Dua Kali Takluk Kutub Selatan Dalam Ekspedisi Solo, KAPTEN PREET CHANDI Buktikan Wanita Boleh!

Keberanian seorang perwira tentera British wanita, Harpreet Kaur Chandi atau Kapten Preet Chandi menyelesaikan misi ekspedisi solo merentasi benua Antartika ke Kutub Selatan baru-baru ini membuktikan keupayaan wanita.

Bermula November lepas, Preet Chandi atau Polar Preet sekali lagi menempuh ekspedisi sejauh 700 batu (1,127km) dalam tempoh 40 hari, 7 jam dan 3 minit berlatarkan cuaca buruk, di bawah suhu -45 darjah Celcius, jarak pandang yang kabur dan kepenatan ekstrem sepanjang jalan.

Wanita berketurunan Asia dan berasal dari Sinfin, Derby itu menamatkan ekspedisi di belakang catatan masa Johanna Davidsson dari Sweden yang menamatkan misi serupa dalam tempoh 38 hari, 23 jam dan 5 minit (2016) serta Hannah McKeand dari Britain dengan catatan masa 39 hari, 9 jam dan 33 minit (2006).

 

 

 

 

“Ia jauh lebih sukar berbanding ekspedisi tahun lepas (2021), kali ini boleh dikatakan pengalaman paling sukar pernah saya lakukan.

Secara mental, ia jadi sukar apabila memikirkan saya tak punya masa mencukupi untuk melakukannya tapi bukankah ekspedisi ini adalah tentang mencabar keupayaan diri dan memberi inspirasi kepada orang lain?

Saya kecewa kerana kesuntukan masa untuk merentasi Antartika tapi saya sudah lakukan segala yang termampu termasuk tidak berehat walau sehari pun untuk menjayakan misi ini.” Preet Chandi

 

 

 

Baca juga:

Tumbuh Jambang & Kumis Seperti Lelaki, Harnaam Kaur Redha Keunikan Diri, Siap Masuk Rekod Dunia!

 

Berusia 32 tahun, Kapten Preet Chandi sebelum ini pernah menakluk Kutub Selatan pada 2021. Untuk ekspedisi November 2022, beliau yang merupakan seorang pakar fisioterapi di Angkatan Tentera Inggeris dianggarkan menempuhi perjalanan solo kira-kira 27.3km sehari menggunakan peralatan komunikasi khusus untuk mengirim perkembangan dirinya di Antartika.

“Saat tiba di Kutub Selatan, emosi saya terus bercampur-baur. Saya tidak tahu apa-apa tentang kutub tiga tahun lalu dan seperti tidak percaya akhirnya berada di sini.

Terima kasih atas semua sokongan, semoga usaha ini menjadi inspirasi kepada orang lain dan menambah kepercayaan pada diri mereka sendiri.

Saya selalu mendengar jawapan ‘Tidak!’ dalam pelbagai perkara dan sebagai wanita, disuruh buat benda-benda normal saja. Namun sebenarnya, kita yang mencipta ‘normal’ kita dan mampu mencapai apa saja yang dimahukan, tanpa bergantung pada sesiapa.”

Tambah Kapten Preet Chandi, wanita Asia jarang diberi peluang dan harapan tinggi untuk melakukan perkara-perkara hebat sebegini.

Dengan kisah kejayaan ini beliau berharap dapat membantu lebih ramai wanita melakukan ekspedisi yang majoritinya didominasi lelaki.

Share
Published by
Norzalina