur Dato’ Seri Vida tentang anak gadisnya itu.
Usia sememangnya bukan kayu pengukur sebuah kejayaan. Dato’ Seri Vida sendiri mengaku bahawa idea anak-anaknya boleh diketengahkan sehingga berjaya. “Saya memang respek dengan idea Cik B, bila ada idea yang brilliant saya cuba realisasikannya.
Sebagai contoh, Cik B suka makan dan apa yang boleh buat dengan kegemarannya itu. Bila tengok trend makanan menjadi viral kami cuba buat sesuatu pasal makan juga. Hari ni cakap, esok terus buat,” ucap Dato’ Seri Vida sambil memandang anaknya yang menjadi CEO untuk menguruskan bahagian Food & Beverage (F&B) dalam perniagaan terbaru mereka, Cik B Vaganza Food Fest, 2019.
Dato’ Seri Vida memang terkenal bijak mengatur strategi pemasarannya. Dalam sekelip mata Cik B Vaganza Food Fest menjadi bualan ramai. “Tahun 2020 saya akan come back kerana saya rasa masa ‘bertenang’ hampir dua tahun lebih dekat tiga tahun sudah tamat. Tempoh ‘bertenang’ itu saya ambil peluang mencari rentak baharu atau cara baru dalam berniaga.
Tahun 2020 ni juga saya nak menyaksikan kejayaan anak-anak pula. Saya akan sokong apa sahaja idea Cik B dalam perniagaan dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin agar anak-anak terus cemerlang dan seterusnya mewarisi perniagaan saya kelak,” kata Dato’ Seri Vida sambil tersenyum.