Peringatan Dr Nor Aniza Cetus Inspirasi Buat Wanita

Kanser payudara sangat digeruni kerana ia merupakan penyebab utama kematian penyakit kanser dalam kalangan wanita. Tidak kira umur atau pekerjaan anda sekalipun, kanser boleh menyerang dan pada waktu ini, anda harus tabah menghadapi pelbagai ujian yang perlu dilalui dalam melawan penyakit yang menjadi musuh di kalangan wanita ini.

IKLAN

Walaupun memegang gelaran sebagai seorang doktor dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, Dr Nor Aniza, tidak terkecuali menjadi salah seorang ‘mangsa’ kanser membunuh ini. Namun, dengan semangat yang cekal dan azam yang tinggi untuk menjalani kehidupan yang lebih positif, beliau berjaya menjadi salah seorang cancer survivor.

“Pada tahun 2006, ketika berumur 32 tahun saya mendapati terdapat satu ketulan kecil lebih kurang 2cm di payudara kiri melalui pemeriksaan sendiri payudara (PSP). Anehnya, ketulan itu tidak pernah ada di situ dan saya tidak langsung merasai sakit. Atas dasar kesedaran, saya berjumpa dengan pakar di PPUM dan selang beberapa hari, doktor mengesahkan ia sel kanser.

Saya menyusukan anak-anak dan mengamalkan gaya hidup sihat. Bahkan, tiada siapa di kalangan ahli keluarga menghidap kanser”, jelasnya ketika mula-mula disahkan menghidap kanser payudara.

“Sukar untuk saya percayai. Otak ligat memikirkan anak-anak yang masih kecil dan klinik saya yang baharu saja dibuka. Walaupun saya tahu apakah langkah rawatan terbaik, perasaan sedih dan air mata tidak dapat dibendung”, jelasnya lagi.

Sekali lagi, emosinya terusik dan dunia menjadi gelap tiba-tiba apabila beliau disahkan sekali lagi menghidap kanser payudara.

” Tidak tahu di mana silapnya, saya adalah peratusan kecil kanser berulang seperti disebut pakar dan saya terpaksa akur bahawa punca usia muda dan hormon yang masih aktif menyebabkan kanser berulang kembali.

Saya nekad menjalani pembedahan membuang payudara sekali gus Rekonstruksi Implan dan pembedahan mengambil masa selama 6 jam dan saya diberi suntikan di perut untuk menyekat hormon”, jelasnya lagi yang aktif dalam pelbagai kumpulan sokongan kanser seperti Cancer Survivors Malaysia.

Bukan mudah untuk kekal positif dalam keadaan sebegini namun semangat yang ada dalam diri doktor ini sewajarnya dijadikan inspirasi. Beliau juga sentiasa bersyukur kerana sekalipun menghidap kanser berulang, Allah masih murah hati mengurniakan banyak nikmat lain kepadanya dan tidak sedikit pun berasa kurang sifat kewanitaan.

Jangan mudah mengalah kerana setiap penyakit pasti ada penawarnya. Malah, kanser payudara boleh dirawat jika seseorang pesakit dapat mengesan dan menyedari antara tanda-tanda lebih awal lagi dengan melakukan pemeriksaan sendiri (PSP) ke atas payudara pada setiap bulan.

Kini, sudah hampir 14 tahun Dr Nor Aniza mengamalkan gaya hidup yang sihat walaupun pernah melalui saat getir sekali lagi apabila pada tahun 2013 dia mendapati dirinya mendapat kanser secara berulang melalui ujian saringan mamogram.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majalah Nona (@majalahnona)

“Alhamdulillah, disebabkan pengesanan dilakukan pada peringkat awal, kanser tersebut masih kecil dan saya sembuh sepenuhnya selepas pembedahan dan rawatan hormonal. Saya menjalani pembedahan mastectomy membuang payudara kiri dan memasukkan silikon implan pada tahun 2013”.

Dr Aniza turut bergiat secara aktif dalam kumpulan pejuang kanser dan menubuhkan kumpulan sokongan dengan lebih 50 orang pesakit wanita di Bukit Beruntung. Kumpulan yang dinamakan BeBS atau Bukit Beruntung Survivors itu banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan serta memberi sokongan terhadap pesakit kanser lain.

Medium online digunakan untuk menyampaikan info dan kata-kata dorongan untuk pejuang kanser.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, saya turut berkongsi mengenai penjagaan kesihatan melalui alam maya agar pejuang kanser terus bersemangat meneruskan kehidupan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Malah, sebelum PKP dijalankan, saya sempat membawa dua rombongan peserta seramai 88 orang untuk kempen mamogram Etiqa di Pertubuhan Kanser Kebangsaan Kampung Baru,” ujar Dr Nor Aniza yang merupakan Pengarah Perubatan Pusat Rawatan AMC,selain aktif sebagai penaung BeBS, Penasihat Ikram Health daerah Hulu Selangor, panel penasihat Kanser Network (Kanwork) dan beberapa NGO lain.

Walaupun terdapat kekangan sepanjang bulan kesedaran kanser sepanjang Oktober apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan, namun usaha murni untuk menyampaikan mesej mengenai kanser tetap diteruskan dengan cara tersendiri. Menidum secara maya menjadi perantaraan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai.

Dr Aniza turut mengikuti Kumpulan Pink Fitness untuk aktiviti fizikal antaranya termasuklah menamatkan cabaran 5km di Port Dickson.

“Sedih sebab PKPB dilaksanakan kerana banyak program dan aktiviti sempena PinkOctober telah tertunda. Tetapi kami masih meneruskan kempen dengan cara digital untuk memberi kesedaran mengenai kanser.

Selain itu, agak sedih juga apabila terdapat pesakit yang terpaksa ditunda rawatan dan pembedahan di hospital akibat COVID19.

Sebelum mengakhiri perbualan, Dr Nor Aniza sempat berpesan untuk wanita lebih alert terhadap sebarang perubahan diri dari aspek kesihatan.

“Jangan terlalu memandang ringan dan ambil sikap tidak peduli lebih-lebih lagi untuk wanita yang berumur 20 tahun ke atas. Sekiranya berlaku sebarang perubahan di bahagian payudara segera dapatkan rujukan daripada pakar. Diharapkan, agar wanita di luar sana lebih peka dengan kesihatan diri sendiri dan keluarga,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.