Selepas meraikan kejayaan Aniq Ezra memperoleh Ijazah Sarjana Muda berganda (double degree), Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta sekali lagi meraikan kejayaan anak sulungnya, Ammar Effendy yang turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda berganda atau double degree!.
Nampaknya, tahun ini kedua-dua anak kesayangannya meraih kejayaan istimewa dengan menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang yang sekaligus menjadi kebanggan Che Ta.
“Allahamdulillah syukur. Allah bagi saya anak- anak yang cerdik dan mudah untuk saya bela. 12 tahun masa jadi “single mom” dalam kepala otak cuma ada azam nak besarkan anak-anak dan bagi yang terbaik untuk mereka,” ujar Che Ta yang berbangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh kedua-dua anak lelakinya yang menunjukkan kecemerlangan baik di peringkat pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara, Kolej Yayasan Saad mahupun tatkala menamatkan pengajian di Taylor’s College.
Rozita turut berkongsi kepayahan yang perlu dilaluinya sepanjang membesarkan anak-anak tersayang apatah lagi dalam situasi sebagai selebriti yang tidak mempunyai pendapatan secara tetap, namun demi masa depan anak-anak, dia sanggup berkorban dan menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Esa.
” Kebanyakan selebriti sememangnya tidak mempunyai pendapatan yang tetap tetapi bila tiba masa untuk membayar yuran pengajian anak-anak, saya tak putus asa dan cari rezeki untuk mengadakan segalanya. Allah permudahkan segalanya,” ujarnya penuh rasa kesyukuran.
Rata-rata peminat melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang diperolehi oleh kedua-dua anak teruna Che Ta yang berjaya menghadiahkan ibu mereka dengan kejayaan yang bermakna.
Malah kedua-dua anak bujang ini menyaksikan sendiri perjalanan hidup ibunya dalam memberikan kehidupan terbaik untuk mereka dan kebanyakan peminat melihat kejayaan Che Ta memberikan pendidikan untuk anak-anak adalah inspirasi yang dipegang oleh setiap wanita bergelar ibu.
Untuk rekod, Rozita Che Wan pernah bergelar ibu tunggal selama 12 tahun sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Zain Saidin pada tahun 2013. Hasil perkongsian hidup dengan Zain Saidin, dia dikurniakan seorang cahayamata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 8 tahun.